Search This Blog

Monday, June 22, 2009

PBS SOKONG LANGKAH KERAJAAN TIDAK DAFTAR BLOGGER


Oleh: MARKUS JACOB (www.sabahkini.net)

PERSATUAN Blogger Sabah (PBS) menyambut baik langkah kerajaan untuk mengekalkan Dasar Langit Terbuka terhadap para Blogger dengan tidak bercadang untuk mendaftar para Blogger bagi membolehkan mereka bebas menyampaikan maklumat melalui internet, namun tertakluk kepada undang-undang negara demi menjaga keharmonian masyarakat.

Presiden Persatuan Blogger Sabah, Mutalib M.D berkata demikian dalam kawat tahniahnya kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim ekoran pengumuman yang dibuat oleh menteri itu di Dewan Rakyat baru-baru ini bahawa Kerajaan tidak ada menyenaraikan atau mendaftar mana-mana Blogger yang beroperasi di internet ketika menjawab soalan Wakil Ipoh Timur, Lim Kit Siang yang menyifatkan Kerajaan menyekat kebebasan para Blogger.


"Bagi memastikan para Blogger tidak dikongkong atau diserabutkan dengan pelbagai ugutan atau peraturan, PBS akan mengadakan kursus Intensif kepada para blogger yang menjadi ahli pbs pada masa akan datang," ujar Mutalib yang memaklumkan bahawa Kursus Intensif berkenaan akan dibuat di Kota Kinabalu.


Mutalib menegaskan bahawa kursus berkenaan amat perlu kerana ramai Blogger gagal menepati kelayakan sebagai Blogger dan tidak mengetahui bahawa mereka juga tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM 1998) yang boleh mensabitkan para Blogger didenda RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Bagaimanapun kata Mutalib, setakat ini, belum ada ahli PBS dikenakan sebarang tindakan, melainkan beberapa siasatan polis akibat laporan yang dibuat oleh pembaca atau orang awam bagi isu yang melibatkan kepentingan awam.


"Blogger yang dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu baru-baru ini kerana memfitnah Sultan Perak bukan ahli PBS," ujar Mutalib yang turut menafikan ada ahlinya yang dicap oleh Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup sebagai mereka yang tidak tahu berterima kasih kepada kerajaan sebaliknya menggunakan kemudahan kerajaan untuk memburukkan kerajaan.


Tegas Mutalib, Kerajaan Negeri Sabah, di bawah pimpinan Ketua Menteri Sabah amat memerlukan peranan para Blogger kerana tidak memerlukan KPI sebagai Penanda Aras prestasi Wakil Rakyat Sabah kerana para Blogger merupakan pemantau yang berkesan untuk menilai prestasi Wakil Rakyat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.


"Kita sedang masih menunggu kelulusan pendaftaran PBS dan kita akan mengemukakan draf pelan kerjasama sebagai agensi berteraskan masyarakat dengan kerajaan negeri sebagaimana peranan yang dimainkan oleh Persatuan Wartawan Sabah (SJA), namun bergantung kepada keperluan sama ada untuk berkecuali atau bersikap profesional," ujar Mutalib yang juga Editor www.sabahkini.net dan menjadi salah satu blogger paling aktif di Sabah.

Menyentuh Kursus Intensif sehari yang akan diadakan pada 25 Julai 2009 dan Bengkel Pentauliahan Wartawan Sabahkini.net pada 26 Julai 2009 di Hotel Tang Dynasty Karamunsing atau mana-mana tempat yang akan dimaklumkan kemudian tertakluk kepada jumlah peserta.

Hanya ahli yang layak atau terpilih selepas saringan pada 25 Julai akan diberi peluang mengikuti Bengkel Pentauliahan Wartawan Sabahkini.net pada 26 Julai 2009.

Para Blogger kata Mutalib, masih berpeluang menjadi ahli secara online dengan mendaftar di www.sabahkini.net kerana tarikh tutup untuk melayakkan diri menjadi ahli akan ditutup pada 30 JUn 2009 .

"Bagaimanapun hanya kursus dan bengkel yang akan diberi secara percuma kerana PBS tidak menyediakan tempat tinggal bagi peserta di luar Kota Kinabalu. Mereka boleh berkongsi sesama mereka bagi membiasakan diri menghadapi senario sebenar tugas seorang blogger," ujar Mutalib lagi.

Bagi para Blogger yang telah mendaftar secara online tetapi laman web atau blog mereka tidak dapat dilayari tidak layak mengikuti Kursus Intensif berkenaan.

1 comment:

RakyatKelas4 said...

Slm,

Setiap orang mempunyai hak bersuara, jika hak ini disekat maknanya sistem demokrasi negara masih lemah!

Zaman sudah berubah, dunia semakin maju..ikut saja la arus globalisasi.