Search This Blog

Wednesday, May 19, 2010

NASIB MANGSA CULIK DALAM DILEMA?





Written by Admin
Wednesday, 05 May 2010 16:22

Oleh: MUTALIB M.D

SUDAH hampir 100 hari dalam tahanan penculik, namun nasib Tsen Vui Chung dan Lai Wing Chau yang dijadualkan dibebaskan isnin lalu bagaikan ‘telur di hujung tanduk’ berikutan cubaan demi cubaan perunding yang menyamar mewakili pihak berkuasa Malaysia sehingga beberapa siri rundingan wakil sah menemui jalan buntu.

Menurut koresponden Sabahkini.net di Tawi-Tawi Filipina, Deep Throat Filipina (DTF), beliau terkejut kerana penculik menelefon isteri beliau di Kota Kinabalu sebanyak tiga kali untuk bercakap dengan DTF sedangkan ketika itu beliau berada di Filipina.

“Mungkin ada dalang dalam PDRM yang merakam percakapan saya dan penculik dengan keluarga mangsa culik dan memintas percakapan saya dengan isteri sehingga ada pihak ketiga yang memberikan nombor telefon isteri saya kepada penculik untuk membingungkan mereka dan sekaligus melaksanakan agenda sulit mereka,” ujar DTF melalui telefon satelit yang dipercayai turut dirakam pihak berkuasa Malaysia kerana terdengar bunyi klik dan bip selang 20 saat setiap bercakapan dengan DTF.

Sehubungan itu, DTF merayu agar pihak ketiga yang didalangi pihak berkuasa Malaysia tidak mengganggu perundingan yang sedang dijalankan dengan pihak penculik yang hampir mencetuskan kejayaan jumaat minggu lalu namun kembali memuncak tegang pada Isnin minggu ini.

Nyawa mangsa culik kini bergantung penuh kepada Tentera dan Polis Filipina yang terpaksa menggempur penculik jika rundingan akhir Jumaat ini gagal atau disabotaj pihak ketiga yang didalangi pihak berkuasa Malaysia.

Bagaimanapun kata DTF, segalanya bergantung kepada mesyuarat mereka malam ini dan telah mengenalpasti pihak mana yang terlibat menggagalkan tiga perundingan penting yang diadakan sebelum ini.

“Kita masih tidak jemu-jemu berunding tetapi demi keselamatan mangsa kita minta pihak ketiga tidak bermain api kerana akan menyebabkan risiko mangsa terbunuh,” kata DTF yang sengaja menguatkan suara sekalipun mengetahui perbualannya dirakam dari semasa ke semasa.

DTF tidak dapat memberitahu senario sebenar kerana menyedari sentiasa dipantau pihak berkuasa Malaysia dan Sabahkini.net terpaksa merahsiakan banyak operasi penting yang dilakukan juruperunding, pihak berkuasa Filipina dan penculik demi keselamatan dua mangsa yang semakin lemah akibat kekurangan zat makanan.


No comments: