BELA.... Kenapa Salleh harus membela Nasri dan menjadikan beliau sebagai pekerja penting sedangkan ramai belia tempatan yang menganggur?
7 Ogos 2010
Yang Amat Berhormat,
Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak,
Perdana Menteri Malaysia,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 PUTRAJAYA.
YAB Datuk Seri,
AHLI PARLIMEN SILAM MELINDUNGI PATI
Dengan segala hormat dan penuh takzimnya, saya ingin merujuk isu penting ini kepada YAB Datuk Seri kerana ianya melibatkan pencabulan kedaulatan negara dan memijak Perlembagaan Persekutuan.
2. Saya amat bersukacita dan berbangga sekiranya YAB Datuk Seri dapat menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap Ahli Parlimen Silam kerana terlibat dengan kegiatan melindungi pendatang asing tanpa izin (Pati) dan menyembunyikan status isterinya yang menggunakan kad pengenalan projek setelah memalsukan dokumen pengenalan diri.
3. Untuk makluman YAB Datuk Seri, saya telah membuat laporan di Balai Polis Kunak melalui laporan bernombor LD/RPT/1079/2010 pada 22 Februari 2010 yang isi kandungannya seperti berikut;
“Pada jam lebih kurang 10 pagi tadi, saya mendapat maklumat bahawa Ahli Parlimen Silam, YB Haji Salleh Haji Kalbi masih menggunakan khidmat seorang pendatang asing tanpa izin, Nasri Subairah yang menggunakan MyKad bernombor 810925-12-5209. Kenyataan saya bertajuk 'Betulkan Umno Sebelum Guna MyID' disiarkan di laman web www.sabahkini.net pada 24 januari 2010. Saya datang ke balai membuat laporan, agar polis menyiasat dan menangkap Nasri di bawah undang-undang jenayah. Laporan ini juga dibuat terhadap Haji Salleh Haji Kalbi sebagai salah seorang penggubal undang-undang kerana menggaji pendatang tanpa izin dan menulis surat sokongan kepada Menteri Dalam Negeri menyokong agar diluluskan mykad yang digunakan Nasri yang dikenalpasti sebagai tiada dalam rekod JPN.”
4. Namun sehingga kini siasatan polis tergendala kerana ‘campurtangan’ YB Salleh Kalbi yang menghalang mereka menjalankan siasatan dengan alasan beliau telah menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri berhubung status Nasri.
5. Untuk rekod, Nasri Subairah adalah pendatang asing tanpa izin (Pati) yang bukan menjadi ahli mana-mana parti kerana menggunakan kad pengenalan yang tidak ada dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara. Ketika Nasri lahir, ibu bapanya tidak memiliki sebarang pengenalan diri dan mereka (ibubapa) hanya mendapat kad pengenalan projek sekitar 1991.
6. Salleh Kalbi menggaji Nasri sebagai pekerja pejabat Parlimen yang gajinya dibayar oleh Kroni Salleh Kalbi (termasuk Mr Ting dan Chong); sekalipun YAB Datuk Seri memberikan peruntukan untuk mentadbir urus Pejabat Parlimen Silam melalui peruntukan khas Jabatan Perdana Menteri terus ke akaun peribadinya.
7. Saya menerima pelbagai rungutan kerana Nasri lebih mengutamakan Pati yang datang berurusan di Pejabat Parlimen Silam daripada warga tempatan dan merebut semua peluang dan projek kecil termasuk rumah PPRT yang bernilai RM42,000 menggunakan kad pengenalan projek bapanya, seorang Ketua Cawangan UMNO yang memiliki beberapa buah rumah dan lesen pasar ikan di Pasar Ikan Lahad Datu.
8. Sebagai penggubal undang-undang, saya tidak fikir Salleh tidak mengetahui undang-undang kerana tindakannya menyalahi Seksyen 56 (1) (d) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002); yang dikuatkuasakan sejak 1 Ogos 2002 yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda di antara RM10,000 hingga RM50,000 dan sebatan tidak lebih enam kali.
9. Jika seorang ahli Parlimen boleh melindungi Pati dan memberi pelbagai kemudahan kepada pati dan keluarganya, bagaimana wawasan kerajaan untuk mengatasi masalah pati di Sabah yang sudah begitu meruncing?
10. Apakah tradisi melindungi ‘pati’ menjadi ‘Dasar UMNO’ di Parlimen Silam kerana sebelum ini, semua ahli Parlimen Silam mempunyai ‘Haiwan Peliharaan’ yang berstatus pati. Antaranya, Datuk Railey Jeffrey memelihara Majid Lasabo (Allahyarham); Datuk Samsu Baharun Haji Abdul Rahman memberi perlindungan kepada P.Ramlee Lampad; Salleh Kalbi memberi suaka kepada Nasri Subairah.
11. Setelah saya menjalankan siasatan, saya turut dapati isteri Salleh, Hajjah Fatmah Hj Abdul Aziz, adalah Warga Filipina dan datang ke Sabah ketika berusia 10 tahun dan memalsukan keterangan diri untuk mendapat Sijil Lahir daftar lewat ,sebelum mendapat kad pengenalan melalui jalan songsang. Kebanyakan adik beradik isterinya tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan Salleh telah mengilhamkan pendaftaran bergerak di Tungku sedikit masa lalu bagi membolehkan saudara mara isterinya mendapatkan sijil lahir daftar lewat. Isterinya seorang guru di sebuah sekolah rendah di Lahad Datu.
12. Saya turut kecewa dan malu apabila beliau mengisytiharkan dirinya sebagai ‘Duta Keamanan PBB’ sedangkan beliau hanya dilantik secara belas ehsan Ahli Parlimen Pembangkang termasuk SAPP dan DAP yang menyenaraikan namanya kepada Presiden United Peace Federation (UPF) untuk dipilih sebagai ‘Duta Olok-Olok’ yang tidak mempunyai sebarang keistimewaan. UPF hanya sebuah NGO di Korea Selatan yang tidak ada kena mengena dengan PBB. Majoriti ‘Duta Keamanan’ yang dipilih adalah mereka yang menganut agama Kristian melainkan beberapa orang Islam yang rakus gelaran menerima tawaran gelaran yang tidak mendapat sebarang pengiktirafan daripada dunia.
13. Sebagai ‘Duta Keamanan’ Salleh Kalbi telah menyalahguna kuasanya dengan meminta escort kereta peronda polis atau trafik sedangkan beliau bukanlah VIP yang layak mendapat perkhidmatan berkenaan untuk ke sesuatu acara semata-mata untuk menunjuk-nunjuk.
14. Oleh kerana saya selalu mengkritik kelakuan buruknya, Salleh Kalbi bertindak mendesak Pengurus Ladang GLC tempat saya menjalankan kontrak penyelenggaraan ladang agar membatalkan kontrak yang sedang saya jalankan semata-mata untuk memberi pengajaran kepada saya agar tidak mengkritik beliau.
15. Sehubungan itu, sebagai pembayar cukai dan pemilih berdaftar di parlimen Silam, saya mohon jasa baik Datuk Seri agar Salleh Kalbi dirujuk kepada Jawatankuasa Khas Parlimen berhubung salah laku dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap beliau.
16. Saya bersedia menjadi saksi jika YAB Datuk Seri ingin menjalankan siasatan demi menyelamatkan maruah egara daripada petualangan ahli Parlimen yang telah menderhaka kepada Negara.
Sekian, Terima Kasih,
Yang Benar,
CITRA MASADI
s.k
Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia, Speaker Dewan Rakyat.
Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussien, Menteri Dalam Negeri.
Semua Ahli Parlimen Malaysia dan Semua Senator Dewan Negara.
Semua Media Arus Perdana dan Media Alternatif
(NOTA: Sabahkini.net tidak bertanggung jawab di atas fakta dan pertuduhan ini kerana penulis surat tersebut bertanggung jawab di atas kebenaran dan segala risiko undang-undang yang bakal dihadapi. Kesungguhan beliau membuat laporan polis menjadi asas untuk menyiarkan surat terbuka ini.)
No comments:
Post a Comment