Search This Blog
Monday, April 27, 2009
SILAM PERLUKAN 300 MEGAWATT ELEKTRIK DARIPADA BAKUN
KEPERLUAN tenaga elektrik yang meruncing di parlimen Silam mendorong Ahli Parlimen Silam, Haji Salleh Kalbi merayu agar Kerajaan Persekutuan menyisihkan 300 megawatt elektrik daripada Projek Hidro Elektrik Bakun ke Silam dan mengkaji semula cadangan Janakuasa Arangbatu.
Memandangkan kerajaan telah meluluskan pembinaan kabel dasar laut sejauh 700 kilometer daripada Sarawak ke Semenanjung Malaysia sebagai persediaan untuk mengeksport 1,600 megawatt tenaga elektrik berbanding penjanaan 2,400 megawatt daripada Empangan Hidro berkenaan, maka sewajarnya Silam diberi peluang mendapatkan lebihan bekalan berkenaan.
"Kita hanya minta 300 megawatt untuk menampung tiga pekan utama di Silam iaitu Lahad Datu, Kunak dan Tungku yang mengalami krisis tenaga yang meruncing dan tidak memerlukan kos yang tinggi untu menghantar lebihan tenaga ke Silam," ujar Salleh yang secara jujur menjelaskan menerima desakan dan keluhan rakyat agar kerajaan Sabah mengkaji semula cadangan untuk menempatkan Janakuasa Arang Batu kembali ke Lahad Datu.
Dengan jaminan Kerajaan Persekutuan bahawa Projek Bekalan Elektrik Hidro Bakun siap sepenuhnya pada 2011 dengan kos RM7.5 bilion, maka kata Salleh, keperluan janakuasa arang batu sudah tidak lagi relevan.
"Kita telah menanti terlalu lama iaitu sejak 1993 ketika projek ini dilancarkan dan siap empat tahun terlewat daripada jadual, namun pengorbanan lebih 10,000 penduduk Sarawak yang terpaksa berpindah kerana kampung mereka terlibat dengan projek ini akan tetap dikenang," kata Salleh yang boleh bernafas lega jika Kerajaan Persekutuan meluluskan permohonannya.
Tegas Salleh, Lahad Datu mengalami krisis tenaga berikutan kepesatan pembangunan terutama projek Palm Oil Industrial Cluster (POIC) yang berpusat di kawasan seluas 5,000 ekar dengan 1,150 ekar daripada telah dimajukan.
Sumber: WWW.SABAHKINI.NET
ENIGMA IC PALSU
Bagaimana mereka boleh memasuki Istana Negeri? Bukahkah sesiapa sahaja yang ingin memasuki istana akan diperiksa. Jika PTI boleh bolos ke dalam Istana Negeri yang dijaga 24 jam, apatah lagi perairan Sabah yang semakin bocor dan terbuka. Jangan Tun lupa, bukan tunduk sebarang tunduk. Tunduk untuk mencium tangan. Hai ASP Kahar hanya pandang sahajakah? Mustahil tidak kenal atau buat-buat tidak tahu? TST, BBTT lah kan. Yang mencium tangan Tun itu Dini Padu, PTI daripada Indonesia.
Oleh: MUTALIB M.D
TIADA siapa yang meminta dilahirkan sebagai seorang Kadazandusun, Bajau, Suluk, Bugis, Jawa, Tidong, Cagayan, Melayu dan pelbagai keturunan yang berasal daripada Nusantara. Saya sendiri tidak meminta dilahirkan sebagai seorang Melayu di suatu daerah paling mundur dan daerah hitam tempat ‘Komunis bertapa’.
Jika boleh saya ingin lahir di istana Sultan Brunei, sebagai anak raja yang kaya raya dan bakal mewarisi segala kekayaan yang dimiliki oleh Sultan Brunei. Ataupun sekurang-kurangnya dilahirkan di Sri Perdana agar boleh menjadi senang lenang dan kaya raya tanpa perlu kerja kuat dan linangan air mata.
Tetapi saya telah ditakdirkan lahir di sebuah kampung yang melarat, Kampung Lanai dan membesar di Kampung Parit Panjang dengan penuh belaian kasih sayang daripada ayah saya seorang bekas perajurit yang berketurunan Patani, Selatan Thailand dan ibu saya yang kental dengan adat perpatih Minangkabau.
Namun saya bersyukur kerana dilahirkan sebagai seorang Melayu, tambahan pula di negeri kelahiran Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO.
Berbanding dengan Lambulawa Bin Lakabolosi yang ditakdirkan lahir di sebuah perkampungan Buton di Indonesia. Walaupun berkelulusan Sarjana Muda Ekonomi tetapi gagal memperolehi sebarang pekerjaan. Terpengaruh dengan tawaran broker pekerjaan yang menawarkan peluang menjadi Pegawai Ladang di Sabah. Diseludup masuk ke Sabah oleh sindiket haram. Bagaimanapun mati dibelasah ketika cuba melarikan diri daripada rumah kongsi apabila mendapat tahu akan dijadikan buruh paksa di ladang kelapa sawit FELDA.
Ketika dilahirkan pada 2 Oktober 1962, ayah saya tidak mengalami kesukaran untuk mendaftarkan kelahiran saya, ketika itu hanya di Balai Polis Kupang, tambahanpula saya anak ketiga daripada enam adik beradik.
Ketika umur saya 7 tahun, saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Lanai, Baling Kedah.
Pada 15 Oktober 1971, saya telah mengikut ayah saya ke Sungai Petani, Kedah untuk bergambar bertujuan melampirkan identiti saya ke dalam pasport ayah saya bagi menyertai migrasi ‘Untuk Kemajuan Ba’ ke Sabah. Kami sekeluarga mendapat taraf penduduk tetap dan menjadi Anak Negeri Sabah pada 13 Mac 1974.
Sewaktu bersekolah di SRK St Stephens, Lahad Datu saya mendapat kad pengenalan pertama dan berlaku sedikit kesilapan kerana pihak Jabatan Pendaftaran Negara memberikan saya kad pengenalan Semenanjung Malaysia sedangkan kesemua adik beradik, ayah dan keluarga saya mendapat kad pengenalan yang ada huruf ‘H’ di hadapannya. Ketika melanjutkan pelajaran ke SMK Menggatal Kota Kinabalu, saya membuat penukaran kali pertama tetapi masih kurang bernasib baik kerana masih diberi-kan kad pengenalan Semenanjung Malaysia.
Pada bulan April 1997, saya telah melepaskan semua jawatan yang saya sandang untuk menceburkan diri sepenuh masa dalam bidang penulisan, saya telah kehilangan pasport antarabangsa dan kad pengenalan saya.
Laporan polis yang saya buat hanya berupaya mendapatkan resit laporan kehilangan kad pengenalan JPN 1/11 dan terpaksa membuat cabutan di Ibu Pejabat JPN Petaling Jaya, Selangor.
Memandangkan saya sering berulang alik ke Kuala Lumpur untuk urusan peribadi dan penyelidikan, maka saya terpaksa melepasi halangan Imigresen dan terpaksa menjadi pelarian di negara sendiri.
Setiap kali saya mahu ke Kuala Lumpur saya terpaksa ke Tingkat 6, Wisma Dang Bandang untuk mendapatkan pas keluar, sama halnya dengan Pendatang Asing India dan Pakistan yang menyerah diri untuk dihantar pulang!
Apabila masuk kembali ke Sabah saya diarah mengisi borang Imm.114-Pindaan 1/86 sama dengan rakan-rakan lain daripada Semenanjung Malaysia. Saya hanya layak untuk tinggal tidak lebih daripada tiga bulan di Sabah!
Pihak Imigresen Kota Kinabalu tidak mempunyai rekod dokumen pemastautin tetap saya, kononnya fail 1974 telah dimusnahkan. Pasport ibu bapa saya turut tercicir kerana mereka merasakan tidak perlu lagi menggunakan pasport apabila telah mendapat kad pengenalan keramat ‘H’.
Rujukan di Jabatan Ketua Menteri (JKM) juga tidak membuahkan hasil kerana kebanyakan fail lama telah dimusnahkan dan ketika saya sekeluarga mendapat taraf pemastautin tetap, 1974, JKM dan Imigresen belum mengkomputerkan operasinya.
Bagaimanapun saya bernasib baik pada penghujung tahun 1997, setelah lebih 40 kali berulang alik ke Kuala Lumpur, saya mendapat Kad Pengenalan Bermutu Tinggi (KPT).
Permohonan KPT saya buat pada awal tahun 1997 dengan memohon kemasukan huruf ‘H’ dan disertakan salinan kelulusan taraf penduduk tetap saya.
Di KPT saya, barulah tercatat huruf keramat ‘H’ setelah lebih 23 tahun menunggu untuk mendapat pengiktirafan sebagai rakyat Sabah, bumi bertuah dan makmur.
Setelah hampir setahun menjadi pelarian di negara sendiri dan setelah lebih 23 tahun terpinggir segala hak dan kemewahan yang sepatutnya dimiliki oleh saya, barulah saya sedar betapa tinggi dan bernilainya sekeping kad pengenalan untuk seorang warganegara yang bernama MANUSIA!
Berbanding dengan Ismail Tidal (gambar) yang lahir di Talisai Sibutu, Filipina, baru setahun mendarat di Kampung Panji Lahad Datu dan sudah memiliki KP biru ‘H’ dan kini KPT.
Ismail tidak perlu bersusah payah kerana ada ‘agen’ ke rumahnya menawarkan kad pengenalan bagi membolehkannya menjadi ahli UMNO dan pemilih berdaftar.
Kini beliau menjadi Ketua Cawangan UMNO, Mantan Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO dan memperoleh bantuan projek daripada wakil rakyat setiap tahun.
Kad pengenalan, tidak kira tulen, klon atau palsu bagi seorang manusia di zaman internet ini bagaikan jantung dan nadi yang berdenyut.
Tanpa kad pengenalan, kita akan diburu resah dan dipenggal fobia di hantar ke negara bukan tanah tumpah darah kita.
Tanpa kad pengenalan, kita umpama kapal tanpa nakhoda, hendak belayar di lautan takutkan ombak, hendak mendarat di pantai khuatir kecelakaan.
Setiap manusia yang didewasakan oleh kemakmuran bumi Sabah yang mendapat jolokan ‘Negeri Di Bawah Bayu’ sentiasa mencari ruang dan menggunakan segala peluang untuk mengambil kesempatan di dalam kesempitan, demi untuk memiliki sekeping kad pengenalan yang akan menghalalkan segala bentuk usaha dan membuahkan impian bagai ‘Lampu Aladdin’ dan ‘Tikar Terbang Zam-Zam Alakazam’.
Perlumbaan mengejar kemewahan dan kemakmuran hidup di era Measat jauh bezanya jika dibandingkan dengan era kayu balak. Ketika itu perlumbaan hidup hanya mencari nafkah untuk anak isteri dan mereka yang ditinggalkan di negara masing-masing, tanpa ada niat untuk bermastautin di negeri Rafflesia ini.
Namun kepantasan pembangunan negeri ini memintas kemajuan negeri serantau telah merubah tanggapan orang luar terhadap Sabah yang unik dan istimewa.
Lonjakan paradigma golongan yang berhijrah ke negeri ini yang pada mulanya buta politik dan rabun siasah, mula menampakkan tembelang bagai peristiwa ‘Belanda Meminta Tanah’.
Walaupun pada hakikatnya tanah yang diminta oleh Soldadu Belanda hanya satu belulang kerbau (kulit seekor kerbau yang berukuran antara 5X8 kaki), sememangnya petani tersebut tidak keberatan.
Namun Soldadu Belanda tersebut menggunakan helah dengan menghiris kulit kerbau tersebut menjadi tali.
Mulut petani tersebut terlopong oleh kebijaksanaan Soldadu Belanda tersebut yang telah membolot seluruh tanah miliknya seluas 5 ekar sebagai imbalan jasanya menyelamatkan petani tersebut daripada mati lemas!
Mungkinkah peristiwa Belanda meminta tanah akan berulang lagi di era serba mencabar, yang mungkin akan menenggelamkan gahnya Cyberjaya dan ranapnya dunia MSC (Koridor Raya Multimedia) dikuasai oleh golongan yang pernah dijajah oleh Belanda dan belajar serba sedikit bahasa dan kebudayaan Belanda?
Jika sekiranya Belanda meminta tanah menggunakan ilmu akal yang tinggi, namun para pendatang asing ini lebih ilmuan dengan meminta sekeping kad pengenalan yang bukan sahaja boleh memiliki tanah, malah menunjangi politik negara dan memiliknegarakan Malaysia.
Wallahhualam bissawab!
Lonjakan kesedaran dan semangat parokial yang sempit memudahkan golongan pendatang asing ini mendapatkan kad pengenalan daripada ‘baluchi dan algojo’ yang menyalah gunakan segala kemudahan dan hak rakyat tempatan, tambahan pula mereka mempunyai kuasa beli yang tinggi.
Tanpa mengira harga dan tawar menawar kebanyakan mereka memiliki kad pengenalan sama ada melalui agensi sah mahupun agensi ‘Ali Baba dan Cina Buta’.
Sewaktu memegang jawatan Setiausaha Sulit Wakil Rakyat Lahad Datu dan sebagai Pegawai Perhubungan Awam Lembaga Tabung Getah Sabah, saya telah menjalankan gerakerja mencari formula bagaimana mahu menumbangkan ‘jangkar’ Ketua UMNO Bahagian Silam ketika itu, Datuk Railey Haji Jeffrey yang ternyata cukup ‘kao’, ampuh dan mantap.
Hasil percambahan fikiran dan penyelidikan selama tiga bulan saya mendapati bahawa Datuk Railey boleh ditumbangkan oleh Wakil Rakyat saya, YB Mohd Yusof Amat Jamlee untuk merebut jawatan yang disandang oleh Datuk Railey selama sembilan tahun.
Formula paling ampuh yang perlu dimainkan oleh Yusof ialah dengan memupuk ‘semangat parokial yang tinggi’ dan menyedarkan kaum Bajau dan Suluk bahawa mereka dijajah akal dan fikiran oleh Datuk Railey yang bijak menabur peruntukan untuk mengaburi mata mereka.
Pancing yang dilempar bersambut, tambahan pula umpan yang dipasang amat lazat dan menarik minat Ketua Cawangan UMNO dan para perwakilan yang lebih 70 peratus terdiri daripada kaum ‘Tao-Sug & Sama’ (Suluk dan Bajau).
Namun saya tidak meletakkan harapan yang tinggi kerana saya tahu adat orang kita yang sanggup menggadai ‘body’ apabila terhutang ‘budi’.
Pada firasat saya kalau Railey tumbang, majoriti kemenangan Yusof hanya 50 undi dan sekiranya Yusof tumbang, maka majoriti Railey hanya 30 undi sahaja. Spekulasi saya ternyata tidak meleset apabila Yusof berjaya menumbangkan Railey dengan majoriti 54 undi, iaitu Yusof dan Railey masing-masing memperolehi 444 undi dan 390 undi.
Mungkin Yusof mengenangkan saya menyumbang sedikit jasa merancang kemenangan untuknya sehingga layak ditabalkan sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, maka saya dilantik sebagai Setiausaha Kerja UMNO Silam.
Walaupun pada mulanya beliau berhasrat untuk melantik saya sebagai Setiausaha Bahagian, namun kerana saya ‘orang Melaya’ maka saya diarah memegang jawatan Setiausaha Kerja pada Oktober 1995.
Sewaktu menjawat jawatan tersebut, saya telah melakukan ‘postmortem’ terhadap jentera pentadbiran UMNO Silam terutama sekali untuk mengekalkan kuasa dan reputasi Yusof sebagai Ketua UMNO Bahagian Silam.
Namun bagai seorang doktor pakar yang menjalankan bedah siasat ke atas batang tubuh seorang yang bernama UMNO Silam dan amat memeranjatkan saya apabila saya menemui pelbagai sindrom penyakit di dalam tubuh pesakit saya.
Kalau doktor menggunakan pancaran laser dan pisau untuk membedah pesakit, maka saya menggunakan program komputer untuk memasuki sistem maklumat keahlian UMNO dan membandingkannya dengan rekod Suruhanjaya Pilihan Raya.
Paling mengejutkan, saya telah mengenalpasti sejumlah 20,000 orang daripada 34,026 orang ahli UMNO Silam adalah pendatang asing!
Saya memaklumkan hal ini kepada Ketua UMNO Bahagian Silam, namun beliau meminta saya agar mendiamkan perkara ini kerana ibarat kata pepatah kedudukan beliau umpama ‘telur di hujung tanduk’.
Saya mendapat iltizam baru untuk mengenalpasti kegusaran saya dan membetulkan teori kemungkinan kebarangkalian saya melalui Gerakan Pendaftaran Penukaran Kad Pengenalan, khas untuk ahli UMNO Silam yang diadakan di Dewan Masyarakat Lahad Datu pada 21, 22 & 23 Oktober 1996.
Teori saya ternyata 99.99 % tepat. Daripada 10,211 ahli UMNO Silam yang hadir, hanya 180 orang sahaja yang berjaya menukar kad pengenalan lama mereka kepada kad pengenalan bermutu tinggi (KPT).
Bakinya telah dikenalpasti sebagai pemegang kad pengenalan palsu.
Jika mereka ditahan oleh pihak berkuasa, pi-hak polis terpaksa menggunakan 284 buah trak dengan purata 36 orang setiap trak.
Sekiranya ditahan di kem tahanan sementara kerajaan terpaksa membelanjakan RM54,668.99 sehari bagi menyara makanan 10,031 orang tahanan dengan purata RM5.45 seorang.
Paling memalukan apabila CNN dan Far Eastern Economic Review akan mengambil isu ini sebagai Lead Story yang akan di blow-up sebesar-besarnya sebagai intipati berita mereka.
Hasil rundingan dengan pihak Jabatan Pendaftaran Negara, mereka dibebaskan tanpa syarat dan kad pengenalan palsu mereka tidak dirampas.
Sebaliknya saya mengambil inisiatif meminta agar mereka yang tidak dapat menukarkan kad pengenalan mendaftar nama di dalam buku rekod dengan alasan Pejabat UMNO Bahagian Silam akan membantu mereka menyiasat kesahihan dokumen mereka.
Paling menyedihkan saya, UMNO Silam hanya gah pada nama kerana mempunyai keahlian paling ramai di Malaysia, namun hanya 10,611 orang atau 52.24 % sahaja yang berdaftar sebagai pemilih yang sah.
Saya tidak menyalahkan Yusof berhubung hal ini kerana Yusof hanya mewarisi UMNO Silam daripada Datuk Railey.
Namun Datuk Railey juga tidak bersalah kerana mewarisi ahli UMNO daripada USNO yang telah dibubarkan ketika itu.
Kelemahan paling ketara terletak di Ibu Pejabat UMNO Malaysia yang telah meng’GIGO’ (Garbage in ,Garbage Out) semua permohonan keahlian UMNO tanpa sebarang rujukan silang dengan pihak Jabatan Pendaftaran Negara dan Imigresen.
Mungkin UMNO terlalu ghairah untuk ke Sabah sehingga lupa ada tompinai dan sumandak turut berminat dengan kekacakan dan kejelitaan UMNO yang telah berpaut hati kepada Utoh, Indak, Lalla , Danda, Om, Kawang dan Alaka!
Sebagai seorang anak jati Malaysia yang lahir menjelang kelahiran Malaysia, menghirup udara permusuhan kaum Peristiwa 13 Mei 1969 dan menyaksikan sendiri Peristiwa Bom 1986 iaitu rusuhan politik di Kota Kinabalu, diambang Kerajaan Parti Bersatu Sabah menumbangkan kerajaan gergasi, Berjaya, saya tidak boleh terus menerus membiarkan kemungkaran ini terjadi.
Pada 1 April 1997 saya membuat keputusan nekad untuk meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Kerja UMNO Silam (setelah tujuh kali surat perletakan jawatan saya ditolak) semata-mata kerana tidak mahu bersubahat dengan pucuk pimpinan parti dan mengelakkan kutukan anak cucu saya kelak.
Ibarat pelaut yang berpengalaman, dengan kemudi sudah ditangan, kapal sudah di dermaga, saya terpanggil untuk mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO.
Ketika itu, Datuk Sabaruddin Cik mendedahkan kepada media kes pertindihan kad pengenalan dikesan di Sabah, di antara 4,000 hingga 5,000 kes.
Lantunan ombak dan desakan arus politik, saya membuat kenyataan akhbar yang disiarkan di muka 2 akhbar Utusan Borneo, (Sisipan The Borneo Post) keluaran 17 Julai 1997, yang bertajuk UMNO SABAH DIGESA SEGERA KENAL PASTI .
Kenyataan akhbar yang saya buat dengan hati yang suci semata-mata untuk menyelamatkan UMNO Sabah daripada sindrom terhutang budi dengan para pendatang asing.
Kenyataan tersebut ingin membersihkan jentera UMNO daripada karat ‘ketidak setiaan’ dan ‘tuba’ kemantapan parti, telah disalah tafsir sehingga isu tersebut dipolitikkan oleh pihak tertentu. Saya memperolehi hasil yang lumayan apabila orang suruhan tokoh politik tertentu telah menghadiahkan ‘buku lima’ sehingga memecahkan bibir saya pada 22 Oktober 1997.
Saya mengenali lelaki yang telah menumbuk dan menyemburkan sesuatu ke mata saya dan paling memalukan hal ini dirancang dan dilakukan oleh seorang yang paling rapat dengan saya, Ketua Cawangan UMNO Tg. Kapor Darat, Semporna, Haji Mad Saat Bin Draat (Allahyarham).
Namanya sahaja sudah cukup untuk menge-nali asal usulnya. Namun saya menyerahkan perkara ini kepada takdir Illahi dan tidak ingin memanjangkan insiden ini kerana khuatir ahli keluarga saya akan menuntut bela.
Saya teringat kata-kata Datuk Syed Kechik (Allahyarham), Mantan Pengarah Yayasan Sabah,”kadang-kadang lebih baik menjadi seorang pengecut daripada wira yang sudah mati. Sebagai pengecut boleh kembali membalas dendam atau menuntut bela tetapi seorang wira yang telah mati akan terus mati”.
Ketika membuat laporan polis saya mengatakan saya tidak mengenali lelaki tersebut tetapi saya telah memberi nombor pendaftaran kereta proton saga yang digunakan oleh para penyerang curi yang ‘bacul dan pondan’ tersebut, SA 1937J.
Namun pihak polis hanya memandang sebelah mata insiden tersebut dan secara berjenaka seorang Inspektor Polis di Lahad Datu menyatakan beliau bersedia memungut karung (maksudnya karung mayat saya).
Saya yakin sekiranya di dalam Laoh Mahfuz, saya ditakdirkan mati di Papua New Guinea pada tahun 2030, maka tidak ada yang berhak mencabut nyawa saya di Lahad Datu.
Pesan ayah saya, umur, jodoh, rezeki dan maut kerja Allah. Berbekalkan keyakinan ini saya meneruskan tugas saya sebagai wartawan di Berita Sabah dan membongkar kemungkaran demi kemungkaran, tanpa tunduk kepada ugutan dan ancaman bak kata pepatah Inggeris, “berlian adalah sebutir arang batu yang menjadi unggul akibat tekanan.”
Saya ibarat seorang Samurai yang turun ke medan perang dan telah bersedia untuk mati, tetapi lazimnya musuhnya yang sering tewas dalam pertarungan tersebut. Samurai yang sedia mati itu terus hidup dan mencipta kejayaan demi kejayaan.
Walaupun pada dasarnya setiap pendedahan yang saya buat melalui dada akhbar hanya ditertawakan oleh golongan tertentu umpama mencurah garam ke lautan, namun tugas saya sebagai wartawan, saya terpaksa mendedahkan kebenaran walaupun pahit.
Kendatipun tidak ada tindakan drastik daripada pihak berkuasa kerana masalah birokrasi, penguatkuasaan undang-undang dan bukti prima serta sekunder yang vex dan jeopardy, namun tugas saya menunaikan fardu kifayah telah selesai.
Terpulang kepada kerajaan sama ada mahu mempercayai laporan saya atau ‘membutakan’ mata mereka kerana lambat laun rakyat akan menukar kerajaan yang lemah dan penuh kemungkaran, sebagaimana yang telah terjadi kepada kerajaan-kerajaan terdahulu.
Saya tidak menyalahkan pihak berkuasa yang tidak mengambil tindakan sewajarnya kerana faktor clear card, melainkan adanya laporan rasmi. Tambahan pula dasar pentadbiran kerajaan yang tidak boleh menjadikan kenyataan akhbar sebagai kayu ukur untuk mengambil sebarang tindakan.
Tetapi sebagai rakyat Malaysia yang telah merelakan cukai pendapatan saya dan segala bentuk levi digunakan untuk membayar gaji anggota keselamatan, terutama polis, saya terkilan kerana seorang Ahli Jawatankuasa Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Lahad Datu, Tamsun Hamimun telah membuat laporan polis.
Dalam laporannya Tamsun mendakwa bahawa 10 orang ahli UMNO telah dikenalpasti memegang lebih daripada satu kad pengenalan dan memiliki kad pengenalan palsu.
Namun tidak ada sebarang tindakan daripada pihak berkuasa sehingga Tamsun mendapat cemuhan dan ejekan.
Paling aneh mereka yang didakwa memiliki dokumen palsu telah menjawat beberapa jawatan tinggi dan masih diberi kepercayaan oleh orang kenamaan, malah ada yang menerima pingat kebesaran negeri.
Sejak dilahirkan sebagai umat Islam, saya diamanahkan oleh Allah agar ‘amal makruf nahi mungkar’.
Maka saya mengambil keputusan untuk menulis buku ini untuk tatapan rakyat Sabah yang menghormati undang-undang dan ditangan mereka terletak kuasa paling ampuh untuk membentuk kerajaan atau menurunkan kuasa sebuah kerajaan, iaitu UNDI.
Walaupun contoh yang saya berikan tidak begitu menyeluruh dan menggunakan skop kewartawanan di dalam mengemukakan fakta, namun cukup untuk membuktikan wujudnya elemen pendatang asing yang semakin menular dan menyengat senario politik tempatan.
Saya menjadikan UMNO Silam yang mempunyai ahli seramai 34,788 orang dengan 452 cawangan aktif sebagai contoh kajian kerana mempunyai ahli paling ramai dan cawangan kedua terbesar di Malaysia selepas Bahagian Semporna, maka pemilihan UMNO Silam sebagai bahan kajian kes dikira wajar dan tepat.
Saya membuat perbandingan dengan metoda ujian darah bagi pesakit yang menghidap tanda-tanda barah darah ataupun leukimia. Doktor tidak mengambil seluruh darah pesakit untuk diuji, sebaliknya hanya satu tiub kecil darah untuk mengenal pasti kandungan jumlah sel darah merah dan sel darah putih.
Sekiranya nisbah sel darah putih terlalu tinggi dan luar biasa, maka doktor mengesyaki pesakit tersebut mungkin menghidap sesuatu penyakit darah.
Jika bukan leukimia, paling tidakpun anemia ataupun thalassemia dan lazimnya doktor akan mengadakan kajian lanjut sebelum mengemukakan diagnosa sesuatu penyakit.
Saya bolehlah diibaratkan sebagai pembantu makmal yang menjalankan ujikaji darah di makmal mengikut metoda saintifik, manakala para pembaca umpama doktor yang akan menentukan diagnosa sesuatu penyakit
Sama ada hari ini, esok atau lusa tidak penting. Tetapi jika dikesan awal, peratus kesembuhan amat tinggi dan terpulanglah kepada pembaca untuk menyembuhkan pesakit (tidak salah jika kita merujuk kepada UMNO) atau membiarkan pesakit kita itu mati menderita barah paling berbahaya, pendatang asing!
Pendedahan yang saya buat dalam buku ini bukanlah untuk menjatuhkan sesiapa, tetapi sekadar menjelaskan kedudukan sebenar hak rakyat Sabah yang telah dinoda oleh segelintir pemimpin yang tamak kuasa dan mengharapkan agar kita tidak ditohmah dan dicaci oleh anak cucu dan jurai keturunan kita kelak.
Walaupun pendedahan yang saya buat dalam buku ini tidak boleh menggugurkan walau satu bulu roma mereka yang terlibat, namun jangan lupa pembalasan dan azab yang diturunkan Illahi, yang tidak ada seorangpun yang boleh menangkisnya, melainkan mereka yang bertaubat dan kembali ke pangkal jalan!
Janganlah kita mengulangi sejarah SI KITUL yang telah menderhakai bangsa sendiri sehingga akhirnya kita ‘dijajah’ sejak berkurun.
Elemen kehadiran pendatang asing amat penting untuk diberi perhatian serius kerana mereka juga mempunyai kuasa undi (kuasa beli politik) yang ada pada setiap rakyat Malaysia. Undi mereka boleh dijadikan bargaining power untuk perdagangan politik barter trade iaitu jaminan keselamatan dan kemakmuran sebagai imbalan.
Dengan kuasa beli politik, mereka boleh menentukan corak dan senario politik tempatan. Kita akan kehilangan hak yang kita wari-si daripada nenek moyang kita untuk menentukan kerajaan, kerana undi pendatang asing semakin bercambah dan sering menjadi kuasa penentu kepada iklim politik tanah air.
Sukalah saya memetik Ucapan Dasar Mantan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Mahathir Mohammad pada Perhimpunan Agung UMNO Malaysia, 27 September 1985, sekadar untuk renungan pembaca;
“Undi memang penting dalam politik demokrasi moden, tetapi janganlah kerana undi kita sanggup menjual bangsa dan keturunan kita”.
Akhir kalam, izinkan saya memetik prinsip Billy P.S.Lim dalam buku BERANI GAGAL yang berbunyi;
“Agar kita tidak dilupai bila telah mati dan kereputan, tulislah sesuatu yang berfaedah untuk dibaca atau buatlah sesuatu yang berfaedah untuk ditulis”.
NOTA: Catatan ini adalah sedutan daripada buku IC PALSU Merampas Hak Anak Sabah. Buku ini Sila dapatkan naskhah asal daripada Perpustakaan di seluruh Malaysia hatta di Parlimen sekalipun untuk mengetahui lebih lanjut bahaya dan bahana PATI dan PADI!
Subscribe to:
Posts (Atom)