Search This Blog

Wednesday, December 31, 2008

APAKAH PTI MENJADI TABOO DI RTM?


WAWANCARA...Simon sedang diwawancara berhubung pandangan telusnya tentang Pendatang asing tanpa izin.

MUNGKIN isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PTI) begitu taboo sehingga rakaman RTM untuk program 'Lambai Limbai' yang dijadualkan berjalan selama setengah jam disingkatkan kepada tidak sampai sepuluh minit?

Ramai panel yang dijemput tidak hadir terutama Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Pengarah Jabatan Imigresen, Pengarah Task Force, Setiausaha Kerajaan Negeri, Menteri Kabinet dan sebagainya, namun kehadiran dua tokoh daripada berlainan generasi yang pada mulanya bersemangat untuk meluahkan isi hati yang terbuku tidak kesampaian.

Atas sebab tertentu, setiap ahli panel hanya diajukan dua soalan walaupun pada program asalnya mereka akan ditanya sepuluh soalan setiap seorang membuatkan mereka terpinga-pinga apabila juruacara menanyakan soalan akhir sedangkan mereka belum bercakap tentang isu pendatang tanpa izin kerana hanya ditunjukkan visual Pulau Gaya.

Dua ahli panel yang terpilih ialah Naib Pengerusi Suhakam, Tan Sri Simon Sipaun dan Ahli Parlimen Silam, Haji Salleh Kalbi.

Bagaimanapun, Tan Sri Simon telah menyerahkan teks sebenar apa yang beliau ingin sampaikan agar rakyat Sabah yang akan menyaksikan program Lambai Limbai tidak menyalahkannya kerana tidak berkata benar disebabkan ruang dan peluang yang amat terhad diberikan kepada beliau.


Topik Temuramah:

Masih Ramai Pendatang Tanpa Izin di Sabah ……..Apa cerita?

Tarikh : 30 Disember 2008
Tempat : Segama Water Front,Belakang Hotel Hyatt, Kota Kinabalu
Masa : 10.00 pagi


Terlebih dahulu saya ingin menerangkan bahawa apa yang saya nyatakan merupakan pandangan, pemerhatian, pendirian, persepsi dan pengalaman peribadi saya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Suhakam atau dipersetujui oleh pesuruhjaya-pesuruhjaya yang lain.

2. Saya juga mengambil peluang ini menyatakan bahawa saya tidak pernah menyalahkan dan tidak berniat akan menyalahkan pendatang tanpa izin (PTI) yang berada di Sabah. Yang bertanggungjawab ialah pihak-pihak berkuasa yang membenarkan mereka masuk ke Sabah tanpa izin dan tidak mengikut kehendak undang-undang immigresen. Kalaulah saya seorang daripada mereka saya pun akan berbuat yang sama kerana bertujuan mencari kehidupan yang lebih senang, selesa, aman, makmur dan penuh dengan berbagai peluang.

3. Salah satu daripada tugas-tugas dan tanggungjawab-tanggungjawab kerajaan ialah untuk memantau, mengawal dan mencegah kemasukan ke Sabah pendatang-pendatang tanpa izin bagi pihak rakyat. Misalnya di Filipina terdapat seorang rakyat Malaysia yang sudah dalam tahanan lebih 7 tahun tanpa bicara. Dia ditahan kerana diperlukan hanya sebagai seorang saksi. Undang-undang negara Filipina dikuatkuasakan dengan tegas. Kalau di Sabah ceritanya lain sekali terhadap ratusan ribu rakyat asing yang melanggar undang-undang immigresen tetapi bebas bergerak dalam Negeri Sabah.



BUKTI...Simon menunjukkan buku IC PROJEK Agenda Tersembunyi Mahathir? karya Mutalib M.D yang mendedahkan terlalu banyak bukti tentang PTI.


4. Ada dua buku iaitu ‘IC Projek’ dan ‘Lelaki Malaysia Terakhir?’ yang ditulis oleh M.D. Mutalib mengandungi banyak maklumat dan latar belakang mengenai isu-isu PTI di Sabah. Kedua-dua buku itu juga mengenalpasti pemimpin-pemimpin politik yang mempunyai peranan untuk mewujudkan masalah ini. Setahu saya pemimpin-pemimpin yang dikenalpasti itu tidak pernah menafikan peranan dan penglibatan mereka. Jadi saya tidaklah hairan kerajaan tidak bersetuju untuk menubuhkan Suruhanjaya Di Raja yang bebas bagi mengenalpasti siapakah yang sebenarnya mempunyai tanggungjawab dalam hal ini. Kalau tidak ada yang disembunyikan apa salah kalau siasatan secara telus dan terbuka dijalankan.

5. Malaysia tidak mengiktiraf Konvensyen mengenai status orang pelarian (refugees) 1951 dan Protokol mengenai orang pelarian 1967 dan lain-lain instrumen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (U.N) yang ada kaitan dengan orang-orang pelarian. Malaysia juga tidak pernah meluluskan undang-undang yang bertujuan melindungi orang-orang pelarian. Jadi sejauhmana Malaysia ada kaitan semua orang asing di negara ini yang tidak memiliki dokumen dianggap PTI.

6. Dengan adanya PTI di Sabah yang begitu ramai maka mereka telahpun menukar keadaan dan kedudukan ekonomi, sosial, kebudayaan dan politik. Bagi saya ‘reverse take-over’ sudah pun lama berlaku. Saya berharap tidak akan berlaku dimana Negara Filipina tidak perlu lagi menuntut Sabah kerana rakyatnya sudah begitu ramai yang berada disini dan soal menuntut itu tidak timbul lagi.

7. Menurut beberapa orang PTI yang datang ke pejabat Suhakam di KK gerakan pengusiran hanya membuang masa dan wang saja dan memberi peluang kepada pegawai-pegawai penguatkuasa untuk memperolehi pendapatan tambahan. Seorang daripada mereka telah menyatakan bahawa senang sekali masuk ke Sabah. Sama senangnya seperti berjalan dari Centre Point ke Sembulan!

8. Pada hemat saya tiada seorang pun termasuk kerajaan yang tahu bilangan PTI secara tepat kerana bilangan itu sentiasa berubah. PTI yang kita dapat temui mengakui bahawa lebih kerap daripada tidak bilangan PTI yang masuk tanpa izin melebihi bilangan yang diusir dalam tempoh yang sama. Misalnya kalau 20 orang diusir sebelah pagi boleh jadi 30 orang masuk di sebelah petang. Kalaulah pengusiran secara besar-besaran itu berjaya tentu sekali semua tempat tahanan didapati sudah kosong dan PTI pun tidak ada lagi. Nampaknya makin lama makin bertambah ramai kalau tidak mengapa pula Kerajaan ada rancangan untuk membina tempat tahanan tambahan. Masalah ini sudah menjadi terlalu besar dan susah ditangani meskipun Pasukan Petugas Persekutuan telah wujud lebih 20 tahun yang lalu. Badan ini ditubuhkan dengan tujuan menyelesaikan masalah ini.

9. Isu PTI ini merupakan masalah nasional tetapi dipikul oleh Sabah. Keadaan ini tidak adil bagi Sabah. Oleh itu adalah dicadangkan bagi PTI ini diagih-agihkan ke semua negeri secara purata.

10.Menurut tekaan saya banyak kemungkinan bilangan PTI di Sabah sudah melebihi bilangan rakyat Malaysia di Sabah. Tekaan ini berasaskan kepada beberapa faktor atau petunjuk (indicators) termasuk :-

i)Lebih kurang 20 tahun dahulu Kg. Icebox atau Kg. Titingan di Tawau telah terbakar dan lebih daripada 5000 orang telah kehilangan tempat tinggal. Daripada jumlah itu hanya 500 orang saja merupakan rakyat Malaysia. Saya telah diberitahu oleh Brigade-general Zulkifli pada masa itu bahawa ramai mereka kelihatan menyelamatkan senjata api termasuk M 16 sebagai keutamaan daripada menyelamat harta benda yang lain.


ii)Pada tahun 1970 jumlah penduduk Sarawak dianggarkan 1 juta. Pada tahun 2004 iaitu 34 tahun kemudian jumlah itu telah meningkat ke 2 juta. Pada tahun 1970 juga jumlah penduduk Sabah dianggarkan seramai 698,00 orang. Pada tahun 2004 jumlah itu telah meningkat ke 3.3 juta. Pada tahun ini mungkin ini sudah sampai 3.5 juta atau lebih. Berdasarkan kepada kadar perkembangan penduduk di Sarawak, Sabah sepatutnya mempunyai jumlah penduduk lebih kurang 1.4 juta pada tahun 2004. ini bererti ada ‘kelebihan’ penduduk seramai 1.9 juta di Sabah.

iii)Pada bulan Jun 2005, Daerah Kinabatangan mempunyai jumlah penduduk lebih kurang 85,000 orang. Daripada jumlah ini hanya 25,000 orang saja yang rakyat Malaysia.

iv)Menteri Kesihatan Malaysia telah dilaporkan dalam akhbar ‘Daily Express’ keluaran 9 Julai 2006 bahawa rumah-rumah sakit di Sabah menerima lebih daripada 30 peratus pesakit terdiri daripada PTI. Ramai mereka meninggalkan rumah sakit tanpa membayar yuran. Pada 18 November 2007 ada juga berita yang menyatakan bahawa 80 peratus katil di Hospital Likas telah digunakan oleh PTI.

v)Kalau kita pergi berjalan-jalan di KK dan di bandar-bandar besar yang lain di Sabah, kita boleh rasa suasana kita seolah-olah bukan di Negeri Sabah. Dimana lagi di Negara ini yang ada pasar Filipina selain daripada Sabah?

11. Kita tidak dapat menafikan bahawa PTI merupakan sumber tenaga manusia yang diperlukan dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan di Sabah. Tanpa mereka ekonomi Sabah tidak dapat bergerak dan berkembang. PTI atau tidak mereka merupakan manusia biasa dan mempunyai hak asasi manusia yang tidak kurang daripada rakyat Malaysia. Hak asasi manusia tidak ada sempadan. Akan tetapi ini tidak bererti mereka dibenarkan masuk ke negeri Sabah tanpa izin dan melanggar undang-undang immigresen. Mengapa pihak Kerajaan tidak menguatkuasa undang-undang Negara dengan tegas? Adakah ini disengajakan?

12. Kita selalu mendengar tuduhan bahawa ramai mereka telah diberi MyKad dan status sebagai rakyat Malaysia. Kedua-dua buku yang ditulis oleh M.D. Mutalib yang saya sebut tadi mengandungi banyak maklumat tentang isu ini. Suhakam Cawangan Sabah juga ada maklumat yang kita perolehi daripada PTI sendiri. Sabah merupakan pintu masuk ke Malaysia dan juga dunia bagi mereka. (Rujuk kes penjara Limbang dan rakyat Pakistan di Kg. Boronuon di belakang Telipok). Saya tidak hairan kalau ramai PTI yang menjadi rakyat Malaysia telah berhijrah ke Semenanjung.

13. Menurut maklumat yang Suhakam perolehi daripada PTI sendiri ada diantara mereka yang diberi kad pengenalan hanya untuk tujuan mengundi dan mereka tidak dibenarkan menukar ke MyKad. Inilah aduan mereka kepada Suhakam

14. Saya percaya pengusiran rakyat Indonesia tidaklah begitu rumit kerana adanya pejabat Konsul Indonesia di KK. Pemprosesan dan pengeluaran dokumen boleh dikendalikan dengan lebih mudah kalau dibandingkan dengan PTI Filipina. Filipina tidak berniat membuka pejabat Konsulat di Sabah kerana Sabah masih dituntut olehnya.

15. Realitinya ialah Indonesia mempunyai penduduk lebih kurang 250 juta orang manakala Filipina pula 90 juta. Saya percaya kedua-dua negara ini tidak mempunyai minat yang kuat bagi PTI daripada Indonesia dan Filipina dikirim balik ke Negara asal mereka masing-masing. Selagi mereka berada di Sabah PTI itu bukanlah masalah Indonesia dan Filipina.

16. Saya percaya Sabah akan mengalami akibat kemerosotan ekonomi sedunia. Aktiviti-aktiviti komersial yang terlibat dalam pengeksportan barangan termasuk produk kelapa sawit akan terpaksa mengurangkan pekerja kerana permintaan luar menurun. Ramai pekerja tempatan dan asing akan kehilangan pekerjaan. Ini akan membawa kesan yang tidak diingini kepada masyarakat. Banyak kemungkinan kadar jenayah akan meningkat. Memandangkan ramai pekerja di Ladang-ladang kelapa sawit terdiri daripada rakyat asing maka ramai daripada mereka akan kehilangan pekerjaan. Keadaan sosial ini akan membawa kesan yang tidak baik bagi kestabilan negeri Sabah.

2 comments:

Muhammad Firdaus Abdullah @Anthony Marrius said...

Syabas di atas usaha berterusan tuan atas permasalahan PTI ini. Saya sentiasa menyokong 110% sebarang usaha utk mencari penyelesaian bagi kita anak watan Sabah.

Mutalib MD said...

Jika ramai rakyat Sabah berani seperti Tan Sri Simon Sipaun dan YB Salleh Kalbi, saya rasa isu PTI tidak timbul lagi dan bukan menjadi masalah yang besar kepada negara. Tetapi hanya segelintir sahaja yang berani berjuang menentang kemungkaran dan jutaan bersekongkol dan bersubahat dengan PTI membuatkan perjuangan kita semakin sukar. Walau apa pun kita harus gemblengkan usaha untuk menumpaskan petualangan negara. Jika bukan kita, mungkin anak cucu kita yang akan merealisasikan visi kita. Terima kasih atas sokongan anda.