Search This Blog

Wednesday, April 1, 2009

JANGAN POLITIKKAN 'ALLAH': SALLEH



DUTA Keamanan PBB, Haji Salleh Kalbi (gambar) menggesa semua pihak agar tidak membincangkan isu penggunaan nama 'Allah' secara terbuka kerana dibimbangi akan menimbulkan ketegangan agama dan permusuhan kaum.

"Isu ini tidak patut timbul lagi sekarang kerana Kerajaan Negeri Sabah telah menyelesaikan isu ini dengan baik dan tanpa sebarang bantahan daripada semua pemimpin Sabah," ujar Salleh yang menghubungi Sabahkini.net daripada Nairobi, Kenya.

Salleh yang kini menghadiri program 'Ambassador For Peace' di Nairobi berkata, beliau percaya Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Haji Aman telah mengambil langkah tegas dan harmoni apabila mengambil alih Kerajaan Negeri Sabah daripada Tan Sri Chong Kah Kiat pada 1 April 2003.

"Perkara ini telah diselesaikan secara kolektif dengan pewartaan Fatwa melarang penggunaan bukan sahaja nama Allah, malah 31 nama lain oleh penganut bukan Islam," kata Salleh yang memaklumkan bahawa fatwa berkenaan telah diwartakan pada 11 Disember 2003 melalui warta bernombor 50, Jilid LVIII atas perintah Tuan Ynag Terutama, Yang Di-Pertua Negeri Sabah.

Kata Salleh, mengikut Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1992 (Enakmen No. 13 Tahun 1992) Mufti berkuasa membuat dan meluluskan fatwa di bawah seksyen 35, Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1992.

"Oleh itu, demi keamanan sejagat, saya merayu agar rakyat Sabah menghormati Warta yang telah dibuat dan tidak lagi mempolitikkan isu ini untuk kepentingan peribadi sejajar dengan Fasal 3 Perlembagaan Persekutuan," tegas Salleh akan berada di Nairobi sehingga 8 April 2009.

Salleh turut menyokong kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyesali kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai penggunaan perkataan Allah oleh orang bukan Islam kerana sangat mengelirukan umat Islam.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh penasihat agama kepada Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin, berkata,"Sememangnya masyarakat jahiliah ada menggunakan nama Allah sejak zaman Rasullullah S.A.W. lagi tetapi ia dalam bentuk yang salah dan menyeleweng seperti mereka mengatakan bahawa Allah itu mempunyai anak dan diperanakkan, malaikat merupakan anak perempuan Allah dan Allah mempunyai sekutu seperti berhala dan sebagainya."

Kerana itu, kata Dr Abdullah, Rasullululah S.A.W. diutuskan untuk menghapuskan penyelewengan ini dan menyeru kembali kepada ajaran tauhid iaitu mengesakan Allah.

Salleh menegaskan bahawa perkataan ALLAH tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam dan penggunaan perkataan Allah hendaklah berasaskan kepada konsep tauhid seperti yang diajar oleh Islam sebagaimana yang terdapat dalam Surah al-Ikhlas dan ayat-ayat al-Quran yang lain.

"Kerajaan Negeri Sabah telah menyelesaikan isu ini dengan baik sebelum ditimbulkan kembali oleh pihak yang berkepentingan untuk mendapatkan 'political mileage' daripada isu ini. Jika ia menjadi masalah, kenapa setelah hampir enam tahun baru ditimbulkan kembali," ujar Salleh kesal kerana bukan sahaja pembangkang, malah penyokong kerajaan juga turut melanyak Perlembagaan Persekutuan dan Warta dengan meledakkan kembali isu yang telah lama selesai ini.

Mengikut penyelidikan Sabahkini.net, kenyataan Salleh ternyata benar kerana sesiapa sahaja boleh mendapatkan warta berkenaan daripada Jabatan Cetak Kerajaan dengan harga RM2 senaskhah atau melayari http://www.sabah.gov.my/gazette.

Berikut ialah sedutan Warta berkenaan untuk rujukan;


ENAKMEN PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM 1992
(Enakmen No. 13 tahun 1992)

FATWA

Dengan ini dimaklumkan bahawa Fatwa telah dibuat dan diluluskan oleh Mufti Kerajaan Negeri Sabah di bawah Seksyen 35 Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1992 adalah dengan ini disiarkan sebagai berikut:-

“Bahawa-

A. Penggunaan Istilah-istilah Islam oleh orang bukan Islam dalam pengajaran atau pengembangan ajaran mereka adalah dilarang. Istilah-istilah tersebut adalah;

i. Allah
ii. Firman Allah
iii. Ulama
iv. Hadith atau Hadis
v. Ibadah
vi. Kaabah
vii. Kadi
viii. Ilahi
ix. Wahyu
x. Mubaligh
xi. Syariah
xii. Qiblat atau Kiblat
xiii. Haji atau Haj
xiv. Iman
xv. Mufti
xvi. Rasul
xvii. Dakwah
xviii. Solat
xix. Khalifah
xx. Wali
xxi. Fatwa
xxii. Imam
xxiii. Nabi
xxiv. Syeikh
xxv. Hajjah
xxvi. Mussala
xxvii. Musabaqah
xxviii. Injil
xxix. Zakat
xxx. Fitrah
xxxi. Surau
xxxii. Quran atau Al Quran;

B. Larangan ini meliputi penggunaan Istilah-istilah Islam di (A) di atas dalam apa-apa bentuk terbitan bertulis, media cetak, audio-visual dan sebagainya oleh orang bukan Islam”.

Diperbuat di Kota Kinabalu pada 1 Jun 2003.


DATUK HAJI AHMAD ALAWI HAJI ADNAN,
Mufti Kerajaan Negeri Sabah.

6 comments:

Anonymous said...

Fatwa itu hanya berkuatkuasa di atas umat Islam sahaja.

Mutalib MD said...

Persoalannya, Larangan ini meliputi penggunaan Istilah-istilah Islam di (A) di atas dalam apa-apa bentuk terbitan bertulis, media cetak, audio-visual dan sebagainya oleh orang BUKAN ISLAM. Apa sudah jadi kepada Kerajaan April Fool ini? Kalau esok keluar fatwa orang bukan Islam hanya boleh makan BABI dan tidak boleh makan ayam, macam mana ya?

Anonymous said...

saya mengikuti perkembangan kes ini ....saya merasakan, tiada asas kukuh yang boleh menyatakan sesuatu perkataan itu adalah hakmilik sesebuah agama sahaja.....perlu melihat bagaimana negara lain mempraktikan kebebasan beragama. afterall, kebanyakan perkataan yang difatwakan itu adalah perkataan Bahasa Malaysia....yang terdapat dngan banyaknya dalam buku2 agama kristian......
bukankah bahasa malaysia adalah serumpun dengan bahasa indonesia?? indoensia tidak larang pun penggunaan perkataan2 tersebut.....atas dasar apa sebenarnya mau melakukan ini???

Anonymous said...

Isu ini timbul di Malaysia sahaja... semuanya DEMI KEPENTINGAN POLITIK SEMPIT DAN SURVIVOR KUMPULAN TERTENTU YANG BEGITU NAIF TENTANG ERTI PERPADUAN DAN KEHARMONIAN MANUSIA SEJAGAT. Alasan "kena faham... kena hormat... kena ikut.. fatwa tersebut "demi perpaduan ???" - hanya dijadikan topeng !

Apa buktinya yang kukuh dalam ajaran asal Islam mengatakan, memang istilah-istilah itu hanya untuk "orang Islam" sahaja? Tiada - selain daripada fatwa yang dicipta oleh seorang yang bernama "manusia".

Ya lah... (bukan ya allah..)Jika dipaksa menurut... kita terpaksa ikut juga...

Tapi... apa akan jadi, jika masyarakat beragama HINDU di negara ini pula yang buat larangan tertentu... "TUHAN" misalannya.

Pada hemat saya, asal usulnya istilah Tuhan ini adalah ada hubung kait dengan sejarah penyebaran agama Hindu di Asia Tenggara dahulu. Kerana istilah ini telah lama sebati dalam hati masyarakat Asia Tenggara bagi menggambarkan "pencipta" atau "yang maha kuasa"... maka apabila penyebar-penyebar agama Islam (tak boleh guna "ulama"....) pada ketika itu turut menggunakan istilah "Tuhan" selain istilah "Allah" dalam usaha penyebaran agama baru ini. Sebabnya ? sebagai satu cara yang berkesan menerangkan dan memberi kefahaman mudah tentang sifat-sifat kebesaran dan keagungan Allah (dengan izin...). Jika tidak, masyarakat Asia Tenggara yang sudah sebati dengan pengaruh agama Hindu/Buddha ini pasti sukar menerima ajaran baru ini. Walaupun lama-kelamaan istilah Tuhan ini akhirnya dapat digantikan dengan istilah Allah di kalangan penganut agama Islam, namun penggunaan "Tuhan" tidak lekang atau tidak terpadam sepenuhnya. Buktinya, dalam kebanyakan frasa yang digunakan oleh ulama-ulama Islam, masih wujud penggunaan "Tuhan", walaupun perkataan ini boleh digantikan dengan perkataan "Allah" sahaja. Antaranya...

*Tuhan yang maha esa...
*Tuhan yang mensyariatkan...

Saya pasti "taktik" ini juga digunakan oleh mubaligh-mubaligh Barat yang mengembangkan ajaran agama Kristian kemudiannya di Asia Tenggara. Oleh kerana istilah "Allah" telah tersebar, sebati dan biasa didengar oleh masyarakat Asia Tenggara, maka istilah "GOD","LORD","MESIAH" dan lain-lain istilah yang menggambarkan tentang "pencipta" tidak lah digunakan. Sebaliknya, istilah "Allah" ini dikekalkan...

Bolehkah ulama dan penganut agama Islam ini dilarang pula menggunakan perkataan "Tuhan"?////

Malaikatsesat@Bentara Sakti said...

TUHAN, Bukan hanya digunakan dalam agama Hindu.... tetapi semua agama.

"Lebih lanjut Alif mengatakan bahwa peralihan tuan menjadi tuhan,sepenuhnya bersumber dari kepercayaan mereka atas Isa Al-Masih.Mereka biasa menyebut Isa dengan panggilan "tuan", yang dalam bahasa Yunani adalah 'Kyrios', dalam bahasa Portugis 'senor', dalam bahasa Belanda 'heere', dalam bahasa Prancis 'seigneur', dan dalam bahasa Inggris 'lord'."

Petikan ini menarik untuk dikongsi... berkaitan asal usul perkataan TUHAN, dan penggunaannya dalam agama Kristian dan ISLAM.

Saya tidak bermaksud untuk memberi tafsiran atau interpretasi sendiri tentang ini.
Untuk lebih lanjut, sila baca terus dari sini...
http://www.mail-archive.com/tionghoa-net@yahoogroups.com/msg06223.html

Anonymous said...

"Pandangan bahwa istilah Allah hanyalah milik umat Islam saja, menurut saya, sama sekali tak pernah ada presedennya dalam sejarah Islam. Sejak masa pra-Islam, masyarakat Arab sendiri sudah memakai nama Allah sebagai sebutan untuk salah satu Tuhan yang mereka sembah. Dalam Quran sendiri, bahkan berkali-kali kita temui sejumlah ayat di mana disebutkan bahwa orang-orang Arab, bahkan sebelum kedatangan Islam, telah mengakui Allah sebagai Tuhan mereka (baca QS 29:61, 31:25, 39:37, 43:87). Dengan kata lain, kata Allah sudah ada jauh sebelum Islam sebagai agama yang dibawa Nabi Muhammad lahir di tanah Arab."

Lihat dan nilai sendiri petikan dan ulasan oleh Ulil Abshar Abdalla, dari Jaringan Islam Liberal Indonesia tentang isu ini di sini...

http://islamlib.com/id/artikel/apakah-istilah-allah-hanya-milik-umat-islam-saja/