Search This Blog

Monday, March 30, 2009

PEGUAM NEGARA TIDAK TERIMA KENYATAAN AKHBAR PAK LAH SEBAGAI BUKTI?


TERANG....Hafiz (kanan) sedang menerangkan sesuatu kepada lelaki ini yang mengaku sebagai Ketua Pengawal Peribadi Perdana Menteri.

JABATAN Peguam Negara Malaysia enggan memperakui kenyataan Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri Malaysia, pada 10 Mac 2002 yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia pada 11 Mac 2002 bertajuk 'Operasi roboh rumah hanya rumah pendatang' sebagai bukti yang boleh digunapakai di mahkamah.

Dalam kenyataan bertulisnya pada 6 Mac 2009, Peguam Kanan Persekutuan, Steve Ritikos, tidak menyetujui cadangan plantif (Hassnar MP Ebrahim) untuk menerima pakai kenyataan Abdullah (Pak Lah) yang disiarkan di Utusan Malaysia dan akhbar tempatan New Sabah Times sebagai bahan bukti bahawa Abdullah ada membuat kenyataan sedemikian.

Pada 10 Mac 2002, Abdullah menegaskan bahawa Ops Nyah II Bersepadu yang giat dijalankan di Sabah ditujukan semata-mata kepada pendatang tanpa izin, bukan untuk merobohkan rumah setinggan penduduk tempatan.

Tindakan tersebut, kata Abdullah, hanya ditujukan kepada rumah setinggan pendatang tanpa izin yang ketika itu telah dirobohkan sebanyak 6,130 buah.

Tambah Abdullah lagi, jika ada rumah penduduk setinggan penduduk tempatan dirobohkan dalam ops itu, kerajaan negeri akan berusaha menyediakan tempat tinggal lain kepada mereka.

"Ini bukan perkara baru dan memang dasar kita kalau kebetulan yang terlibat itu warganegara Melaysia yang duduk sama-sama dengan pendatang tanpa izin, kerajaan Sabah akan berikan rumah. Tetapi buat masa ini tidak ada operasi merobohkan rumah setinggan rakyat Malaysia," kata Abdullah selepas taklimat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Sabah di Karambunai Resort, Tuaran.

Sehubungan itu, Hassnar melalui peguamnya, Ansari Abdullah telah memohon kepada Peguam Negara untuk menerima kenyataan akhbar Abdullah ini ketika beliau menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia sebagai bukti.

Memandangkan Jabatan Peguam Negara telah menolak kenyataan akhbar ini sebagai bukti dalam kes perbicaraan sivil kes S (21)-114 Tahun 2002, maka Hassnar tidak mempunyai pilihan melainkan untuk menjemput Perdana Menteri memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Sandakan dalam waktu terdekat, walaupun ketika itu beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri Malaysia selepas peralihan kuasa.

"Peguam Negara yang mendesak saya agar memanggil Pak Lah. Jadi saya terpaksa mensapena beliau untuk hadir," kata Hassnar yang masih belum berjaya menghantar sapena berkenaan ke tangan Pak Lah sendiri.

Percubaan Hassnar untuk menyampaikan sapena daripada Mahkamah Tinggi Sandakan ke tangan Pak Lah pada 27 dan 28 Mac 2009 dihalang oleh Pengawal Peribadi Perdana Menteri yang membuat dua lapisan benteng manusia ketika mereka melihat Hassnar cuba menghampiri Pak Lah dalam jarak 30 kaki.


BENTENG....Pak Lah berbaju biru (terlindung) dibenteng oleh pengawal peribadinya, mungkin mereka terbaca kenyataan Hassnar di Sabahkini.net yang sedang memburu Pak Lah untuk menyampaikan sapena Mahkamah Tinggi Sandakan.

Pembantu Hassnar, Hafiz Jamail yang sebelum ini berjaya menyampaikan sapena kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman di PWTC telah disoal siasat oleh Ketua Pengawal Peribadi Perdana Menteri walaupun ditunjukkan surat daripada Mahkamah Tinggi Sandakan.

Kegagalan menyampaikan sapena berkenaan ke tangan Pak Lah menyebabkan Hassnar dan Hafiz bergegas ke kediaman rasmi Perdana Menteri, Sri Perdana di Putrajaya namun dimaklum Pak Lah telah ke Pulau Pinang.

"Saya hanya berjaya menyerahkan sapena tersebut kepada Pegawai Kanan Sri Perdana, Mohammad Hitam, yang mengakui akan menyerahkannya kepada Pak Lah sebaik sahaja beliau kembali ke kediaman rasminya," kata Hassnar yang terkilan kerana para pengawal peribadi tidak membenarkan beliau menyampaikan perintah Mahkamah Tinggi Sandakan seolah-olah mereka mengatasi Undang-Undang.

Hassnar tidak menyalahkan Pak Lah kerana kemungkinan besar beliau tidak tahu ada sapena yang mahu disampaikan kepadanya, namun sikap pengawal peribadinya kurang telus dan boleh mengakibatkan pandangan serong masyarakat apabila mereka tidak dapat menemui Perdana Menteri.


BUKTI....Surat peguam Hassnar, Ansari Abdullah kepada Pak Lah.

Sumber: www.sabahkini.net

No comments: