Search This Blog

Saturday, June 27, 2009

SIAPA DALANGI KUARI HARAM DI SILAM? KENAPA SPRM BERDIAM DIRI?


Sumber asal: www.sabahkini.net



WALAUPUN permohonan Laporan Kesan Impak Alamsekitar (EIA) yang dipohon oleh Fordeco Construction Sdn.Bhd pada 10 Oktober 2005 tidak diluluskan, namun ‘Kuari Haram’ ini terus beroperasi dan mencemarkan alam sekitar bumi Silam sejak lebih 20 tahun lalu tanpa sebarang penguat kuasaan.





Permohonan EIA Folio 52, yang difailkan oleh Sinoh Environmental Sdn.Bhd dan GSM, bagi pihak Fordeco Construction Sdn.Bhd telah dikemukakan ke Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah pada 10 Oktober 2005 untuk Silam Quarry di Bukit Silam Lahad Datu, (milik Fordeco Contruction). Namun mengikut Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah telah menolak EIA berkenaan dan TIDAK MELULUSKAN permohonan tersebut pada 26 September 2006.

Sewajarnya, sejak daripada tarikh tersebut atau sebelumnya, Silam Kuari yang beroperasi secara haram wajib ditutup ‘SERTA MERTA’ kerana telah memusnahkan ekosistem alam semula jadi dan mencemarkan Alam sekitar, namun ianya masih beroperasi sehingga hari ini, 27 Jun 2009.

Mungkin tiba masanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turun padang menyiasat kegiatan haram ini kerana jabatan penguatkuasa seperti Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS) Sabah, Jabatan Tanah dan Ukur, Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Mineral dan Geosains, Pejabat Daerah Lahad Datu, Polis Di-Raja Malaysia dan sebagainya tidak mampu lagi menguatkuasa undang-undang kerana terperangkap dalam ‘keranda rasuah’.

Jika skandal kuari haram di Selangor, Keningau, Labuan dan Negeri Sembilan berjaya ditangani dengan sempurna oleh SPRM, sudah pastinya skandal ini akan dapat di atasi dengan mudah di Silam sekiranya SPRM benar-benar menjalankan tugas mereka secara professional dan dedikasi.

Kejayaan kuari haram ini beroperasi selama lebih 20 tahun di kaki Gunung Silam, Lahad Datu dan menggunakan kawasan hutan simpan sebagai pelabuhan untuk mengeksport batu daripada kuari haram ini menimbulkan tandatanya kerana penduduk dan pencinta alam sekitar mengemukakan bantahan, namun semua bantahan tidak diendahkan oleh pihak berkuasa.

Dipercayai, Silam Quarry yang dimiliki sepenuhnya oleh Fordeco Construction Sdn.Bhd, menjadi ‘Gedung Emas’ kepada hampir semua Wakil Rakyat dan Ahli Parlimen di Silam kerana ianya beroperasi secara haram dan menjadi penyumbang utama ‘angpau’ kepada ahli politik dan penguatkuasa yang membudayakan rasuah dalam tugas mereka dan memanipulasi undang-undang untuk kepentingan sendiri.

Fordeco ialah anak syarikat Kwantas Corporation Berhad iaitu konglomerat perladangan yang disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur yang dimiliki ‘Bumiputera’ melalui perolehan Sijil Anak Negeri Palsu daripada Mahkamah Anak Negeri Kota Kinabalu (Bandaraya). Syarikat ini telah membeli sebidang tanah simpanan bumiputera di perkampungan bumiputera tersusun yang pertama di Sabah yang mempunyai batu granit untuk dijadikan kuari dan memohon Lesen Menduduki Sementara (T.O.L) sebagai tambahan bagi memastikan operasi kuari berkenaan berkekalan untuk satu tempoh yang panjang.

“Memang tidak dinafikan, tanpa kuari ini, ekonomi Lahad Datu agak lembab kerana sumber bahan binaan utama untuk bangunan dan jalan raya yang agak sukar diperolehi di daerah ini. Namun mendirikan kuari di kawasan Perkampungan Bumiputera Silam adalah seperti meletakkan debu dan pasir dalam periuk nasi penduduk kampung,” ujar Ketua Kampung Lamag, Murshidi Abdul Ghaffar.

Menurut Murshidi, pemilik kuari ini mengaburi pihak berkuasa dengan menggunakan peledak yang kecil sekadar untuk meletupkan bungkah batu granit, namun mereka menggunakan peledak yang besar pada waktu malam sehingga seluruh kampong Silam merasa gegaran.

“Kuari ini pada mulanya hanyalah beroperasi pada skala kecil, namun Adun Lahad Datu, ketika itu, Mohammadin Ketapi telah membenarkan ianya beroperasi pada skala besar dengan meluluskan T.O.L. kepada syarikat berkenaan yang kini telah menceroboh kawasan Hutan Simpan Ulu Segama,” ujar Murshidi dengan nada kesal kerana tidak ada sebarang tindakan diambil walaupun Mantan Ahli Parlimen Silam, Datuk Samsu baharun Haji Abdul Rahman telah mengadakan lawatan mengejut ke kuari berkenaan sekitar 2006.

Tambah Murshidi lagi, penduduk kampung turut mengadu masalah mereka kepada Adun berikutnya seperti Datuk Askalani Abdul Rahim, Datuk Mohd Yusof Amat Jamlee, Datuk Samsu Baharun Haji Abdul Rahman dan kini Datu Nasrun Datu Mansur , namun belum ada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkuasa untuk menutup kuari haram ini.

“Pada 2006, Datuk Samsu Baharun Haji Abdul Rahman telah mengadakan operasi khas ke kuari ini bersama Jabatan Perhutanan, Polis, Tentera, Jabatan Tanah dan Ukur serta NGO untuk memantau perkembangan kuari berkenaan dan mengemukakan bantahan, namun selepas itu tidak ada sebarang tindakan,” ujar Murshidi yang mengharapkan Adun Lahad Datu, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur dapat membantu penduduk kampung menyelesaikan masalah yang berlarutan sejak sekian lama ini.

“Kawasan ini dahulu ada sebuah air terjun yang cantik dan mudah kelihatan di musim hujan. Ia membentuk sungai yang berair jernih dan menjadi sumber penduduk kampung. Tapi kini semuanya musnah dan yang tinggal hanya debu berterbangan dan kesan pencemaran yang ketara,” ujar Murshidi yang kesal dengan sikap pengusaha kuari berkenaan tidak mempedulikan bantahan penduduk kampung semata-mata untuk mnegaut keuntungan yang lebih daripada kesusahan yang dialami penduduk kampung.

Sebaliknya, kata Murshidi, pihak pengusaha kuari batu granit berkenaan semakin rakus meletupkan dasar Gunung Silam sehingga gegaran setiap kali pengeboman boleh didengar dan dirasai dalam jarak lima kilometer daripada kuari berkenaan yang bukan sahaja memuntahkan habuk beracun, malah memusnahkan sistem hidrologi Gunung Silam.

“Apa alasan sekalipun, janganlah musnahkan air terjun dan sungai sekalipun terletak di dalam kawasan kuari kerana ianya diwartakan sebagai ‘riverine’ yang diharamkan sebarang aktiviti,” kata Murshidi yang telah beberapa kali menulis surat aduan kepada pihak penguatkuasa.

Memandangkan, air terjun ini satu-satunya di Kampung Bumiputera Silam telah musnah, maka Murshidi merayu agar pengusaha kuari ini menghentikan segera pengeboman di kawasan air terjun tersebut dan menutup operasi kuari berkenaan kerana dikhuatiri telah menceroboh kawasan hutan simpan dan kawasan tadahan air Hutan Simpan Ulu Segama.

"Banyak tanah penduduk kampung tidak dapat ditanam atau diusahakan kerana dicemari batu terutama ketika hujan lebat yang menyebabkan banjir lumpur sehingga memusnahkan tanaman. Mereka ada minta pampasan, tapi tidak dilayan, " ujar Murshidi lagi yang agak kesal kerana aduannya selama ini tidak diendahkan oleh pihak berkuasa.


Lebih mengejutkan sabahkini.net, terdapat jambatimbang stesen Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang terletak dipintu masuk jalan ke kuari berkenaan, namun lori ‘hantu’ (off-road) daripada kuari berkenaan bebas keluar masuk membawa muatan berlebihan ke pelabuhan haram tanpa melalui pemeriksaan JPJ.

Dalam pada itu, Fordeco Construction Sdn.Bhd. juga mendirikan sebuah kilang pembancuh simen berhampiran Bandar Teck Guan yang dipercayai beroperasi secara haram sejak lebih lima belas tahun lalu tanpa sebarang kelulusan Majlis Daerah Lahad Datu dan tidak mendapat kelulusan EIA.

Siasatan Sabahkini.net mendapati kilang ini didirikan ketika syarikat tersebut membina Bandar Baru Tabanak dan Taman Perumahan Tabanak yang beroperasi secara sementara di tapak binaan namun terus beroperasi secara haram sehingga kini membekalkan ‘premix concrete’ kepada daerah ini.

Siasatan sabahkini.net di Suruhanjaya Syarikat Malaysia mendapati Fordeco Construction Sdn.Bhd dimiliki oleh Kwan Bersaudara iaitu, Kwan Min Nyet (12,500 unit saham), Kwan Ngen Wah (1,512,500 unit saham), Kwan Jin Nget (12,500 unit saham) dan Kwan Ngen Chung (1,512,500 unit saham) yang mempunyai modal berbayar RM3.050 juta daripada modal dibenarkan sebanyak RM5 juta yang mencatatkan keuntungan bersih RM30 juta setiap tahun daripada operasi kuari.

Kedua-dua pemegang saham, Kwan Ngen Wah dan Kwan Ngen Chung turut menjadi pengarah Fordeco Construction Sdn.Bhd dan lebih 40 syarikat gabungan Kwantas Corporation Berhad. Kedua adik beradik ini disyaki memegang sijil Anak Negeri Palsu bagi membolehkan mereka mendapat penarafan sebagai syarikat milik penuh Bumiputera dan menikmati pelbagai insentif sehingga Kwan Ngen Wah dicatatkan di dalam Majalah Forbes sebagai orang yang ke 14 terkaya di Malaysia.

No comments: