RAJIN... Sedangkan orang Utan mampu menyara kehidupan mereka, apatah lagi orang yang sebenar?
Oleh: MUTALIB M.D
SEPANJANG minggu ini, saya banyak menerima email pro dan kontra daripada rakyat Sabah berhubung isu kemiskinan dan Bank Dunia yang ‘memiskinkan Sabah’ sebagai ulasan kepada artikel saya bertajuk ‘Sambut Aidil Adha Dalam Kemiskinan’ yang disiarkan pada 17 November 2010.
Saya membuat keputusan tidak akan menjawab semua email berkenaan tetapi akan merumuskan jawapan dalam artikel ini yang pada pandangan saya suatu fakta yang tidak dapat ditolak dengan akal bahawa tanpa PATI yang direkrut Kerajaan Persekutuan, Sabah adalah negeri yang terkaya di Malaysia.
Hakikatnya, pada 1970, Sabah merupakan negeri yang kedua terkaya di Malaysia, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perkapita di belakang Selangor (termasuk Kuala Lumpur). Walaupun ia kaya dengan sumber semula jadi, kini Sabah didakwa adalah negeri yang paling miskin di Malaysia kerana perkapitanya paling rendah berbanding kos hidup yang terlalu tinggi.
Setelah tiga dasawarsa, pada 2,000, tahap kemiskinan Sabah pada tahap 16 peratus dan merupakan tahap yang tertinggi di Malaysia kerana tiga kali purata nasional yang disumbangkan oleh kadar pengangguran Sabah tertinggi di Malaysia iaitu pada tahap 5.6 peratus dan hampir dua kali ganda purata pengangguran nasional (3.1 peratus).
Kini, 2010, Bank Dunia dengan ‘lunaknya’ mendakwa bahawa Sabah negeri yang pada dasarnya adalah ‘Negara dalam Negara’ lebih miskin daripada Perlis dan terus memecah rekod ‘Guinness World of Book Record’ sebagai ‘negara’ yang termiskin di dunia?
Bank Dunia boleh berkata apa sahaja, tetapi sebagai rakyat Sabah yang ‘bermaruah’ harus membela nama baik negeri mereka dan mengajar Kerajaan Persekutuan tentang hak yang dinafikan selama ini; terutama agehan kekayaan yang tidak seimbang setelah tarafnya sebagai ‘Negara’ diturunkan sebagai ‘Negeri’ yang mendapat peruntukan sama ‘ciput’ dengan Perlis.
Status ‘Yang Di Pertuan Negara’ yang dijenamakan semula sebagai ‘Yang Di Pertua Negeri’ menunjukkan Sabah telah kehilangan status Negara dan terpaksa melutut kepada Kerajaan Persekutuan kerana semua hasil cukai disedut masuk ke akaun ‘Hasil Yang Disatukan’ dan hanya menerima sekitar 5% sahaja, sekadar nyawa-nyawa ikan untuk membangunkan negeri yang dimungkiri janji ‘Sabah Baru’ pada 1994.
Sabah yang telah kehilangan hasil negeri akibat salah urus beberapa kerajaan negeri yang lalu, akhirnya terpaksa bergantung sepenuhnya kepada dana kerajaan Persekutuan untuk membangunkan prasarana sekalipun hanya sedikit sahaja disalurkan kepada Jabatan Pembangunan Negeri Sabah kerana sejumlah besar dibelanjakan oleh sebuah kementerian yang mempunyai kuasa autonomi, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).
Namun kata pepatah, ‘hati gajah sama dilapah dan hati nyamuk sama dicecah’ tidak berlaku dalam hubungannya dengan Kerajaan Persekutuan yang masih curiga untuk membenarkan Sabah berdiri sebagai sebuah kuasa ‘autonomi’ sejajar menghormati Perjanjian 20 Perkara.
Setelah menjahanamkan politik Sabah dengan Projek X-Files ‘Pendatang Asing Tanpa Izin’ dengan merekrut lebih 322,903 warga Filipina, Indonesia, India, Pakistan sebagai ‘Pengundi Untuk Disewa’ dan diberi kerakyatan Malaysia melalui jalan songsang; kini jumlah mereka sudah terlalu mendominasi demografi Sabah seramai lebih 1.7 juta mendatangkan ancaman yang besar kepada Sabah, bahkan Malaysia.
Walaupun terpaksa berjuang secara berseorangan dan menerima kutukan pelbagai pihak, termasuk rakyat ‘tempatang’ yang ‘menjual’ agama mereka untuk menghalalkan saudara seagama daripada Indonesia, Filipina, Pakistan dan India; digertak dengan lebih 40 laporan polis serta ancaman untuk melucutkan keahlian saya sebagai ahli UMNO seumur hidup, namun saya percaya lebih sejuta rakyat tulen Sabah menyokong perjuangan saya, sekalipun tidak pernah menderma satu sen dibelah tujuh untuk membangunkan laman web www.sabahkini.net yang menjadi wadah perjuangan saya selama ini.
Sewajarnya Sabah yang merupakan ‘negeri’ kedua paling besar di Malaysia dengan keluasan tanah 73,610 km persegi kaya dengan sumber alam semulajadi seperti hutan, galian, fauna, flora hinggalah ke hidupan laut.
Namun kini tidak sampai 40 peratus tanah Sabah diliputi dengan hutan rimba kerana telah dibalak secara tidak terkawal di era Kerajaan USNO, Berjaya dan PBS dan sebahagian besar diteroka sebagai kawasan pertanian, termasuk Benta Wawasan menyebabkan Sabah kehilangan sejumlah besar hasil negeri kerana dasar mengurangkan kegiatan pembalakan dan proses penghutanan semula.
Ahli Sejarah dan Ahli Sosiologi terhandal di dunia sekalipun tidak dapat menyelesaikan misteri pertambahan penduduk Sabah kerana sejak 1963, populasi di Sarawak hanya meningkat sekaliganda, begitu juga di Semenanjung Malaysia.
Namun populasi di Sabah pula, meningkat secara mendadak iaitu dari 450,000 orang pada tahun 1963 kepada 3.28 juta orang pada tahun 2010 iaitu 5 kali ganda.
Sabah yang kini memperolehi pendapatan perkapita RM9,536 berada di bawah standard nasional. Namun dengan Pelancaran Model Economi Baru (NEM) boleh dipercayai boleh melonjakkan Sabah ke tahap yang lebih baik dengan Keluaran Negara Kasar (GDP) Sabah dijangkakan RM12,583, walaupun sekarang berada di tempat ke-13.
Saya agak sedih kerana Sarawak yang sebelum ini terketinggalan jauh di belakang ekonomi Sabah meninggalkan Sabah begitu jauh dengan KDNK sejumlah RM29,175 iaitu 2.5 kali ganda daripada Sabah dan berada di tempat ke-3.
Bagi memulihkan ekonomi Sabah dan mencapai tahap status Negara maju, Sabah perlu mencapai KDNK sebanyak RM57,135 dengan kadar pertumbuhan ekonomi sebanyak 10 peratus setahun.
Mengikut bancian 2010, penduduk Sabah kini seramai 3,271,921 dan 836,626 daripadanya adalah PATI!
Namun bancian tersebut gagal mengesan lebih daripada satu juta PATI yang mendapat suaka politik di dalam UMNO, di bekas perkampungan pelarian yang diwujudkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan bersembunyi di estet perladangan kelapa sawit milik GLC seperti FELDA, FELCRA, LKTNS dan syarikat Bursa Saham Kuala Lumpur seperti Kwantas, IOI, TSH dan sebagainya.
Memang agak sukar untuk mengakui bahawa masih ada rakyat tempatan miskin melainkan beberapa ratus orang yang menjadi mangsa diskriminasi kaum seperti Rungus di luar bandar yang langsung diabaikan kerana faktor lokaliti dan kecuaian Adun yang mewakili mereka.
Agak sukar untuk mencari orang susah kerana bancian yang dilakukan Pejabat Daerah lebih memihak kepada data palsu untuk kepentingan JKKK dan Ketua Kampung yang menyenaraikan suku sakat dan saudara mara mereka sebagai miskin kerana sukar mencari orang miskin di Sabah melainkan PATI yang mempunyai ‘IC Burung-Burung’.
Sedangkan ramai PATI yang tidak mempunyai dokumen tetapi rajin berusaha boleh mendapat antara RM200 hingga RM500 sehari daripada kegiatan menjual rokok haram, menyeludup barang dan mengedar syabu; sekalipun sentiasa diserbu pihak berkuasa. Bukan niat saya menggalakkan penularan jenayah, tetapi menunjukkan pelbagai peluang terbuka luas di Sabah, hatta menjual makanan di pasar malam.
Peniaga pasar malam di seluruh Sabah dikuasai oleh PATI yang mendapat kad pengenalan melalui pintu belakang dan ada juga yang tidak mempunyai dokumen tetapi sanggup menyewa daripada penduduk tempatan.
Namun tidak kurang juga PATI yang dijinakkan UMNO dan bersikap seperti ‘ayam karan’ dan hanya mengharapkan makanan yang ditabur pemimpin UMNO. Mereka inilah yang menjadi parasit dan memalukan Sabah dengan kemiskinan yang berganda kerana malas bekerja dan hanya mengharapkan ehsan wakil rakyat dan pemimpin politik yang menjadikan mereka ‘Fixed Deposit’.
Semalas-malas penduduk Pulau Jampiras, Sandakan yang diasingkan dan ‘dilatih sebagai mesin pembunuh’ mampu memiliki pendapatan antara RM3,000 hingga RM7,000 sebulan daripada kegiatan mereka dalam perniagaan ‘Tukar Barang’ yang penuh konspirasi.
Peluang yang terbuka di Sabah menarik lebih 1.7 juta PATI lalu bagaimanakah kita mahu mendakwa Sabah negeri miskin di Malaysia?
Para pemimpin Sabah harus bangun dan berani untuk berkata tidak kepada PATI yang menjadi liabiliti dan menyingkirkan mereka daripada bumi ini kerana jika tidak dikawal, mereka akan kehilangan pengaruh kerana kesetiaan pemegang kad pengenalan projek ini masih kepada Negara asal mereka sekalipun mula mahir menyanyikan lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku sebagaimana Namawee menyanyikan lagu Negaraku dalam versinya sendiri!
2 comments:
miskin betul Sabah ni ye saudara..
kalau ada 10 orang cam saudara ni,tak mustahil sabah akan jadi negeri yg terkaya di Malaysia...apa kata kita ambil tindakan yg lebih ekstrem sdr...keluar dari Malaysia dan menubuhkan negara sendiri...
Mengikut Perkara 7: HAK PEMISAH daripada 20 Perkara yang menjadi asas Perlembagaan Persekutuan,
“TIDAK HARUS ADA SEBARANG HAK UNTUK BERPISAH DARIPADA PERSEKUTUAN.”
Oleh itu, sila perbaiki ayat anda kerana dikhuatiri boleh dituduh di bawah Akta Hasutan.
Post a Comment