Search This Blog

Saturday, April 10, 2010

KAD PENGENALAN PROJEK KEMBALI MENYENGAT!





Written by Admin
Friday, 09 April 2010 11:50

BORANG... Zainuddin menunjukkan borang 'JPN' yang diedar secara leluasa di Sandakan untuk merekrut Pati sebagai warganegara Malaysia berlatar belakang buku 007 Lelaki Melayu Terakhir dan IC Projek-Agenda Tersembunyi Mahathir sebagai konotasi daripada projek yang dijalankan sekarang di Sandakan.

Oleh: MUTALIB M.D

ISU Pengenalan Projek yang menjadi punca utama tumbangnya kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS) ditangan Kerajaan Barisan Nasional (BN) kini kembali menyengat di Sandakan berikutan tindakan beberapa Ketua Cawangan UMNO di Sandakan mengedarkan borang operasi khas untuk merekrut pendatang asing tanpa izin sebagai Warganegara Malaysia.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat Sabah, Zainuddin Hassan ketika menemui Editor Sabahkini.net di Sandakan mendakwa kegiatan subversif ini mula dikesan sejak seminggu lalu dan beliau dapat mengesan pengedaran borang berkenaan pagi tadi.

“Apakah UMNO merestui kegiatan ini atau didalangi pemimpin UMNO seperti yang dilakukan oleh Musa Aman pada 1991 seperti didedah dalam buku tulisan saudara; 007-Lelaki Malaysia Terakhir?. Inilah yang perlu kita kenalpasti,” ujar Zainuddin yang telah mengarahkan Sayap Penerangan Angkatan Muda PKR memantau kegiatan yang mengancam keselamatan Negara dan pihaknya sedang mengumpul bukti untuk membuat laporan kepada ibu pejabat parti.

Kata Zainuddin, beliau hairan bagaimana borang yang mempunyai logo kerajaan Persekutuan dan kononnya dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia untuk Kegunaan Gerakan Operasi Khas IIV boleh diedarkan kepada orang awam kerana setahu beliau borang berkenaan tidak pernah wujud dalam sistem pentadbiran Jabatan Pendaftaran Negara.

“Kita dimaklumkan setiap Pati diminta RM30 seorang dan setakat ini kita dimaklumkan lebih 15,000 borang telah diedar kepada Pati di seluruh Sandakan,” ujar Zainuddin yang menggesa agar Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara membuat penjelasan supaya tidak ada pihak yang teraniaya; dalam kegiatan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan menghina Yang Di Pertua Agong sebagai Ketua Negara.

Jika gerakan pendaftaran Pati pada 1991 hingga 1993, kata Zainuddin dilakukan melalui pelbagai modus operandi termasuk penglibatan Persatuan Kebajikan Bugis Sabah (PKBS) dan kali ini lebih dasyhat kerana menggunakan borang JPN.

Tidak boleh tidak, kata Zainuddin, Kementerian Dalam Negeri dan Presiden UMNO harus menyatakan pendirian sama ada mereka terlibat sebagaimana penglibatan Mantan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Megat Junid Megat Ayub dalam Sindiket IC Projek di era Dr Mahathir Mohammad menjadi Perdana Menteri.

“Apakah kegiatan ini direstui Perdana Menteri selaku Presiden UMNO dan dibiayai oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah yang menjadi dalang pada 1991 kerana melibatkan begitu banyak cawangan UMNO di Sandakan?,” tanya Zainuddin yang kecewa kerana sistem keselamatan identiti Negara begitu mudah dipalsukan dan tidak ada sebarang tindakan diambil setakat ini.

Buat masa ini kata Zainuddin, beliau belum bercadang untuk membuat sebarang laporan polis kerana mendapat maklumat ada Pegawai Cawangan Khas Polis yang terlibat dalam kegiatan ini dan tidak percaya polis boleh menangani atau menyiasat isu yang berkaitan dengan keselamatan Negara.

“Membuat laporan polis sama juga dengan perbuatan mencurah garam ke lautan kerana polis tidak akan menyiasat kes ini disebabkan berkaitan agenda politik UMNO yang ada imuniti dalam sistem kepolisan Negara,” ujar Zainuddin yang menggesa rakyat tempatan Sabah bangun membantah Gerakan Operasi Khas mendaftar Pati sebagai warganegara Malaysia.

Gelombang IC Projek di zaman Najib, kata Zainuddin begitu ketara kerana pemimpin UMNO yang semakin kehilangan pengaruh dan hakisan kuasa akan menghalalkan cara merekrut Pati sebagai ahli setelah mereka mendapat kad pengenalan melalui pintu belakang.

“UMNO dan Kerajaan tidak lagi boleh membaling batu dan menyembunyikan tangan mereka yang mencipta begitu ramai warga asing dan menternak pengundi untuk memastikan mereka terus berkuasa,” tegas Zainuddin yang mendesak agar Ahli Parlimen Pakatan Rakyat membahas isu yang meracuni pemikiran rakyat Sabah ini di Parlimen.

Dalam pada itu, usaha Sabahkini.net untuk menghubungi Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Sabah, Haji Jaafaer Henry tidak berhasil kerana dimaklumkan beliau bertugas di luar kawasan.

Bagaimanapun Editor telah menghantar SMS kepada beliau dan daripada jawapan SMS yang diterima, pihaknya akan menyiasat kes ini dengan segera dan akan memaklumkan hasil siasatan kelak.

No comments: