TEMAN....Dr Chong (kiri) menyerahkan buku 'Lest We Forget' kepada Pengarang Buku IC Palsu Merampas Hak Anak Sabah.
Ehsan:
www.sabahkini.net PELANCARAN buku ‘
Lest We Forget’ atau
‘Jangan Kita Lupakan’ karya Dr Chong Eng Leong oleh Bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim malam semalam di Restoran Atlantis, Bundusan, Kota Kinabalu telah memulakan satu titik baru polemik keselamatan dan kedaulatan di Sabah yang dipertikaikan rakyat Sabah selama ini.
Dalam kenyataan ringkasnya semasa pelancaran buku ini, Zaid menyifatkan buku ini sebagai ‘isihati’ rakyat Sabah yang perlu ditelaah dan ditunaikan bukan sahaja janji 20 perkara, malah secara berseloroh mengesa BN menunaikan 50 perkara penting yang belum pernah dilaksanakan Kerajaan BN selama ini termasuk janji pembangunan, ekuiti dan royalti minyak.
Walaupun buku ini ringkas dan boleh dibaca dalam tempoh 30 minit sahaja, namun memerlukan penyelesaian yang beratus tahun kerana Kerajaan Barisan Nasional tidak menampakkan sebarang ‘political will’ untuk menumbuhkan keyakinan rakyat, malah membiarkan krisis perlembagaan yang bersangkutan dengan Keselamatan dan Kedaulatan di Sabah, seperti seadanya dan enggan diubah sekalipun berpeluang melakukannya secara tuntas.
Pengerusi Yayasan Warisan Borneo (BHF), Datuk Dr Jeffrey Kitingan dalam ucapannya sebelum pelancaran buku berkenaan mendedahkan ‘niat jahat’ Kerajaan BN terhadap rakyat Sabah yang telah membentuk Negara Malaysia dan menyifatkan penerbitan buku ‘Lest We Forget’ sebagai tindakan nekad ‘Anak Jati Sabah’ untuk membela maruah ‘Ibu Pertiwi’ yang dicabul ‘Pendatang Tanpa Izin’ dengan restu Kerajaan BN.
Menjurutera semula semua masalah yang dibangkitkan dalam beberapa buah buku MUTALIB M.D antaranya, IC PALSU Merampas Hak Anak Sabah; Pengundi Untuk Disewa; IC PROJEK-Agenda Tersembunyi Mahathir? dan 007-Lelaki Malaysia Terakhir? serta buku Justice For Sabah karangan Datuk Dr Jeffrey Kitingan, buku ‘Lest We Forget’ yang dihidangkan secara santai tetapi membawa persoalan yang berat isu dan sarat dengan agenda.
Isu keselamatan yang meranjau kehidupan rakyat Sabah akibat kehadiran ratusan ribu warga asing tanpa dokumen dan isu kedaulatan yang merampas hak asasi rakyat jati Sabah oleh ‘Warga Terapung’ dari Filipina dan Indonesia sehingga mereka tidak mempunyai kata putus untuk memilih kerajaan, menubuhkan kerajaan atau menurunkan kerajaan yang zalim kerana kuasa undi mereka berada di tangan pendatang asing tanpa izin yang telah diizinkan memiliki Mykad atau dokumen pengenalan diri Malaysia ketika hari pengundian.
Misteri kehadiran begitu ramai warga asing telah dibuktikan dengan beberapa teori terutama yang dilengkapi dengan fakta demografi yang sukar untuk diberi jawapan oleh Pakar Sosiologi dan Antropologi dari mana-mana universiti di dunia kerana pertubuhan mendadak penduduk bumiputera lain di Sabah sehingga 631 peratus adalah tidak masuk akal.
Walaupun buku ini setebal 194 muka surat yang disaratkan dengan bukti sekunder berbentuk fakta dan keratan akhbar, namun persoalan yang dimuatkan dalam lima bab buku Dwi Bahasa (Inggeris-Melayu) ini amat sarat dan membuatkan ‘denyutan nadi’ kita semakin pantas dan mampu melumpuhkan urat saraf bagi mereka yang tahu berfikir tentang bahaya yang sedang ditempah atau meranjau kehidupan masyarakat Sabah.
Buku terbitan sulung Yayasan Warisan Borneo (BHF) dijual dengan harga RM15 sebuah dan boleh dipesan terus daripada Sabahkini.net atau dibeli daripada Book and Magazines, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu mulai 25 Ogos 2009.
Naib Presiden SUHAKAM, Tan Sri Simon Sipaun dalam Prakata buku ini melakukan servis kuda kerana telah berjaya menukarkan cogankata jolokan ‘the land below the wind’ sebagai ‘the land of illegal immigrant’ sehingga mengklasifikasikan isu ‘Pendatang Tanpa Izin’ atau ‘Diizinkan’ melalui ‘Pintu Belakang’ ini sebagai ‘Ibu Kepada Segala Masalah Di Sabah.
Dalam frasa akhir buku tersebut, Dr Chong melampiaskan kegelisahannya bagaikan melantak paku keranda terakhir dengan berkata;
“Sabah mengambil bahagian dalam pembentukan Malaysia pada 1963 kerana keamanan dan kedaulatan Sabah dalam Malaysia akan terjamin. Pendedahan oleh SUHAKAM telah menyokong fakta-fakta yang dihuraikan secara terperinci dalam buku ini. JPN dengan arahan pihak berkuasa telah memperbodoh dan memperlekehkan rakyat Sabah selama ini, tidak menghormati ‘Cobbold Commission Report’, ‘Inter-Government Committee (IGC) Report’ dan ‘Malaysian Agreement’. Sebenarnya, tanpa cadangan-cadangan yang telah disebutkan dalam laporan dan perjanjian tersebut, mungkin tidak wujud Negara Malaysia.”