Search This Blog

Saturday, April 24, 2010

PENCULIK SEBANGKAT MINTA TOP-UP KREDIT?





Written by Admin
Friday, 23 April 2010 11:50

Oleh: MUTALIB M.D

KETIKA sedang makan malam di suatu lokasi sulit di Selatan Filipina dengan lebih 20 Juruperunding untuk membebaskan dua orang mangsa culik daripada Terumbu Karang Sebangkat Semporna, seorang Juruperunding ‘Deep Throat Filipina’ dihubungi seorang penculik meminta agar menambah ‘top-up’ kredit telefon bimbitnya.

“Mr DT (Deep Throat), Tolong kunuk bah isi kredit telepaun ini sap. Habis sudah. Ndak dapat call,” rayu penculik berkenaan yang sebelum ini berlagak seperti salah seorang pelakon Senario The Movie.

“Boleh tapi 1,000 pesos potong 10,000 pesos ya! Tolak wang ransom nanti,” ujar DTF sambil memancing respon daripada penculik berkenaan.

“Uina sap, mahal juga. Indak bulih kurangkah?. Mataina Sap oleh Komandel,” ujar penculik itu lagi yang membahasakan dirinya sebagai Kapten Roger.

Menurut DTF, para penculik bukan sahaja meminta kredit telefon, malah ubat-ubatan dan makanan disebabkan mereka kehabisan bekalan sekalipun berpindah daripada satu kumpulan politik kepada satu kumpulan poilitik lain yang menjadikan mereka ‘pukat’ untuk memancing undi dalam kempen pilihanraya umum Filipina Mei kelak.

“Kami makan pangi (ubikayu), piutu (putu) sama kiangpau (ikan masin) sajjak, maubus na bugas,” ujar Kapten Roger bercampur aduk dengan bahasa Tausug ketika melaporkan kedudukan mereka yang tidak menyedari percakapannya dirakam pihak berkuasa Filipina.

Pada Firasat DTF, kemungkinan besar kes Sebangkat ini akan selesai selepas pilihanraya umum Filipina kerana pihak berkuasa begitu berhati-hati sekalipun ramai ‘Snipper’ dikerahkan memburu penculik yang semakin bertambah ramai daripada 50 orang sebelum ini hingga menjadi lebih 150 orang.

DTF juga turut membidas Menteri Di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Nasir Tun Sakaran yang disifatkannya sebagai ‘berbohong’ dan ‘melancung’ kerana memberitahu di Dewan Undangan Negeri Sabah pada rabu bahawa Polis Diraja Malaysia sedang merunding untuk membebaskan tebusan yang dipercayai masih hidup.

“Batang hidung polispun tidak nampak di sini. Jangan ambil kredit atas usaha orang lain. Mereka kena terima hakikat terlalu banyak cakap sehingga sanggup menipu kononnya mangsa masih berada di Malaysia sedangkan kita yang bertungkus lumus menggadai nyawa untuk memastikan mangsa culik selamat,” ujar DTF yang meminta agar PDRM menerima hakikat bahawa mereka belum terlatih dalam bidang perundingan dan membebaskan mangsa culik.

DTF yang sebelum ini beberapa kali mewakili Malaysia dalam gerakan membebaskan tebusan yang diculik di Selatan Filipina oleh Kumpulan Abu Sayyaf pada 2000 menegaskan pihaknya terpaksa berhati-hati dan terus melayan permintaan demi permintaan para penculik dalam usaha untuk membebaskan tebusan.

“Tsen Vui Chung dan Lai Wing Chau sihat walafiat walaupun kekurangan zat makanan kerana kurang tidur disebabkan sering berpindah randah dan kita sukar menemui mereka sejak dua hari lalu,” ujar DTF yang meminta agar rakyat Malaysia berdoa semoga mangsa dapat dibebaskan dalam masa yang singkat.

No comments: