LAHAD DATU merupakan Syurga Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan usaha kerajaan untuk menyelesaikan isu PATI ketinggalan zaman dan membazirkan wang rakyat kerana menggunakan mekanisme 1970-an untuk mengatasi masalah abad ke 21.
Penulis kontroversi Sabah, Mutalib M.D membuat tanggapan demikian ketika diminta mengulas jawapan Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur di Dewan Undangan Negeri Sabah yang mendedahkan hanya 16,359 PATI yang berjaya dicekup sepuluh bulan pertama 2010.
“Mereka masih menggunakan kapak untuk menebang balak ketika negara lain sudah menggunakan Skyline dan Heli Lumber,” ujar Mutalib yang menyifatkan Kerajaan Persekutuan gagal 100 peratus mengatasi masalah PATI di Sabah sejak 1970-an.
Negara yang menjadi punca masalah PATI kepada Sabah seperti Indonesia, kata Mutalib mengenakan hukuman penjara enam tahun dan denda yang tinggi kepada mereka yang didapati memasuki negara tersebut secara tidak sah, berbanding undang-undang Malaysia lazimnya hanya mengenakan hukuman maksimum enam bulan penjara dan denda maksimum 10,000.
Walaupun Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) yang dikuatkuasakan 1 Ogos 2002, menetapkan pendatang tanpa izin boleh hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya dan boleh disebat tidak melebihi enam kali, namun bukannya hukuman mandatori seperti yang diamalkan di Indonesia.
“Jika rakyat kita ditahan di Indonesia, kita terhegeh-hegeh membantu mereka sekalipun mereka memasuki Indonesia secara haram untuk melanggan pelacur atau menyeludup rokok. Ada yang telah kita lepaskan melalui jalan diplomatik dan ada juga banduan Indonesia yang telah menjadi wakil rakyat. Inilah wajah kita dalam menangani isu PATI,” ujar Mutalib yang menyifatkan kerajaan terlalu bertolak ansur atas prinsip semangat kejiranan.
Mutalib menegaskan, bukti ketara telah beliau jelaskan dalam hampir kesemuanya bukunya terutama IC PALSU Merampas Hak Anak Sabah; IC Projek Agenda Tersembunyi Mahathir; Pengundi Untuk Disewa dan 007-Lelaki Malaysia Terakhir, namun pihak berkuasa merabunkan mata mereka semata-mata kerana kebanyakan PATI mendapat suaka politik dan dilindungi Adun UMNO.
“Ramai antara mereka masih lagi menjadi Ketua Cawangan dan ahli UMNO dan bukti paling ketara ahli UMNO Silam paling ramai yang tidak boleh mengundi tetapi pemimpin UMNO enggan menyingkirkan mereka untuk ‘Fixed-Deposit’ politik, apatah lagi generasi kedua sudah mendapat kad pengenalan, sekalipun generasi pertama hanya memiliki ‘IC burung-burung’,” ujar Mutalib yang menyifatkan ramai pemimpin UMNO terpaksa menjadi penderhaka kepada negara demi survival politik mereka.
Jika UMNO menyediakan ‘Imunisasi’ kepada PATI dengan membenarkan mereka tinggal di Sabah atas semangat KeIslaman dan serumpun; dalam masa yang sama mereka memburu PATI seperti filem kartun Tommy & Jerry, maka isu ini tidak akan selesai sampai bila-bila.
“Sewajarnya Ketua UMNO Silam boleh ditangkap dan didakwa di Mahkamah kerana melindungi pendatang tanpa izin dan boleh didakwa mengikut Seksyen 56 (1) (d) di bawah Akta yang sama,” ujar Mutalib lagi.
Kewujudan Pasukan Petugas Khas Persekutuan (Task Force) hanya sekadar menjadi ‘Penyibuk’ di Sabah kerana pada dasarnya tidak mempunyai sebarang locus-standi kerana masih wujud secara ah-hoc dan bukannya pihak berkuasa yang diberi kuasa penguatkuasaan sehingga terpaksa menumpang kepada penguatkuasa undang-undang seperti Jabatan Imigresen.
“Task Force di Sabah dan Labuan wajar ditutup dan Jabatan Ketua Menteri wajar diberi kuasa mutlak untuk menguatkuasa Akta Imigresen secara total dengan kerjasama Jabatan Imigresen sejajar dengan pelaksanaan 20 Perkara,” kata Mutalib lagi.
Penubuhan lebih banyak Pusat Tahanan Sementara sebenarnya membebankan rakyat Malaysia dan pada pandangan Mutalib, penahanan ini mencabul hak asasi manusia kerana tidak mempunyai kemudahan asas yang mencukupi; sedangkan mengikut undang-undang hanya Jabatan Penjara yang boleh menyimpan seorang penjenayah di bawah kustodi mereka dan Pusat Tahanan Sementara bukanlah institusi penjara.
Tegas Mutalib, mengikut Sub-Seksyen (4) Kawalan Masuk Ke Dalam Malaysia (AKta Imigresen 1959/1963 Pindaan 1997), beban membuktikan bahawa seseorang itu memasuki Malaysia tanpa melanggar peruntukan subseksyen (1) hendaklah terletak ke atas orang itu, dan mana-mana pendakwaan terhadap suatu kesalahan di bawah Subseksyen (i), maka tidak perlu dinyatakan dalam suatu pertuduhan tentang tarikh, waktu, tempat atau cara kemasukan orang tersebut ke Malaysia atau cara-cara perjalanan yang digunakan bagi kemasukan itu dan pendakwaan tersebut boleh diadakan di mana-mana tempat di Malaysia.
“Oleh itu, saya hairan kenapa Task Force terus menyibuk dengan tugas Jabatan Imigresen dan tidak mempunyai keupayaan untuk mempercepatkan proses pendakwaan, terutama membawa hakim ke Pusat Tahanan atau mewujudkan Mahkamah Majistret di Pusat Tahan Sementara,” ujar Mutalib yang jengkel dengan sandiwara Task Force dan 60 Adun di Sabah yang enggan bersuara untuk menghantar pulang Task Force ke Semenanjung Malaysia kerana kes ini sinonim dengan isu Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah yang sudah gulung tikar.
Dalam pada itu, ketika menjawab soalan lisan, Datuk Louis Rampas (BN-Kiulu) mengenai jumlah PATI yang telah ditangkap mengikut pecahan negara asal mereka dan berapa banyakkah yang sudah dihantar pulang, Nasrun berkata, daripada jumlah 16,359 itu seramai 11,093 warga Filipina, 4,940 (Indonesia) manakala baki 326 terdiri daripada warga negara lain.
Nasrun berkata, dari Januari hingga Oktober lalu, seramai 11,310 PATI terdiri daripada 7,311 warga Filipina, 3,856 (Indonesia) dan 143 lain-lain negara dihantar pulang ke negara masing-masing selepas ditahan.
Beliau menambah, tahun lalu seramai 8,510 warga Filipina, 2,810 (Indonesia) dan 288 warga lain ditahan dan dihantar pulang.