|
Written by Admin |
Thursday, 29 April 2010 09:15 |
Oleh: MUTALIB M.D JIKA tidak ada aral melintang, dua mangsa culik daripada Terumbu Karang Sebangkat, 7.5 batu nautika daripada Semporna, Tsen Vui Chung dan Lai Wing Chau dijangka dibebaskan pada Sabtu ini; demikian lapor koresponden Sabahkini.net daripada Siasi, Filipina pada jam 8.50 pagi tadi. Deep Throat Filipina (DTF) yang selama ini memantau perkembangan dan menjadi salah seorang perunding tebusan berkenaan; bagaimanapun kecewa dengan percubaan akhir pihak berkuasa terutama yang mendakwa mewakili Polis Malaysia yang masih tidak jemu-jemu memujuk agar mangsa dibawa balik secara senyap-senyap ke Semporna, demi untuk menjaga nama baik Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien yang menerima tamparan yang hebat akibat insiden penculikan ini. “Kita kesal kerana kita menggadai nyawa dan Menteri Luar, Datuk Anifah Aman yang bertungkus lumus mengadakan rundingan dua hala; tiba-tiba mereka cuba membatalkan persidangan media di Filipina agar mangsa culik dapat diseludup secara senyap-senyap kembali ke Malaysia,” ujar DTF yang agak kesal dengan perkembangan terbaru ini dan meminta Polis Malaysia agar tidak melakukan tindakan bodoh berkenaan kerana risiko diculik semula oleh kumpulan lain begitu tinggi. Kata DTF, para perunding dan pihak berkuasa Filipina yang menggadai nyawa mereka menjalankan rundingan dua hala dan telah membuat persediaan akhir untuk mengadakan sidang akhbar sebaik sahaja dua tebusan berkenaan dibebaskan namun percubaan demi percubaan beberapa pihak untuk menggagalkan usaha ini amat membimbangkan. “Menculik mangsa yang baru dibebaskan adalah kerja gila kerana akan memburukkan hubungan dua hala kerajaan Malaysia dan Filipina. Apatah lagi Menteri Luar telah mengutus watikah rasmi memohon bantuan Filipina dan setelah dibantu, ada pihak luar mengenakan syarat yang lain dan seolah-olah mahu menyembunyikan fakta bahawa mangsa berada di Filipina,” kata DTF dengan nada kesal dan mengharapkan agar Polis Malaysia atau seangkatan dengannya tidak meneruskan hasrat mereka. DTF yang sebelum ini turut terlibat dengan perundingan pembebasan tebusan Sipadan dan Pandanan pada 2000 sekali lagi menggesa agar semua rakyat Malaysia mendoakan keselamatan para tebusan dan para perunding yang tersepit di saat genting akibat campurtangan pihak ketiga yang cuba menggagalkan pembebasan para tebusan yang dijadualkan pada tengah hari Sabtu. Sabahkini.net akan membawa perkembangan kes penculikan berkenaan terutama akan menyiarkan gambar tebusan sebaik sahaja mereka dibebaskan dan persediaan sedang dijalankan dengan pihak berkuasa Filipina. |