Search This Blog

Saturday, September 26, 2009

SKANDAL LELONG HARTA ANAK NEGERI, SIAPA DALANG?





Sila Klik Tag Line ini untuk berita dan bukti penuh. http://www.sabahkini.net

Oleh: MUTALIB M.D

FREDOLINE Edwin Lojingki, 68, tidak menjangkakan rumah agam yang dibina di atas tanah anak negeri dan dua keping tanah adat lagi yang telah dicagar ke bank dilelong begitu murah dan tanpa pengetahuan beliau sebagai pemilik yang sah dan diputuskan dengan harga yang terlalu rendah daripada harga pasaran.

Sehubungan itu, beliau mendesak Bank Negara Malaysia dan Kerajaan Negeri Sabah menjalankan siasatan bagaimana tanah adat dan tanah anak negeri dilelong tanpa pengetahuan pemilik asal dan ianya mencabul Ordinan Tanah Sabah dan Enakmen Anak Negeri Sabah 1948.

“Ini merupakan pencabulan dan penghinaan kepada anak negeri Sabah kerana mereka sewenang-wenangnya melelong harta anak negeri yang dilindungi undang-undang, apatah lagi kepada bukan anak negeri atau mereka yang menggunakan anak negeri untuk membeli harta anak negeri,” ujar Fredoline yang meyakini terhadap ‘Skandal Lelong’ yang didalangi Jabatan Tanah dan Ukur, Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Mahkamah Anak Negeri Sabah, Bank Perdagangan dan ‘Tonto’ yang diupah untuk menghalau anak negeri keluar daripada tanah mereka.

Kes ini bertambah serius kata Fredoline, kerana melibatkan seorang lelaki, Oii Say Tuan, yang menggunakan kekerasan menghalau anak negeri keluar daripada tanah mereka, sebagaimana yang berlaku di Tegudon tahun lalu.

“Kita tidak tahu di bawah undang-undang mana polis boleh ‘disewa’ untuk melindungi taukey besar menceroboh tanah adat dan tidak mengambil tindakan terhadap laporan pencerobohan tanah adat yang dibuat anak negeri, sebaliknya segera bertindak apabila Oii Say Tuan membuat laporan,” ujar Fredoline yang kesal kerana Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memandang ringan isu penyalahgunaan kuasa polis di Sabah yang keterlaluan.


Dalam kes tanah beliau, kata Fredoline, beliau tidak akan tunduk kepada tekanan polis mahupun Oii Say Tuan yang telah menyalahguna jentera kerajaan untuk melakukan beberapa penyimpangan undang-undang bagi membolehkan beliau memiliki tanah adat dan menghalau keluar anak negeri daripada tanah berkenaan.

“Bagi saya pelelongan tersebut tidak sah kerana saya tidak dimaklumkan dan saya tidak diberi peluang untuk menyertai pelelongan tersebut. Rumah ini sahajapun sudah bernilai lebih daripada RM500,000, apa lagi tanah. Ini semua ada konspirasi di semua peringkat. Saya tetap akan bertahan dan memperjuangkan hak saya di mahkamah,” ujar Fredoline yang akan memfailkan semakan di Mahkamah Rayuan Anak Negeri Bandaraya Kota Kinabalu kerana meyakini Sijil Anak Negeri yang digunakan untuk membeli tanahnya adalah Sijil Palsu atau diperolehi dengan jalan yang curang dan khianat.

Memandangkan nilai pasaran untuk tanah dan rumahnya lebih daripada RM1.2 juta sebagaimana yang disahkan oleh Jurunilai Berlesen, maka beliau akan mendapatkan Perintah Mandamus daripada Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bagi mendapatkan semua dokumen yang digunakan untuk urusan pelelongan tanahnya bagi mengesan penyelewengan yang dilakukan sebelum mengambil tindakan lanjut.

Fredoline kesal kerana tanahnya NT 213106542, FR 214027362 dan FR 214022929 di Penampang telah ditukar milik kepada Leong Fung How dengan harga RM578,682 setelah mendeposit RM144,700 melalui cek CIMB Bank 572993 sedangkan dokumen pelelongan ditandatangani oleh Oii Say Tuan yang dilahirkan di Kedah dan bukan Anak Negeri Sabah.

Ketidak hadiran Leong Fung How pada 12 September 2007 iaitu masa lelongan dibuat, apatah lagi tanpa pengetahuan beliau, kata Fredoline adalah suatu kepincangan dan boleh membatalkan lelongan tersebut, tambahan pula dibuat tergesa-gesa kerana tidak ada pihak lain yang mengikuti lelongan tersebut.

“Saya mendesak agar Public Bank Berhad membatalkan pinjaman yang diluluskan kepada Leong Fung How pada 11 Ogos 2008 sejumlah RM400,000 kerana peminjam tidak layak memiliki tanah anak negeri,” ujar Fredoline yang akan membuat laporan rasmi kepada Bank Negara Malaysia berhubung kepincangan lelongan tersebut.


Setakat ini, kata Fredoline beliau tidak bercadang untuk berganjak atau keluar daripada rumah dan tanah tersebut sekalipun Oii Say Tuan menggunakan pelbagai kekerasan termasuk mengupah Ikatan Relawan Rakyat (Rela), Polis bersenjata M16 dan ‘Tonto’ untuk menakutkan beliau dan keluarga.

Berhubung status Leong Fung How yang dipertikaikannya, Fredoline mendakwa bahawa penama berkenaan menggunakan Sijil Anak Negeri Palsu kerana tidak terdapat sebarang rekod atau doket di Mahkamah Anak Negeri Kota Kinabalu, sekalipun Ketua Daerah Kota Kinabalu dan Pengarah Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah mengesahkan Sijil Anak Negeri Leong Fung How adalah sah.

“1981, kata Fredoline, Mahkamah Anak Negeri Kota Kinabalu belum lagi menggunakan mesin taip elektrik sedangkan Sijil Anak Negeri Leong Fung How disediakan menggunakan riben plastik dan mesin taip elektrik,” ujar Fredoline yang telah membuat risikan dan mendapati semua Ketua Anak Negeri tidak memperakui Sijil Anak Negeri berkenaan sebagai sah.

Menurut Fredoline, beliau mencabar Ketua Daerah Kota Kinabalu, OKK William Majimbun dan Pengarah MHEANS, Mohd Said Hinayat untuk mengemukakan Sijil Anak Negeri Leong Fung How ke Unit Forensik Bukit Aman atau Jabatan Kimia bagi mengenalpasti kesahihan kertas dan sijil berkenaan, terutama tandatangan Ketua Anak Negeri dan Ketua Daerah yang kononnya menandatangani sijil berkenaan yang menjadi asas kedua-dua Ketua Jabatan ini memperakui sijil tersebut sebagai sah dan dikeluarkan oleh Mahkamah Anak Negeri Kota Kinabalu pada 1981.

Kata Fredoline lagi, Sijil Anak Negeri Sabah telah dibekukan Kerajaan Berjaya pada 22 April 1982 kerana berlaku begitu banyak Skandal Pemalsuan dilakukan oleh Ketua Daerah dan Ketua Anak Negeri yang tidak amanah sehingga mereka yang tidak berhak memiliki sijil berkenaan dan membeli tanah adat dan tanah anak negeri yang hanya dikhaskan untuk Anak Negeri Sabah sahaja.

Pada 1981, kata Fredoline, Mahkamah Anak Negeri Kota Kinabalu telah mengeluarkan 1500 Sijil Anak Negeri, namun 500 daripadanya telah dibatalkan kerana diperolehi secara tidak sah dan beliau yakin Sijil Leong Fung How juga adalah Sijil Palsu kerana ibu bapa beliau Cina tulen dan tidak ada dalam rekod Mahkamah Anak Negeri Kota Kinabalu, namun disahkan mengikut budibicara Ketua Daerah dan Pengarah MHEANS tanpa sebarang prosiding Mahkamah Anak Negeri.

Bagi membuktikan teori beliau, Fredoline telah membuat perbandingan tandatangan dua Sijil Anak Negeri iaitu Kes 243/79 (Kwan Ngen Wah) dan Kes 1286/81 (Leong Fung How) dan mendapati tandatangan sebahagian besar penandatangan sijil berkenaan adalah terlalu jauh berbeza.

“Mana satu yang betul? Mahkamah Anak Negeri Kota Kinabalu mempunyai rekod nama dan tandatangan yang sah, tetapi ada yang mengabui mata mereka. Orang buta warna pun boleh bezakan tandatangan kedua-dua sijil ini,” ujar Fredoline yang mendesak Pengarah MHEANS meletakkan jawatan kerana menjadi dalang mengesahkan Sijil Anak Negeri Leong Fung How sekalipun sebelum ini Mahkamah Anak Negeri Kota Kinabalu mendapati ianya tidak ada di dalam rekod mahkamah berkenaan.

Siasatan beliau, kata Fredoline mendapati Oii Say Tuan telah menggunakan Sijil Anak Negeri 1286/81 yang kononnya didaftarkan atas nama Leong Fung How untuk membeli 28 bidang tanah Anak Negeri Sabah (NT dan FR) seluas 133.9 ekar yang kesemuanya bernilai RM7.512 juta.

“Apakah Lembaga Hasil Dalam Negeri tidak berminat untuk menyiasat daripada beliau mendapat begitu banyak wang untuk membeli tanah tersebut?,” tanya Fredoline lagi.

Walaupun dihimpit kos yang tinggi dan karenah birokrasi yang mencuak, namun Fredoline yakin nasib akan menyebelahinya sebagaimana kemenangan OKK Hassnar M.P. Ebrahim dalam kes rayuannya apabila Hakim Mahkamah Rayuan, Tengku Datuk Baharudin Shah Tengku Mahmud yang bersidang bersama korum Datuk Md Raus Sharif dan Datuk Abdul Hamid Embong membuat keputusan sebulat suara membenarkan rayuan, Hassnar M.P.Ebrahim dalam kes S 22-07 Tahun 1999 untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Sandakan.

Kata Fredoline, Mahkamah Rayuan yang bersidang 15 April 2009 bagi membicarakan rayuan yang didaftarkan di Mahkamah Rayuan S-01-73-01 oleh Hassnar bin Hj Ebrahim @ Asainar yang diwakili oleh Tetuan Ansari & Co mencabar keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Y.A Datuk Richard Malanjum bagi kes sivil berkenaan yang dimenangi oleh defendan atas kesilapan teknikal.

Ketiga-tiga Hakim Mahkamah Rayuan telah menetapkan bahawa Seksyen 17 dan Seksyen 64 Ordinan Tanah Sabah hendaklah digunakan pakai dalam membuat keputusan berhubung rayuan yang pada mulanya mengemukakan 18 asas, namun setelah tiga asas dikemukakan,Hakim membenarkan tiga asas berkenaan diterima pakai sebagai keputusan yang muktamad.


Dalam penghakiman mereka, kata Fredoline, Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan tersebut, memutuskan bahawa tidak ada urusan boleh dilakukan di atas tanah geran NT dengan bukan Anak Negeri dan telah memberi kemenangan mutlak kepada Hassnar yang telah menunggu dengan sabar kes ini selama 10 tahun.

“Korum Hakim Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa, Penjualan dan penukaran nama dalam geran antara Defendan Pertama dengan Defendan Keenam adalah BATAL dan TIDAK SAH,” ujar Fredoline yang mengimbau kembali penghakiman yang dibuat para Hakim berkenaan kerana beliau turut sama mendengar keputusan apabila dibacakan.

Sehubungan itu, kata Fredoline, Hakim memutuskan sebarang Penukaran Hak Milik di antara Defendan Pertama dengan Defendan Keenam dalam kes Hassnar haruslah dibatalkan daripada geran Hak Milik, begitu juga dengan kes beliau.

“Kes Hassnar adalah ‘Precedence’ atau rujukan bagi semua kes Sijil Anak Negeri,” ujar Fredoline penuh yakin bahawa Sijil Anak Negeri Leong Fung How adalah palsu dan sehubungan itu pembeli tidak berhak di atas tanah beliau walaupun geran telah dipindah milik tanpa pengetahuan beliau.

2 comments:

Anonymous said...

PTI berjuta-juta orang d anugerahkan Mykad Malaysia d negara Malaysia ini.SAN boleh lagi d tarik balik oleh MHEANS...Saya pun tidak hairan lagi memang SAN dan Mykad malaysia ini sudah banyak d berikan kepada PTI daripada Philippines,Indonesia,India dan pakistan.......D aman sudah KEDAULATAN Negara Malaysia ini...!!!

Bugis Suluk said...

Negara kita Malaysia ini seolah-olah seperti sebuah negara Koboi yg tidak d Tadbir dengan baik oleh Kerajaan BN...Senang2 sahaja PTI d berikan Mykad dan d berikan begitu sahaja...Apa maksud dan Agenda tersembunyi yg d buat oleh Kerajaan BN ni?.....Seolah-olah tidak ada lagi Kuasa MUTLAK RAKYAT d mata mereka. Saya berharap kesemua Rakyat Negara malaysia membuat KEJUTAN kepada PRU Ke-13 nanti........