Search This Blog

Saturday, April 10, 2010

MENTERI MALAYSIA WAJAR CONTOHI ANIFAH AMAN

MENTERI MALAYSIA WAJAR CONTOHI ANIFAH AMAN


Written by Admin
Thursday, 08 April 2010 08:42

BINCANG...... Chong sedang berbincang dengan peguamnya, Ansari Abdullah berhubung gangguan berterusan polis terhadap keluarganya dan masa hadapan tebusan di Pejabat Peguamnya baru-baru ini. Gambar kecil dua tebusan dan Anifah Aman.

Oleh: MUTALIB M.D

MENTERI Luar Malaysia, Datuk Anifah Aman merupakan ‘menteri contoh Asia’ kerana peranan pentingnya menyelesaikan banyak masalah yang melibatkan hubungan bi-literal antara Malaysia, Filipina dan Negara Asean lain.

Keluarga mangsa culik Sebangkat, Datuk Seri Chong Man Tung, 46, menyifatkan demikian kerana belum ada Menteri Luar yang begitu berani menonjolkan diri membebaskan bot nelayan pukat tunda Sabah yang ditahan pihak berkuasa Filipina di Taganak baru-baru ini.

“Kali ini, beliau benar-benar mahu membantu kami menyelesaikan masalah tebusan Terumbu Karang Sebangkat yang kini berada di Filipina. Walaupun tugas beliau hanya menulis surat kepada Kedutaan Malaysia di Filipina dan memaklumkan Kedutaan Filipina di Malaysia, namun kami sekeluarga mengucapkan jutaan terima kasih kerana membantu menyelamatkan keluarga kami,” ujar Chong ketika menghubungi Sabahkini.net melalui telefon.

Menurut Chong, pihaknya tidak mampu membayar wang tebusan yang diminta kerana terlalu tinggi namun dengan kerjasama beberapa juru perunding dan rakan niaga di Filipina, beliau yakin keluarganya akan dapat dibebaskan dalam waktu yang singkat.

Bagaimanapun Chong enggan menyebut jumlah tebusan kerana menyedari telefonnya dirakam pihak berkuasa yang memantau kes ini disebabkan mereka masih berkeyakinan mangsa berada di Semporna.

“Kita telah pasti kerana penculik telah berhubung dengan kita dan kita menggantung harapan kepada Kerajaan Filipina dan Malaysia dapat menjalankan rundingan segera membebaskan tebusan. Mereka berada dalam risiko dan kemungkinan diserang pihak berkuasa Filipina dalam usaha membasmi saki baki penculik dan kumpulan Abu Sayyaf,” ujar Chong yang memaklumkan panggilan yang diterimanya daripada Filipina namun enggan mengulas lanjut.

Dalam kesempatan ini juga Chong berterima kasih kepada Ketua Polis Negara yang telah banyak membantu beliau mengesan keluarganya dan mengharapkan agar polis Sabah tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengelirukan pelabur.

“Kita percaya rakyat Malaysia mendoakan keselamatan mangsa. Semoga mereka dapat kembali dengan selamat dalam kadar segera dengan bantuan semua pihak termasuk Kerajaan Filipina,” ujar Chong yang akan mengirimkan kawat tahniah kepada Duli yang Maha Mulia Yang Di Pertua Agong dan Perdana Menteri Malaysia atas peranan yang mereka mainkan selama ini sehingga pihaknya berjaya menemui mangsa dalam keadaan selamat.

Dalam pada itu, Koresponden Sabahkini.net di Tawi-Tawi, Deep Throat Filipina (DTF) kesal dengan campurtangan pihak tertentu PDRM yang cuba menggagalkan usaha menyelamatkan mangsa dengan melemparkan pelbagai tuduhan termasuk mangsa masih berada di Semporna dan menuduh DTF dan Gabenor Tawi-Tawi sebagai dalang penculikan berkenaan.

Menurut DTF, pihaknya telah menggadai nyawa dan berusaha untuk mengesan jejak mangsa culik sejak 15 Februari lalu (seminggu selepas penculikan); namun mereka dilempar pelbagai tuduhan tanpa sebarang bukti yang melampaui keraguan munasabah.

“Saya harap agar mereka hentikan segala tohmahan terhadap kami. Yang penting mangsa selamat. Setelah Datuk Anifah hantar surat, peluang kami untuk membawa balik mangsa dalam keadaan bernyawa amat cerah,” ujar DTF yang juga telah memaklumkan hasil penemuan mangsa di Filipina kepada Ketua Polis Negara.

DTF merupakan salah seorang yang terlibat membebaskan mangsa culik Sipadan dan Pandanan pada 2000 dan mempunyai hubungan akrab dengan ramai Gabenor Filipina dan pihak berkuasa di Malacanang, Manila.

Sementara itu, Sabahkini.net mendapat maklumat terbaru sekitar jam 9.14 minit pagi tadi bahawa pihak berkuasa Filipina sedang mengepung penculik berdasarkan maklumat yang dikesan sebaik sahaja penculik menghubungi keluarga mangsa.

Kecanggihan teknologi satelit Filipina menumpaskan Cyberjaya dan Putrajaya yang terketinggalan jauh di belakang.

Bilakah pihak berkuasa Malaysia mahu insaf dan belajar daripada kegagalan mereka setelah dimalukan dalam isu Sipadan dan Pandanan; kini turut dicemari isu Sebangkat kerana ketidak cekapan dan kurangnya pengetahuan Know-How menggunakan teknologi satelit untuk mengesan mangsa.

Apakah Polis Sabah masih menganggap ianya hanya 'Khayalan Hollywood' sedangkan ianya realiti di Filipina dalam kesungguhan mereka memburu penjenayah menggunakan aplikasi satelit yang dibangunkan dengan kebijaksanaan mereka sendiri?

Bukankah setiap rakyat Malaysia menggunakan Mykad yang mempunyai Chip 64K yang boleh dikesan tidak sampai 60 saat, sebagaimana kebolehan Kerajaan Filipina mengesan kedudukan para penculik melalui simkad telefon bimbit dalam masa 21 saat!

Sikap pasukan keselamatan Malaysia mempamerkan senjata canggih tetapi tidak mempunyai teknologi know-how bagaikan seorang lelaki beristeri empat tetapi mati pucuk!.

(NOTA: Sabahkini.net hanya menjalankan misi kemanusiaan dan tidak berniat untuk memalukan pihak berkuasa Malaysia dan terpaksa melaporkan kebenaran sekalipun pahit.)

No comments: