Search This Blog

Saturday, March 6, 2010

KAKAK MANGSA CULIK RAYU CAMPURTANGAN AGONG





Written by Admin
Thursday, 25 February 2010 10:33

RAYU....Winnie memegang notis merayu ehsan dan bantuan Yang Dipertuan Agong sebagai Panglima Tentera Di Raja Malaysia menyelamatkan adik dan sepupunya.

Oleh: MUTALIB M.D

KAKAK kepada Tsen Vui Chong, salah seorang daripada mangsa yang diculik daripada Terumbu Karang Sebangkat, Semporna pada 8 Februari lalu, Winnie Tsen, 42, merayu ehsan Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong untuk campurtangan bagi memastikan adiknya dalam keadaan selamat dan dikembalikan ke pangkuan keluarga.

“Saya sudah hampir putus asa kerana pihak berkuasa masih gagal mengesan mereka walaupun sudah lebih 17 hari mereka diculik. Kita tidak menerima sebarang berita. Hanya Sabahkini.net memberi kita sedikit harapan yang amat bermakna untuk kita terus bersemangat dan mendoakan keselamatan mereka,” ujar Winnie yang meminta agar wajahnya tidak dirakamkan dalam pertemuan bersama peguamnya di Kota Kinabalu.

Menurut Winnie, sebagai Ketua Negara, DYMM Yang Di Pertuan Agong adalah tempat bagi rakyat mengadu setelah semua usaha pihak berkuasa keselamatan tidak berhasil menemui jejak adiknya dan sepupu mereka.

“Kami sekeluarga mengalami tekanan mental dan fizikal kerana polis lebih berminat menjaga keluarga kami daripada memburu penjenayah yang menculik keluarga kami, sehingga kami rasa terganggu dan tidak selamat akibat kawalan ketat polis dan ada ahli keluarga kami terpaksa menumpang di rumah kawan,” ujar Winnie yang mengarahkan Peguamnya menulis surat kepada Pesuruhjaya Polis Sabah agar tidak terlalu memberi kawalan ketat di rumah adik beliau dan keluarganya.

Kata Winnie, memandangkan Perlembagaan Persekutuan telah memberi jaminan hak asasi, keselamatan dan kedaulatan kepada warganegara Malaysia, maka beliau merayu ehsan DYMM Yang Di Pertuan Agong sebagai Ketua Angkatan Tentera Malaysia agar menyerahkan isu berkenaan kepada tentera kerana siasatan polis belum membuahkan hasil.

“Kita tidak berniat untuk memperkecilkan PDRM, cuma kita tidak lagi mampu bersabar dan merayu agar Agong campurtangan bagi memastikan adiknya dan sepupunya selamat dan kembali ke pangkuan keluarga,” tegas Winnie yang berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakan keselamatan tebusan yang tidak diketahui di mana berada.

Sebelum ini, adik ipar Winnie, Chong Man Tung, 46, merayu Perdana Menteri Malaysia menghulurkan bantuan dan mengutamakan keselamatan adik iparnya yang diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata di Terumbu Karang Sebangkat sekitar jam 1 pagi, 8 Februari 2010.



No comments: