Search This Blog
Saturday, March 28, 2009
TIMBALAN PERDANA MENTERI KEDUA?
Sumber: www.sabahkini.net
WALAUPUN Jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak ada di dalam Perlembagaan Persekutuan, namun amalan melantik Timbalan Perdana Menteri sudah menjadi 'budaya' politik Malaysia yang menjadi 'taboo' dan tidak boleh dipertikaikan kerana kuasa 'Veto' Perdana Menteri melantik Timbalan Perdana Menteri!
Janji Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melantik Timbalan Perdana Menteri Kedua daripada Sabah ketika berkempen pada pilihanraya Umum lalu sepatutnya disambut oleh UMNO bagi memastikan Kubu Kuat UMNO di Sabah tidak dibedil Pakatan rakyat pada pilihanraya umum akan datang.
Slot Timbalan Perdana Menteri Kedua dirasakan 'hadiah' bagi Sabah yang menang besar dalam pemilihan Majlis Tertinggi 2008 yang berlansung pada 26 Mac 2009 apabila ramai calon daripada Sabah memenangi jawatan yang ditandingi masing-masing termasuk jawatan Naib Presiden UMNO.
Jika Anwar yang tidak mempunyai kuasa politik dan legislatif mampu menabur janji berkenaan, kenapa UMNO yang semakin kukuh dengan saf kepimpinan 'Nakhoda Zaman' tidak berjaya merealisasikan impian rakyat Sabah yang ingin melihat pemimpin daripada Sabah duduk semeja dengan pemimpin Pusat yang selama ini dianggap sebagai 'penjajah dan penjarah politik' yang memerangkap Sabah di dalam penjara politik Malaysia?
Mungkin inilah saatnya, UMNO menunaikan hasrat rakyat Sabah yang selama ini mencanangkan 'Sabah for Sabahan' dengan mengagehkan kuasa eksekutif untuk mentadbir Sabah kepada rakyat Sabah sendiri melalui perlantikan pemimpin Sabah sebagai Timbalan Perdana Menteri Kedua untuk menjaga Sabah dan Sarawak yang terlalu mundur dan dimundurkan oleh karenah birokrasi yang diterima pakai sebagai kekangan politik yang mendaulatkan 'Ketuanan Melayu.'
Hanya satu calon tunggal daripada Sabah yang layak atau sesuai untuk mengisi slot yang bakal diwujudkan jika UMNO ingin menjadikan Sabah sebagai 'Kubu Politik' sebelum diterjemahkan oleh pengundi yang marah kepada UMNO menjadikan Sabah sebagai 'Kubur Politik' UMNO pada pilihanraya akan datang jika permintaan Sabah tidak mendapat layanan sebenarnya.
Calon tersebut ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Afdal yang menjadi regu setia kepada Najib untuk menakhoda zaman di dalam bahtera UMNO.
Namun cadangan ini harus dikaji sedalam-dalamnya kerana memberi kesan yang agak besar dalam kestabilan politik apabila mereka yang diberi kuasa sering kali cenderung menyalahgunakan kuasa, terutama apabila tidak lagi sehaluan dengan pemimpin negara sebagaimana yang terjadi antara Mahathir-Musa dan Mahathir-Anwar.
Keperluan Sabah untuk mendapat 'equal share' sebagai 'equal partner' adalah mandatori dengan perlantikan Timbalan Perdana Menteri Kedua untuk menjulang kembali pembangunan di Sabah yang tercicir daripada pelan kerangka tindakan pemulihan ekonomi mampan Dasar Pembangunan Negara!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment