Search This Blog

Saturday, March 12, 2011

BUKAN 50,000, TETAPI 500,000 TIADA MYKAD



Oleh: SURIATI MAHMUD

KENYATAAN Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Sabah, Datuk Haji Jaffear Henry bahawa terdapat lebih 50,000 rakyat Sabah yang miskin tidak memiliki MyKad disebabkan mereka tinggal terpencil di pedalaman dan menghadapi masalah perhubungan telah disangkal.

Penulis Kontroversi, Mutalib M.D menolak angka yang dinyatakan Jaffear kepada media kelmarin kerana menurut kajiannya lebih 500,000 rakyat Sabah yang berusia 12 tahun ke atas tidak memiliki MyKad.

Mutalib yang sebelum ini menulis empat buah buku penuh kontroversi, IC PALSU Merampas Anak Sabah; Pengundi Untuk Disewa; IC Projek Agenda Tersembunyi Mahathir; 007-Lelaki Malaysia Terakhir; menekankan bahawa disebabkan masalah birokrasi dan intervensi politik, Jabatan Pendaftaran Negara keliru dengan tugas mereka.

“Jika mereka boleh memberi lebih 1.6 juta MyKad Malaysia kepada warga asing daripada Filipina, Indonesia, Pakistan dan India yang berada ribuan batu jauhnya daripada Sabah, kenapa mereka tidak dapat menyelesaikan isu pemilikan MyKad hanya setengah juta rakyat Malaysia di Sabah yang berusia 12 tahun ke atas?,” tanya Mutalib yang menggesa agar Pengarah JPN yang baru lebih proaktif dan berkhidmat dengan penuh tanggung jawab untuk rakyat Sabah.

TAKLIMAT...Haji Norzain Tawi (JPN) sedang memberikan taklimat kepada penduduk Tg Labian ketika Operasi Khas Daftar Lewat.

TENANG....Ahli Parlimen Malaysia (Silam) Haji Salleh Kalbi sedang menenangkan penduduk Kampung Tg. Labian yang menyerbu operasi khas berkenaan setelah permohonan mereka tidak dilayan JPN.

KECEWA....Sebahagian daripada lebih 21,000 orang yang datang untuk memohon daftar lewat sijil lahir dan Mykad yang kelihatan hampa kerana operasi khas tersebut hanya menumpukan mereka yang sudah mendaftar pada tahun lalu.

RAMAI....Jika Tungku mempunyai lebih 21,000 mereka yang tidak mempunyai MyKad, bagaimana dengan 60 DUN lain?

Isu pemberian MyKad kepada warga asing ini, kata Mutalib, bukan rahsia lagi kerana bukunya, IC PALSU Merampas Hak Anak Sabah telah diterima sebagai bahan bukti dalam Petisyen Pilihanraya Likas dan kesemua bukunya tidak pernah ‘diharamkan’ Kerajaan Malaysia; termasuk buku IC PROJEK Agenda Tersembunyi Mahathir dan 007-Lelaki Malaysia Terakhir.

“Dalam senario sekarang, Kerajaan Pusat tidak perlu menafikan kesilapan mereka memberi kad pengenalan biru dan serta merah kepada warga asing dan kini 99 peratus daripada mereka telah memiliki MyKad dan MyPR,” tegas Mutalib yang merasakan tiba masanya Kerajaan Pusat mendaftar semula semua warga asing yang mendapat MyKad projek dengan memberikan Kod Negara Kelahiran berdasarkan Negara asal mereka.

Tegas Mutalib, jika beliau yang dilahirkan di Kedah diberikan Kod 02, kenapa warga asing yang lahir di Indonesia, Filipina, India, Pakistan dan sebagainya diberikan kod 12 atau 49 yang melambangkan seolah-olah mereka lahir di Sabah.

Mutalib yang mendapat taraf penduduk tetap Sabah pada 1974 berkata, Kerajaan Persekutuan telah mengkhianati rakyat Sabah dan ‘Negara’ Sabah dengan melakukan penghapusan ‘etnik’ melalui pengklonan warga asing sebagai warga Negara Malaysia tetapi kad pengenalan mereka hanya diproses atau dimohon daripada Sabah dan bukannya 13 negeri lain di Malaysia.

“Sebagai rakyat Sabah melalui kuat kuasa undang-undang, saya telah mempertaruhkan nyawa saya untuk membantu kerajaan mengenalpasti sindrom PATI. PATI telah menjadikan Sabah sebagai negeri termiskin di Malaysia ketika Sabah berada di dalam lubuk emas,” ujar Mutalib yang menjelaskan berbilion peruntukan dana Kerajaan Persekutuan dan Negeri bocor kepada PATI yang menjadi rakyat Sabah melalui pintu belakang dan suku sakat mereka yang menjadikan rumah mereka sebagai koloni PATI sekalipun tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

Mutalib menjelaskan, sebagai contoh, dalam gerakerja JPN bersama Pejabat Parlimen Silam pada 2009 untuk mendaftar 212 pemohon daftar lewat surat lahir dan 20 daftar lewat MyKad di Tanjung Labian, Tungku; tetapi amat mengejutkan kerana seramai lebih 21,000 orang telah datang untuk memohon daftar lewat kelahiran dan MyKad.

“Pendaftaran bergerak yang dilakukan oleh JPN memang amat baik dan tapisan keselamatan begitu ketat kerana mengikut peraturan pemohon wajib menandatangani surat akuan di hadapan Majistret Kelas Pertama, namun senario di kawasan pendaftaran tidak terjamin kerana bukan sahaja kekurangan kawalan keselamatan, malah ketiadaan Majistret Kelas Pertama,” tegas Mutalib yang mencadangkan agar JPN meminda Akta Pendaftaran Negara dengan menerima pakai Akta DNA bagi memudahkan urusan pengesanan dan pemberian taraf kerakyatan Malaysia.

JPN, kata Mutalib, hendaklah meningkatkan ciri-ciri keselamatan MyKad dan Sijil Lahir agar tidak jatuh ke tangan pihak yang tidak bertanggung jawab kerana mudah begitu mudah dipalsukan; terutama ketika pilihanraya umum kerana beliau melihat ramai pemegang pasport Indonesia dan Filipina mendapat ‘MyKad Khas Untuk Mengundi’ daripada sindiket tertentu.

MEMO....Kementerian Dalam Negeri masih dalam peringkat siasatan dan dalam masa yang sama mengakui kandungan memorandum tersebut serius dan penting.

Berhubung dengan gerakerja beberapa pihak untuk mendapatkan tandatangan rakyat Sabah bagi mendesak penubuhan Suruhan Siasatan Diraja (SSD) sebagai susulan daripada memorandum yang disampaikan oleh Ahli Parlimen Malaysia (Tuaran) Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing; Mutalib menyifatkan sebagai satu usaha yang baik dan beliau telah menandatanganinya melalui Petisyen Online.

“Sebelum ini, saya dengan Datuk Patrick Sindu dan Datuk Dr Jeffrey Kitingan telah menghantar Memorandum Khas kepada DYMM Yang DiPertuan Agong dan Mantan Perdana Menteri (Pak Lah) bersama kesemua buku yang telah saya hasilkan agar ditubuhkan SSD untuk tujuan yang sama, tetapi sehingga kini Tuanku dan PM belum memperkenankannya,” ujar Mutalib yang mengakui terpaksa hidup dalam keadaan waspada 24 jam disebabkan ancaman demi ancaman daripada PATI dan suku sakat mereka.

2 comments:

Ramdin said...

Jutaan terima kasih saudara Mutalib MD, kerana berani menyatakan yg benar. Saya amat berharap semua pemimpin Sabah memberikan sokongan padu dari segi moral mahupun material sebagai menghargai usaha saudara Mutalib MD yang saya betul yakin dan percaya di satu hari nanti kita akan dapat lihat kesan dan kejayaan.

KingGandias said...

Saya sanjung usaha murni En.Mutalib. Saya percaya apa yang diusahakan oleh saudara akan mendapat restu rakyat Sabah dan semoga ramai di kalangan rakyat Sabah membantu usaha ini. Semoga Allah memberkati usaha saudara dan semoga saudara dan keluarga dilindungi oleh Allah swt.