Oleh: MUTALIB M.D
‘WIRA SABAH’, nama jolokan yang diberikan oleh lebih 3,000 penduduk Sabah yang menghantar email melalui Sabahkini.net kepada Ahli Parlimen Malaysia (Tuaran) Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing (kiri), yang memuji keberanian beliau menerima cabaran Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein untuk mendedahkan bukti dakwaannya; telah menyerahkan bukti yang dijanjikan kepada Kementerian Dalam Negeri pagi tadi di Bangunan Parlimen.
Sejak Sabahkini.net mengeluarkan kenyataan Bumburing, ribuan email mencurah masuk ke email rasmi Sabahkini.net@gmail.com yang kebanyakannya memuji dan menghargai tindakan berani Bumburing menerima cabaran Hishamuddin yang gagal disambut oleh Ahli Parlimen Sabah sejak tiga dekad lalu; dengan memberi pelbagai gelaran kepada Bumburing termasuk 'Wira Sabah' dan 'Pahlawan Sabah Modern'; kerana keberaniannya menongkah arus.
Bumburing yang telah mengambil masa selama empat bulan untuk mengumpul bukti selepas menerima cabaran daripada Hishamuddin berhubung pertanyaan lisannya di Dewan Rakyat yang dikemukakan pada 16 Jun 2010; hari ini (16 Disember 2010) menyerahkan bukti pemberian kewarganegaraan Malaysia secara tidak sah melalui IC Projek, yang bertajuk ‘Memorandum Pembatalan IC Projek Milik Pati Di Sabah’.
Memorandum tersebut telah diserahkan kepada Timbalan Negeri Dalam Negeri, Dato Wira Abu Seman Yusof di Dewan Parlimen kerana Hishamuddin tidak dapat datang kerana ada urusan lain yang perlu diselesaikan.
“Saya sudah menunaikan tanggung jawab saya sebagai rakyat Sabah yang berbangsa Malaysia dengan menyerahkan memorandum ini dan saya harap agar KDN akan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah yang berlarutan selama 30 tahun demi kedaulatan Sabah dan kebaikan bersama,” ujar Bumburing yang berpuas hati dengan penerimaan Dato Wira Abu Seman terhadap memorandum yang beliau sampaikan.
Wawancara Khas Sabahkini.net dengan Bumburing akan disiarkan dalam masa terdekat setelah Bumburing membuat kenyataan akhbar di Sabah esok.