SAKSI.... Noorninah bersama suami (kanan) dan Hassnar setelah membuat penyaksian penandatangani geran deraf di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
Ehsan: www.sabahkini.net
PEMBEKUAN pendaftaran geran deraf oleh Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur (PTU) melalui surat bil. L.S 5322.21(Koyah) Jld. IV/172 DHOHJ/PBB/pbb bertarikh 8 Julai 2009 menyebabkan Noorninah Haji Sahih, 58, dan suaminya, Othman Ahmad, 59, terpaksa membelanjakan RM10,000 daripada wang tabungan persaraan untuk mengupah peguam mendapatkan perintah 'Mandamus' daripada Mahkamah Tinggi Sandakan sekiranya Penolong Pemungut Hasil Tanah Kinabatangan masih berdegil dan enggan mendaftar geran deraf tanahnya di Skim Pekebun Kecil Sungai Koyah, Kinabatangan.
Noorninah yang terpaksa ke Kota Kinabalu untuk memohon penyaksian Pesuruhjaya Sumpah di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dan berjumpa peguamnya kerana tempoh pendaftaran gerannya hampir luput daripada tarikh yang dibenarkan iaitu selama enam bulan dan hanya tinggal baki selama tiga bulan lagi sebelum geran derafnya dibatalkan.
“Semua usaha saya selama ini buntu kerana PPHT enggan daftar disebabkan arahan PTU dan tuntutan bertindih. Sehingga sekarang saya tidak boleh memasuki tanah saya kerana diceroboh warga asing Indonesia yang mendapat kad pengenalan projek,” ujar Noorninah yang kesal kerana PTU menyalahguna kuasanya untuk menghalang anak negeri mendapatkan hak mereka sebaliknya memberi laluan kepada pendatang asing berkongsi hak dengan beliau.
Tanya Noorninah, apakah ini modus operandi yang digunakan untuk memastikan anak negeri kehilangan hak kepada warga asing yang berani mengeluarkan atau membayar dengan harga yang mahal kepada pegawai yang boleh meluluskan tanah?
Kata Noorninah, Kerajaan Negeri Sabah telah mengeluarkan geran deraf NT 093017200 kepadanya bagi tanah seluas 7.02 ekar yang dipohon pada 1996 di Kampung Rantau Abang, Lot M, Kinabatangan, Sabah dan pada 18 Jun 2009 beliau telah membayar segala cukai dan kadaran yang ditetapkan di PPHT Kinabatangan namun gagal mendaftar geran derafnya atas arahan lisan PTU, Datuk Osman Jamal.
“Mula-mula dia (PTU) bagi arahan lisan kepada pegawai pendaftar, saya tidak percaya dan dia (PTU) hantar sms kepada pegawai pendaftar untuk mengesahkan arahannya dipatuhi atas sebab yang tidak jelas dan tidak masuk akal,” ujar Noorninah yang kemudiannya menemui PTU di Kota Kinabalu untuk mendapat larangan bertulis.
Kata Noorninah, hanya pada 8 Julai 2009, PTU mengeluarkan surat arahan kepada PPHT Kinabatangan yang menyatakan hasil lawatan kerja dengan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin pada 8 Jun 2009, banyak isu yang ditimbulkan dan PTU terpaksa membekukan semua pendaftaran geran deraf sehingga siasatan jabatannya terhadap isu pertindihan permohonan diselesaikan.
“Sepatutnya jika mereka ada sebarang tuntutan, selesaikan sebelum geran deraf dikeluarkan dan bukan selepas saya membayar semua premium dan cukai, mereka melarang saya mendaftar geran deraf saya. Kalau mereka tidak puas hati, harus bawa isu ini ke mahkamah seperti apa yang akan saya buat, iaitu mendapatkan perintah Mandamus, jika masih gagal mendaftar geran geraf saya,” ujar Noorninah yang ditemani suami dan anak saudaranya, OKK Hassnar M.P. Ebrahim mendapatkan penyaksian Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu sebelum mendaftar di PPHT Kinabatangan selepas Hari Kebangsaan kelak.
Noorninah juga kesal dengan kredibiliti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Pasukan Petugas Khas Persekutuan dan Ketua Kampung yang sewenang-wenangnya membenarkan pendatang asing tanpa izin menetap, menceroboh tanah Anak Negeri Sabah setelah mendapat kad pengenalan projek melalui pintu belakang.
“Walaupun mereka mungkin ada kad pengenalan, tetapi oleh kerana mereka berasal daripada Indonesia, maka mereka harus memiliki Sijil Anak Negeri sebelum boleh memiliki tanah berstatus NT. Saya tidak bimbang, Cuma menyusahkan saya berulang alik berjumpa dengan pegawai yang menyalahguna kuasa,” ujar Noorninah yang mendesak Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan tegas terhadap semua pendatang tanpa izin Indonesia yang menceroboh tanah penduduk kampung sehingga pemilik asal gagal mengusahakan tanah mereka.
Tegas Noorninah, pendatang asing ini enggan keluar daripada tanah tersebut kerana dilindungi polis, wakil rakyat, pegawai kerajaan dan parti yang merekrut mereka sebagai ahli, manakala Suhakam hanya seperti kucing yang takutkan tikus kerana gagal menyelesaikan masalah hak asasi yang diadukan kepada mereka.
Jalan terakhir yang terpaksa dipilih, kata Noorninah ialah ‘Mandamus’ bagi membongkar skandal Tanah di Skim Pekebun Kecil Sungai Koyah yang kebanyakannya terlepas pendatang tanpa izin yang direkrut oleh pihak tertentu yang berkepentingan untuk tujuan politik.
“Inikah makna kemerdekaan yang dijanjikan 1Malaysia jika pendatang asing boleh sewenang-wenangnya menceroboh tanah adat dan menuntut hak anak negeri setelah mendapat kad pengenalan melalui jalan yang tidak sah? Perlukah berlaku pertumpahan darah, baru kerajaan mahu bertindak?,” tanya Noorninah yang merujuk kepada Kes Skim Pekebun Kecil Tingkayu, Kunak yang mengorbankan satu nyawa dan mencederakan lima yang lain.
Dengan apa cara sekalipun, kata Noorninah, beliau akan tetap bertegas untuk mengusir keluar penceroboh tanahnya dan mengheret pegawai yang rasuah dan menyalahguna kuasa ke pengadilan.
“Jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan tugas dengan sempurna, kes ini tidak akan berlaku dan saya serta anak negeri Sabah yang lain tidak akan kehilangan hak,” ujar Noorninah yang akan memfailkan aduan rasmi kepada SPRM jika terpaksa mengambil perintah Mandamus sekiranya PPHT Kinabatangan masih berdegil.
No comments:
Post a Comment