Search This Blog

Saturday, March 28, 2009

TAHNIAH PAIRIN, TERIMA KASIH BN?



Sumber: Sabahkini.net

TAHNIAH kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan kerana telah menjadi Ahli Parlimen Keningau paling lama berkhidmat iaitu sejak 1985 dan tidak pernah tumpas dalam pilihanraya umum sejak beliau menjadi Ketua Menteri pada 1985 hingga 1994.

Namun majoriti rakyat Keningau terus merintih dalam hilai tawa rakyat Malaysia menyambut pakej stimulus RM60 bilion yang diumumkan dalam Mini Bajet baru-baru ini.

Sampai bila mereka harus menunggu untuk menikmati pembangunan setelah menjadi pemerhati pembangunan di kampung lain di seluruh Sabah yang pesat membangun sehala dengan kedudukan Pairin sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar?

Keresahan yang berpanjangan ini mengundang mereka menemui wakil sabahkini.net untuk mengadu masalah mereka kerana akhbar tempatan bagaikan 'dibeli' oleh Pairin sehingga segala aduan mereka bagaikan membasuh pakaian di parit yang berbau.

"Kami sudah cukup sabar menanti janji Pairin sejak 1985, tapi janji hanya tinggal janji. Sampai bila kami mau tunggu?," tanya Ronny yang gelisah kerana jalan menuju Kampung Mongitom begitu teruk sehingga sukar dilalui kenderaan ringan.

Ronny telah mencuba pelbagai cara untuk menarik minat Pairin agar berkunjung ke kampungnya dan memaklumkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung serta Ketua Kampung, namun kata Ronny segala surat permohonan mereka tidak dilayan Pairin.

"Saya rasa mungkin silap kami kerana memberikan undi kami kepada Pairin," ujar Ronny yang agak kesal kerana tidak ada sebarang usaha dilakukan Kerajaan Barisan Nasional menaik taraf jalan kampung sedangkan jalan Tambunan-Api-Apin boleh dikatakan diturap setiap tahun walaupun tidak rosak.

Kekecewaan penduduk kampung telah diterjemahkan dengan baik apabila mereka sebulat suara memutuskan untuk menanam pokok jarak pagar di atas jalan raya yang rosak sebagai tanda protes terhadap Pairin dan Barisan Nasional.

"Saya rasa inilah cara terhormat yang paling halus yang kami lakukan. Kami terima kasihlah sangat kepada BN agar dapat menyalurkan peruntukan terus kepada kampung kami. Buat apalah cerita bilion-bilion tetapi jalan kampung kami macam tempat babi berkubang?," ujar Ronny lagi.

TIMBALAN PERDANA MENTERI KEDUA?



Sumber: www.sabahkini.net

WALAUPUN Jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak ada di dalam Perlembagaan Persekutuan, namun amalan melantik Timbalan Perdana Menteri sudah menjadi 'budaya' politik Malaysia yang menjadi 'taboo' dan tidak boleh dipertikaikan kerana kuasa 'Veto' Perdana Menteri melantik Timbalan Perdana Menteri!

Janji Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melantik Timbalan Perdana Menteri Kedua daripada Sabah ketika berkempen pada pilihanraya Umum lalu sepatutnya disambut oleh UMNO bagi memastikan Kubu Kuat UMNO di Sabah tidak dibedil Pakatan rakyat pada pilihanraya umum akan datang.

Slot Timbalan Perdana Menteri Kedua dirasakan 'hadiah' bagi Sabah yang menang besar dalam pemilihan Majlis Tertinggi 2008 yang berlansung pada 26 Mac 2009 apabila ramai calon daripada Sabah memenangi jawatan yang ditandingi masing-masing termasuk jawatan Naib Presiden UMNO.

Jika Anwar yang tidak mempunyai kuasa politik dan legislatif mampu menabur janji berkenaan, kenapa UMNO yang semakin kukuh dengan saf kepimpinan 'Nakhoda Zaman' tidak berjaya merealisasikan impian rakyat Sabah yang ingin melihat pemimpin daripada Sabah duduk semeja dengan pemimpin Pusat yang selama ini dianggap sebagai 'penjajah dan penjarah politik' yang memerangkap Sabah di dalam penjara politik Malaysia?

Mungkin inilah saatnya, UMNO menunaikan hasrat rakyat Sabah yang selama ini mencanangkan 'Sabah for Sabahan' dengan mengagehkan kuasa eksekutif untuk mentadbir Sabah kepada rakyat Sabah sendiri melalui perlantikan pemimpin Sabah sebagai Timbalan Perdana Menteri Kedua untuk menjaga Sabah dan Sarawak yang terlalu mundur dan dimundurkan oleh karenah birokrasi yang diterima pakai sebagai kekangan politik yang mendaulatkan 'Ketuanan Melayu.'

Hanya satu calon tunggal daripada Sabah yang layak atau sesuai untuk mengisi slot yang bakal diwujudkan jika UMNO ingin menjadikan Sabah sebagai 'Kubu Politik' sebelum diterjemahkan oleh pengundi yang marah kepada UMNO menjadikan Sabah sebagai 'Kubur Politik' UMNO pada pilihanraya akan datang jika permintaan Sabah tidak mendapat layanan sebenarnya.

Calon tersebut ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Afdal yang menjadi regu setia kepada Najib untuk menakhoda zaman di dalam bahtera UMNO.

Namun cadangan ini harus dikaji sedalam-dalamnya kerana memberi kesan yang agak besar dalam kestabilan politik apabila mereka yang diberi kuasa sering kali cenderung menyalahgunakan kuasa, terutama apabila tidak lagi sehaluan dengan pemimpin negara sebagaimana yang terjadi antara Mahathir-Musa dan Mahathir-Anwar.

Keperluan Sabah untuk mendapat 'equal share' sebagai 'equal partner' adalah mandatori dengan perlantikan Timbalan Perdana Menteri Kedua untuk menjulang kembali pembangunan di Sabah yang tercicir daripada pelan kerangka tindakan pemulihan ekonomi mampan Dasar Pembangunan Negara!

Friday, March 27, 2009

MUSA MENANG MT TETAPI TAKUT MAHKAMAH?


SAPENA...Hafiz sedang membacakan Sapena yang disampaikan kepada Musa Aman.

PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Musa Aman telah mengungguli jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO dengan mendapat undi ketiga tertinggi selepas Tok Pa dan Datuk Noh Omar iaitu sebanyak 2,084 undi.

Namun ketika dihampiri seorang lelaki, Mohd Hafiz Jamail, yang menghantar Sapena daripara Mahkamah Tinggi Sandakan, beliau menerimanya tetapi enggan menandatangani akuanterima sapena berkenaan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Sandakan yang mengarahkan agar beliau hadir memberi keterangan dalam kes perbicaraan sivil Hassnar Ebrahim Vs Majari Awaljari dan 12 yang lain.

"Dia tidak mahu menandatangani akuan penerimaan sapena tersebut, tetapi yang penting saya telah bacakan di hadapan beliau dan sapena berkenaan disampaikan secara peribadi kepada beliau," ujar Hafiz yang agak terkilan kerana sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ketua Menteri Sabah tidak menghormat arahan Mahkamah Tinggi.

Menurut Hafiz, beliau telah beberapa kali cuba menyampaikan sapena berkenaan di Kota Kinabalu, namun Musa sering berdalih dengan memberi pelbagai alasan.


KETAT...Musa turut diiringi Pegawai Kanan Polis Cawangan Khas daripada Kota Kinabalu?


"Saya terpaksa terbang ke Kuala Lumpur dan menyampaikan sapena tersebut di PWTC setelah menyakini beliau hadir di Perhimpunan Agung UMNO tetapi beliau menolak untuk menandatangani akuterima untuk dikembalikan sapena tersebut ke Mahkamah Tinggi Sandakan," ujar Hafiz lagi yang kini sedang memburu Perdana Menteri Malaysia untuk menyampaikan sapena bagi kes yang sama.

Sebelum ini, tiga orang wartawan tempatan telah dikeluarkan waran tangkap apabila gagal hadir ke Mahakamah Tinggi Sandakan bagi memberi keterangan dalam kes berkenaan setelah mengabaikan sapena tersebut.

Namun waran tangkap tersebut kemudiannya dibatalkan setelah mereka hadir memberi keterangan pada keesokan harinya.

Menurut Sapena yang disampaikan kepada Musa Aman, Musa diarah memberi keterangan testificandum pada 13 April 2009 bermula jam 9 pagi sehingga tamat di Mahkamah Tinggi Sandakan.


Dalam pada itu, ketika dihubungi Sabahkini.net, OKK Hassnar Ebrahim berkata, beliau terpaksa memohon kepada Mahkamah Tinggi Sandakan untuk mensapena Musa kerana selepas Ops Nyah II Bersepadu dihentikan oleh Kerajaan Persekutuan, Musa selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah telah mengeluarkan kenyataan bahawa rumah penduduk tempatan yang terletak di atas tanah adat tetapi tersilap dirobohkan di BDC dan di seluruh Sabah akan dibangunkan sebagai projek perumahan yang mampu dimiliki Bumiputera.

"Tetapi anda lihat sekarang tanah tersebut diluluskan kepada Majlis Perbandaran Sandakan yang menjalinkan kerjasama dengan syarikat kroni Musa untuk dibangunkan hotel lima bintang dan hotel mewah yang tidak mampu dimiliki bumiputera," ujar Hassnar yang mendesak Musa agar mengotakan janjinya untuk mengembalikan tanah adat yang dirampas daripada bumiputera kepada mereka yang berhak.

Bagaimanapun tinjauan Sabahkini.net ke tapak lokasi yang menjadi pertikaian di BDC mendapati kerja-kerja tapak yang sebelum ini rancak telah dihentikan sejak bermulanya perbicaraan padaawal Mac 2009.

Sumber: www.sabahkini.net

Tuesday, March 24, 2009

DUA LAGI LAPORAN SPRM DIBUAT TERHADAP MUSA AMAN?


SERAH....Yakub (kiri) Padli dan Kunsul menunjukkan surat akuan terima laporan yang mereka buat di SPRM Sabah.

SETAKAT ini sudah empat laporan rasmi telah dibuat di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kota Kinabalu berhubung isu tindakan Lembaga Disiplin UMNO terhadap Ketua Pemuda UMNO Sabah, Datuk Japlin Akim.

Terbaru dua lagi laporan rasmi difailkan di SPRM Sabah berhubung isu berkenaan dan isu yang berkaitan dengannya.

Ketua Cawangan UMNO Tanjung Labian, Kunsul Bin Nahul daripada Bahagian Silam yang mendakwa mewakili lebih 70 cawangan (senarai bercap jari terpaksa dirahsiakan atas sebab tertentu)sebelum ini telah membuat laporan polis untuk menghalang Perhimpunan Agung UMNO Pusat pada 26 Mac 2009 ini atas alasan Persidangan UMNO Bahagian Silam adalah 'Batal dan Tidak Sah'kerana berlaku penipuan, pengundi hantu dan perwakilan haram.

Kelmarin, Kunsul memfailkan laporan berserta bukti salah laku dan politik wang serta penipuan yang dilakukan oleh Urusetia UMNO Bahagian Silam dan Wakil Badan Perhubungan UMNO Sabah yang mengawalselia perjalanan mesyuarat agung berkenaan pada 1 November 2008.

Dalam laporannya, Kunsul mendakwa Musa Aman telah menyalahgunakan kedudukannya sebagai Ketua Badan Perhubungan UMNO Sabah untuk kepentingan peribadi dengan mengabaikan bantahan yang difailkan oleh para Perwakilan UMNO Silam bagi membolehkan kroni dan proksinya mengekalkan kemenangan secara tidak sah.

"Walaupun Jawatankuasa Pengurusan Parti mengarahkan siasatan dijalankan oleh Badan Perhubungan UMNO Sabah, tetapi siasatan tidak langsung dijalankan terutama memanggil pengadu atau saksi memberi keterangan dan tidak memaklumkan kepada pengadu sama ada bantahan mereka diterima, dipertikai atau ditolak," ujar Kunsul yang kesal kerana Musa tidak telus menyelesaikan kemelut di banyak Bahagian UMNO di Sabah.


SALINAN....Salinan surat iringan laporan SPRM Kunsul dan nota penerimaan SPRM.

Kata Kunsul, Musa tidak sewajarnya membenarkan UMNO Silam menghantar perwakilan kerana bantahan dan aduan politik wang terutama yang melibatkan semua calon yang bertanding termasuk Ketua Wanita, Timbalan dan Naib belum didengar dan diputuskan.

"Jika bukan perwakilan turun mengundi atau jika perwakilan yang sudah meninggal dunia diganti di luar persidangan atau jika ada perwakilan mengaku mengundi lebih daripada sekali, maka apakah persidangan tersebut sah?," tanya Kunsul yang meminta agar semua pihak menghormati Perlembagaan Parti dan Tataetika Ahli UMNO.

Penipuan yang dilakukan secara konspirasi antara mereka yang bertanding dan Urusetia Persidangan begitu ketara, kata Kunsul, seolah-olah persidangan berkenaan sudah seperti sarkas atau zoo negara.

Sehubungan itu, Kunsul mendesak SPRM menjalankan siasatan rapi disebabkan Musa turut bertanding sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan khuatir Musa menggunakan perwakilan UMNO Silam sebagai 'Deposit politik' yang boleh dicairkan di Perhimpunan Agung UMNO dan menyuburkan 'Rasuah Politik' atau 'Politik Wang.'

Dalam pada itu, seorang ahli UMNO Taman Antarabangsa, Bahagian Kota Kinabalu, Yakub Damsah yang ditemani oleh ahli UMNO Cawangan Airport Lama, Bahagian Putatan, Padlee Shahibon turut memfailkan laporan rasmi di SPRM setelah membuat laporan polis terhadap Japlin pada 20 Mac 2009.

"Kita mendesak agar SPRM menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap Musa Aman yang melindungi perasuah politik, Datuk Japlin Akim dengan mengekalkan jawatannya sebagai Pembantu Mneteri," kata Yakub yang turut menyerahkan beberapa dokumen penting membuktikan hubungan proksi antara Japlin dengan Musa Aman.

Kata Yakub, walaupun Musa berpendapat bahawa Japlin hanya dihukum oleh UMNO, tetapi dari segi moral, ahli UMNO beranggapan bahawa Japlin adalah 'penjenayah' kerana didapati bersalah mengamalkan politik wang.

"Japlin harus mengikut contoh Tan Sri Isa Samad yang segera meletakkan jawatan setelah didapati bersalah dan bukannya berlindung di ketiak Musa Aman untuk mendapatkan simpati," kata Yakub yang turut menggesa agar SPRM menyiasat sumber perolehan harta Japlin yang kaya dengan begitu cepat berbanding dengan pendapatannya.


DESAK....Surat iringan Yakub yang mendesak tindakan diambil terhadap Musa Aman dan Japlin.

Tegas Yakub jika Japlin sanggup menggunakan wang untuk mendapatkan pencalonan Ketua Pemuda UMNO Malaysia bagi Khairy Jamaluddin, maka beliau tidak hairan jika Japlin menggunakan banyak wang untuk memenangi jawatan Naib Ketua Bahagian Kota Belud.

Sunday, March 22, 2009

HANYA 11,000 SAHAJA YANG DIBAYAR LEVI?


Perdaftaran sedang rancak dijalankan oleh Pejabat Konsul Indonesia


Oleh: ROZIE JUMAT

Keningau : Hanya 11 ribu pekerja warga Indonesia dibayar levi oleh majikan berbanding kehadiran mereka yang mencecah 216,367 orang di negeri Sabah. Kebanyakan mereka ini adalah pekerja di sector perladangan.

Daripada jumlah itu sebanyak 5017 pasport telah dikeluarkan, selebihnya hanya levi yang dibayar.

Pemangku Konsol Jeneral Republik Indonesia di Negeri Sabah, Rudhito Widagdo berkata, jumlah itu sangat sedikit dan pemerintah Indonesia mahu majikan tampil ke hadapan untuk memastikan pekerja Indonesia di negeri ini mendapat perlindungan dan bekerja dengan tenang.

Beliau yang ditemui di Gerakan Pendaftaran Dokumen terhadap warga Indonesia di Dewan Tai Chi disini menegaskan , pekerja yang dibayar levi harus dibawa ke Pejabat Konsul agar kedudukan warga Indonsia diketahui.

Rudhito berkata pendaftaran selama dua hari bermula sejak hari sabtu dengan jumlah yang berjaya didaftakan seramai 600 orang. Gerakan itu adalah pertama kali dibuat dengan kerjasama antara Kerajaan Republik Indonesia dan kerajaan Negeri Sabah.

“ Kami punya komitmen untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri Sabah dalam pelaksanaan pendaftarandan diberi kebebasan serta perlindungan untuk melayani rakyat Indonesia disini,” ujar Rudhito .Yang mana kata Rudhito mereka mahu semua rakyat Indonesia di negeri ini mendapat dokumen diri.

Sehubungan dengan itu kata Rudhito, Pemerintah Indonesia meminta agar majikan segera membayar levi pekerja mereka dan kemudian dibawa kepada Pejabat Konsul.

“ Jangan tunggu sehingga hujung bulan Mei untuk mendaftarkan mereka. Ini amat penting untuk kita semua,” kata Rudhito, kerajaan Negeri Sabah telah memberi tempoh sehingga bulan Mei untuk para majikan berbuat demikian.

Menurut Rudhito, kehadiran pekerja Indonesia juga memberi kesan yang baik kepada ekonomi negeri ini.

Mengenai gerakan itu Rudhito berkata, program seumpama itu akan dibawa ke kawasan-kawasan lain di Sabah.

Beliau juga meminta para tekong yang sering menggunakan jalan-jalan tikus di Kalabakan agar menghentikan perbuatan mereka mengeksport tenaga manusia secara haram.

“ Perbuatan (mengeksport) ini menyulitkan kedua belah pihak dan menurunkan darjat dan hubungan luar negeri antara kerajaan Malaysia dan Indonesia,” kata Rudhito.

Dalam satu soalan yang lain, Rudhito berkata pejabat Konsul tidak memberi pertimbangan kepada mana-mana warganya yang melakukan kesalahan, dan jika disabitkan kesalahan, mereka harus dihukum dengan setimpalnya.

Namun katanya, para majikan yang melakukan kesalahan juga harus dihukum agar menjadi pengajaran kepada yang lain.

Beliau berkata suasana di Sabah sangat baik, dan tidak terdapat kes-kes yang membabitkan kekerasan dan keganasan seperti mana yang dialami di tempat yang lain.

SUMBER www.sabahkini.net

KUALITI MYKAD SEPERTI IKAN KERING?


ROSAK...."Inilah ikan masin saya, Hee hee..."


Mykad atau kad pengenalan yang menggunakan Chip 64K yang ditaksirkan sebagai kad pengenalan bermutu tinggi,berkualiti dan termahal di Asia Tenggara, sebenarnya tidak ubah seperti ikan kering yang berbau hapak!

"Saya mana tahu kenapa jadi begini? Sepanjang masa dalam dompet sahaja. Tapi tengoklah sendiri, betul-betul macam ikan kering yang berkulat dan berulat," ujar Padli Shahibon yang menetap di Taman Pantai Lok Kawi, Kinarut, Papar.

Menurut Padli, beliau telah menjaga kad pengenalannya dengan baik tetapi mungkin kualitinya yang rendah, maka mykad yang dibanggakan Kerajaan Malaysia berkenaan mudah rosak dan tidak berkualiti langsung.

Kata Padli, beliau beberapa kali digertak polis kerana kad pengenalannya dituduh sebagai kad pengenalan palsu.

"Saya anak jati Sabah dan berasal dari Kota Belud. Kalau mykad yang rosak kenapa saya pulak mau ditangkap," ujar Padli yang telah beberapa kali ke pejabat Pendaftaran Negara untuk menukarkan mykadnya tetapi disebabkan beliau tidak mempunyai masa untuk menunggu maka ianya masih tertangguh.

Padli menggesa agar Jabatan Pendaftaran Negara Sabah menyediakan program khas bagi membolehkan mereka menukarkan mykad yang rosak tanpa perlu menunggu lama.

"Jika mereka boleh membuka pejabat pada hari minggu untuk mendaftar kad pengenalan hijau untuk warga asing, tetapi tidak boleh buka kaunter khas untuk rakyat tempatan menukarkan mykad mereka yang rosak," ujar Padli yang menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kontraktor yang membekalkan kad plastik kepada JPN kerana dikhuatiri tidak bermutu.

Kata Padli, bukan beliau sahaja yang mengalami kerosakan kad pengenalan, malah ribuan rakyat Sabah menghadapi masalah serupa terutama meletakkan mykad mereka di dalam dompet kulit.

Oleh itu, kata Padli, beliau tidak hairan jika ramai pendatang tanpa izin memiliki mykad palsu dan kad pengenalan projek disebabkan mykad yang mudah dipalsukan atau mudah didapati dengan memalsukan keterangan diri.