Search This Blog

Monday, April 19, 2010

CP SABAH & KPD HARUS LETAK JAWATAN!





Written by Admin
Sunday, 11 April 2010 00:52

BUKTI.... Gambar terbaru dua mangsa culik Sebangkat, Tsen Vui Chung (kiri) dan Lai Wing Chau dalam keadaan sihat yang dikirim para penculik di Tawi-Tawi Filipina yang menuntut tebusan daripada keluarga mangsa. Abdullah Sani kesal dengan sikap polis yang hanya tahu bersandiwara tetapi tidak tahu bekerja!


Oleh: MUTALIB M.D

PESURUHJAYA Polis Sabah dan Ketua Polis Daerah Semporna harus berasa malu dan meletakkan jawatan kerana cuba memperdaya orang awam untuk mempercayai bahawa mangsa masih berada di Sabah dan secara malafide memfitnah pengusaha penanaman rumpai laut di Terumbu Karang Sebangkat Semporna berikutan penculikan dua orang rakyat Malaysia pada 8 Februari 2010.

Pengerusi Local Community Forum, Taman Tun Sakaran Marine Park (TMTS), Abdullah Sani Haji Abdul Salleh membuat gesaan demikian setelah menerima pengesahan daripada pihak berkuasa Filipina bahawa kedua-dua tebusan sudah berada di Filipina sehari selepas diculik; ketika Pesuruhjaya Polis Sabah masih mempercayai mangsa berada di Sabah dan menabur fitnah terhadap pengusaha dan waris TMTS; kononnya masalah dalaman dan pertikaian gaji.

“Adalah wajar bagi CP, Datuk Noor Rashid Ibrahim meletakkan jawatan daripada terus menabur fitnah terhadap adik saya, Salleh, dan semua pengusaha rumpai laut yang terlibat kerana tidak pernah timbul isu gaji. Insiden penculikan benar-benar terjadi apabila keluarga mangsa dihubungi untuk meminta wang tebusan yang terlalu tinggi,” kata Abdullah Sani yang telah berunding dengan peguamnya untuk menyaman Menteri Pertahanan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi yang enggan meminta maaf di atas keterlanjuran menuduh insiden penculikan sebagai kerja orang dalam.

Tegas Abdullah Sani, pihaknya merasa terkilan, malu dan kecewa dengan sikap pihak berkuasa terutama Polis, Tentera dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia yang dipertanggung jawabkan memantau keselamatan di TMTS kerana gagal melakukan sesuatu untuk menghalang kejadian penculikan berulang selepas insiden Sipadan dan Pandanan pada 2000.

“Dalam masa 10 tahun sepatutnya pihak keselamatan mempertingkatkan teknologi pengawasan dan memperketatkan kawalan, namun saya hampa kerana setelah satu dekad masalah Pati di Sebangkat dan TMTS khususnya tidak juga selesai, malah bertambah serius sehingga terjadi penculikan dua orang pekerja keluarga saya,” ujar Abdullah Sani yang meminta kerajaan menjalankan ‘bedah siasat’ terhadap operasi ketenteraan dan kepolisan di TMTS.

Ketua Polis Daerah Semporna, kata Abdullah Sani, sewajarnya bertanggung jawab meletakkan jawatan terlebih dahulu kerana lambat bertindak dan bersikap menyembunyikan sampah ke bawah permaidani dan menjadikan adik beliau sebagai ‘sasaran’ siasatan ketika para penculik bebas menyeludup keluar mangsa daripada kepungan pihak berkuasa Malaysia yang kononnya dilengkapi dengan teknologi dan peralatan canggih.

“Jika cekap, kenapa polis lambat sampai ke kawasan yang boleh dicapai dalam masa 20 minit tetapi polis mengambil masa yang telalu lama sehingga mangsa sudah dilarikan ke Filipina ketika polis tiba. Alasan air laut surut ketika itu bukanlah alasan professional, sebaliknya penuh dengan tipu muslihat untuk menafikan hak mangsa untuk diselamatkan ketika masih dalam negara,” ujar Abdullah Sani yang akan menghantar nota bantahan dan memorandum para pewaris TMTS kepada Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara yang meminta agar Ketua Polis Daerah Semporna dan Pesuruhjaya Polis Sabah ditukarkan serta merta jika mereka enggan meletakkan jawatan.

Bagi Abdullah Sani, pihaknya tidak perlu lagi melayan karenah beberapa personel kanan polis Malaysia yang dilaporkan cuba menggagalkan usaha untuk membawa balik mangsa yang kini sedang giat dipantau oleh pihak berkuasa Filipina dan akan dibebaskan dalam masa yang singkat.

“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Luar, Datuk Anifah Aman yang begitu prihatin dengan nasib mangsa dan penderitaan keluarga mangsa yang tertekan akibat insiden penculikan di tengah kawalan ketat keselamatan. Kita tidak dapat membalas jasa baik beliau yang memainkan peranan penting untuk membebaskan mangsa melalui pelbagai cara dengan kerjasama Kerajaan Filipina,” kata Abdullah Sani yang mengutuk kegiatan penculikan sebagai musuh nombor satu yang menjatuhkan imej Negara di mata dunia.

Abdullah Sani menjelaskan para penculik telah menghantar wakil untuk menemui beliau dan adiknya, namun mereka enggan berjumpa kerana telah menyerahkan kes berkenaan kepada rakan kongsi mereka, Datuk Seri Chong Man Tung untuk berurusan dengan para penculik di Filipina.

Dalam pada itu, isu penculikan di Sebangkat telah dibawa oleh Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Dr. Hiew King Cheu (DAP) pada 1 April 2010 sebagaimana yang terdapat dalam Hansard Parlimen seperti sedutan berikut;

Dr. Hiew King Cheu [Kota Kinabalu]: Yang Berhormat Menteri, boleh saya sambung? Ini boleh kita balik ke isu keselamatan. Mangsa culik di Semporna, Sabah pada 8 Februari lalu, Polis Diraja Malaysia masih percaya mangsa Tsen Vui Chung dan Lai Wing Chau masih berada di Malaysia dan tidak diberitahu kedudukan siasatan. Ada ramai kata mangsa ada di Tawi-Tawi, Philippine juga. Perusahaan rumpai laut jatuh mendadak kerana pekerja takut daripada 1,000 orang yang bekerja di sana kini hanya tinggal 50 orang sahaja. Boleh Yang Berhormat Menteri beritahu mana jaminan keselamatan di Sabah? Terima kasih.

Tuan Chua Tian Chang @ Tian Chua [Batu]: [Bangun]

Seorang Ahli: Tidak ada.

Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein: Ini telah dibangkitkan.

Seorang Ahli: Tidak ada jaminan.

Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein: Tuan Yang di-Pertua tadi telah membuat ruling...

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Ya, ini perkara sudah Yang Berhormat.

Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein: Bahawa ia tidak dibangkitkan dalam perbahasan.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Ya.

Seorang Ahli: Jawablah!

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat, Yang Berhormat mempunyai...

Tuan Chua Tian Chang [Batu]: Dalam...

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: ...Opsyen jawab atau tidak jawab pun...

Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein: Saya tidak mahu jawab.

Manakala pada 6 April 2010, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing telah sekali lagi menimbulkan isu ini di parlimen. Antara lain beliau berkata;

“Satu perkara lagi Tuan Yang di-Pertua ialah mengenai dengan keselamatan dalam negeri. Satu ketika dulu pihak kerajaan Amerika Syarikat telah memberi satu maklumat kepada kerajaan kita bahawasanya perairan Pantai Timur Sabah ini tidak selamat dan kerajaan kita kementerian berkenaan mengatakan tidak, ini selamat.

“Akan tetapi pada 8hb Februari, satu penculikan berlaku di Tawi-Tawi bahagian Pantai Timur Sabah dan dua orang telah diculik. Sehingga hari ini, rakyat masih tertanya-tanya sama ada mereka ini berada di Sabah ataupun di negara jiran. Pihak polis mengatakan ya, mereka masih hidup dan masih cuba untuk membawa mereka balik tetapi tiada affirmative information.

“Ada yang mengatakan bahawa mereka ini diculik di kalangan mereka atas masalah keluarga dan sebagainya, tetapi apa yang kita tahu ialah diculik oleh pihak orang asing dan mereka ini masih berada di negara Filipina dan masih dalam penjagaan oleh pihak-pihak tertentu.

“Nama mereka ini ialah Tsen Vui Chung dan Lai Wing Chau dan pihak keluarga masih menunggu di manakah mereka ini sebenarnya. Rakyat menunggu maklumat daripada kerajaan sama ada mereka ini masih hidup, berada di tanah air perairan Sabah atau di Filipina. Kesan ia Tuan Yang di-Pertua, ekonomi perusahaan rumpai laut di sebelah Semporna dan sebagainya.

“Ia terdapat kurang lebih 900 lebih pekerja sebelum kejadian penculikan. Sekarang ini oleh kerana ketakutan, hanya tinggal 50 orang sahaja pekerja di industri rumpai laut. Jadi bukan sahaja tertumpu kepada isu keselamatan tetapi ia mempunyai kesan seterusnya kepada soal ekonomi tempatan.

“Jadi kita mintalah pihak Kementerian Dalam Negeri supaya memberi maklumat kepada rakyat di manakah mereka dan siapa yang bertanggungjawab dan sebagainya. Sekarang ini maklumat ini masih samar-samar.”

Pada 7 April 2010, sekali lagi Bumburing meminta penjelasan daripada Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Wira Chor Chee Heung dengan berkata;

“Soal kes penculikan ini telah berlaku dalam bulan Februari, sekarang ini sudah bulan April dan jawapan yang diberikan pihak polis kepada awam ialah masih disiasat. Adakah kita masih menunggu sekian lama untuk mendapatkan kepastian sama ada mereka ini ditahan di Filipina atau tidak? Keluarga ini very anxious, dengan izin. Kalau dipastikan oleh pihak polis bahawasanya kedua-dua orang ini di Filipina, apakah langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk berunding atau menghubungi ataupun meminta bantuan daripada pihak kerajaan yang terlibat? Jadi tolong minta dipercepatkan, jangan biarkan keluarga mereka menderita.

Dalam jawapannya, pada 7 April 2010, Dato’ Wira Chor Chee Heung berkata;

“Terima kasih Yang Berhormat Tuaran. Semalam saya baru jumpa dengan pegawai penyiasat mengenai kes ini dan saya telah diberitahu dengan cukup terang iaitu kita harus mempercepatkan kerja-kerja siasatan sebab kita tidak mahu nyawa mereka ini tidak tahu sama ada mereka hidup atau tidak. Walaupun kita mempercayai bahawa mereka masih hidup di Filipina dan mengikut apa yang mereka beritahu kepada saya ialah mereka telah pun berhubung dengan counterpart, dengan izin, di Filipina. Setakat ini masih dalam siasatan tetapi kadang-kadang kita tidak boleh sendiri mempercepatkan sebab mereka ini berada di Negara lain, kita pun susah hendak masuk untuk jalankan siasatan. Walau bagaimanapun, Yang Berhormat jangan bimbang, kita akan memberitahu supaya kes ini dijadikan satu kes prioriti.”


No comments: