Search This Blog

Saturday, June 27, 2009

SIAPA DALANGI KUARI HARAM DI SILAM? KENAPA SPRM BERDIAM DIRI?


Sumber asal: www.sabahkini.net



WALAUPUN permohonan Laporan Kesan Impak Alamsekitar (EIA) yang dipohon oleh Fordeco Construction Sdn.Bhd pada 10 Oktober 2005 tidak diluluskan, namun ‘Kuari Haram’ ini terus beroperasi dan mencemarkan alam sekitar bumi Silam sejak lebih 20 tahun lalu tanpa sebarang penguat kuasaan.





Permohonan EIA Folio 52, yang difailkan oleh Sinoh Environmental Sdn.Bhd dan GSM, bagi pihak Fordeco Construction Sdn.Bhd telah dikemukakan ke Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah pada 10 Oktober 2005 untuk Silam Quarry di Bukit Silam Lahad Datu, (milik Fordeco Contruction). Namun mengikut Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah telah menolak EIA berkenaan dan TIDAK MELULUSKAN permohonan tersebut pada 26 September 2006.

Sewajarnya, sejak daripada tarikh tersebut atau sebelumnya, Silam Kuari yang beroperasi secara haram wajib ditutup ‘SERTA MERTA’ kerana telah memusnahkan ekosistem alam semula jadi dan mencemarkan Alam sekitar, namun ianya masih beroperasi sehingga hari ini, 27 Jun 2009.

Mungkin tiba masanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turun padang menyiasat kegiatan haram ini kerana jabatan penguatkuasa seperti Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS) Sabah, Jabatan Tanah dan Ukur, Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Mineral dan Geosains, Pejabat Daerah Lahad Datu, Polis Di-Raja Malaysia dan sebagainya tidak mampu lagi menguatkuasa undang-undang kerana terperangkap dalam ‘keranda rasuah’.

Jika skandal kuari haram di Selangor, Keningau, Labuan dan Negeri Sembilan berjaya ditangani dengan sempurna oleh SPRM, sudah pastinya skandal ini akan dapat di atasi dengan mudah di Silam sekiranya SPRM benar-benar menjalankan tugas mereka secara professional dan dedikasi.

Kejayaan kuari haram ini beroperasi selama lebih 20 tahun di kaki Gunung Silam, Lahad Datu dan menggunakan kawasan hutan simpan sebagai pelabuhan untuk mengeksport batu daripada kuari haram ini menimbulkan tandatanya kerana penduduk dan pencinta alam sekitar mengemukakan bantahan, namun semua bantahan tidak diendahkan oleh pihak berkuasa.

Dipercayai, Silam Quarry yang dimiliki sepenuhnya oleh Fordeco Construction Sdn.Bhd, menjadi ‘Gedung Emas’ kepada hampir semua Wakil Rakyat dan Ahli Parlimen di Silam kerana ianya beroperasi secara haram dan menjadi penyumbang utama ‘angpau’ kepada ahli politik dan penguatkuasa yang membudayakan rasuah dalam tugas mereka dan memanipulasi undang-undang untuk kepentingan sendiri.

Fordeco ialah anak syarikat Kwantas Corporation Berhad iaitu konglomerat perladangan yang disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur yang dimiliki ‘Bumiputera’ melalui perolehan Sijil Anak Negeri Palsu daripada Mahkamah Anak Negeri Kota Kinabalu (Bandaraya). Syarikat ini telah membeli sebidang tanah simpanan bumiputera di perkampungan bumiputera tersusun yang pertama di Sabah yang mempunyai batu granit untuk dijadikan kuari dan memohon Lesen Menduduki Sementara (T.O.L) sebagai tambahan bagi memastikan operasi kuari berkenaan berkekalan untuk satu tempoh yang panjang.

“Memang tidak dinafikan, tanpa kuari ini, ekonomi Lahad Datu agak lembab kerana sumber bahan binaan utama untuk bangunan dan jalan raya yang agak sukar diperolehi di daerah ini. Namun mendirikan kuari di kawasan Perkampungan Bumiputera Silam adalah seperti meletakkan debu dan pasir dalam periuk nasi penduduk kampung,” ujar Ketua Kampung Lamag, Murshidi Abdul Ghaffar.

Menurut Murshidi, pemilik kuari ini mengaburi pihak berkuasa dengan menggunakan peledak yang kecil sekadar untuk meletupkan bungkah batu granit, namun mereka menggunakan peledak yang besar pada waktu malam sehingga seluruh kampong Silam merasa gegaran.

“Kuari ini pada mulanya hanyalah beroperasi pada skala kecil, namun Adun Lahad Datu, ketika itu, Mohammadin Ketapi telah membenarkan ianya beroperasi pada skala besar dengan meluluskan T.O.L. kepada syarikat berkenaan yang kini telah menceroboh kawasan Hutan Simpan Ulu Segama,” ujar Murshidi dengan nada kesal kerana tidak ada sebarang tindakan diambil walaupun Mantan Ahli Parlimen Silam, Datuk Samsu baharun Haji Abdul Rahman telah mengadakan lawatan mengejut ke kuari berkenaan sekitar 2006.

Tambah Murshidi lagi, penduduk kampung turut mengadu masalah mereka kepada Adun berikutnya seperti Datuk Askalani Abdul Rahim, Datuk Mohd Yusof Amat Jamlee, Datuk Samsu Baharun Haji Abdul Rahman dan kini Datu Nasrun Datu Mansur , namun belum ada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkuasa untuk menutup kuari haram ini.

“Pada 2006, Datuk Samsu Baharun Haji Abdul Rahman telah mengadakan operasi khas ke kuari ini bersama Jabatan Perhutanan, Polis, Tentera, Jabatan Tanah dan Ukur serta NGO untuk memantau perkembangan kuari berkenaan dan mengemukakan bantahan, namun selepas itu tidak ada sebarang tindakan,” ujar Murshidi yang mengharapkan Adun Lahad Datu, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur dapat membantu penduduk kampung menyelesaikan masalah yang berlarutan sejak sekian lama ini.

“Kawasan ini dahulu ada sebuah air terjun yang cantik dan mudah kelihatan di musim hujan. Ia membentuk sungai yang berair jernih dan menjadi sumber penduduk kampung. Tapi kini semuanya musnah dan yang tinggal hanya debu berterbangan dan kesan pencemaran yang ketara,” ujar Murshidi yang kesal dengan sikap pengusaha kuari berkenaan tidak mempedulikan bantahan penduduk kampung semata-mata untuk mnegaut keuntungan yang lebih daripada kesusahan yang dialami penduduk kampung.

Sebaliknya, kata Murshidi, pihak pengusaha kuari batu granit berkenaan semakin rakus meletupkan dasar Gunung Silam sehingga gegaran setiap kali pengeboman boleh didengar dan dirasai dalam jarak lima kilometer daripada kuari berkenaan yang bukan sahaja memuntahkan habuk beracun, malah memusnahkan sistem hidrologi Gunung Silam.

“Apa alasan sekalipun, janganlah musnahkan air terjun dan sungai sekalipun terletak di dalam kawasan kuari kerana ianya diwartakan sebagai ‘riverine’ yang diharamkan sebarang aktiviti,” kata Murshidi yang telah beberapa kali menulis surat aduan kepada pihak penguatkuasa.

Memandangkan, air terjun ini satu-satunya di Kampung Bumiputera Silam telah musnah, maka Murshidi merayu agar pengusaha kuari ini menghentikan segera pengeboman di kawasan air terjun tersebut dan menutup operasi kuari berkenaan kerana dikhuatiri telah menceroboh kawasan hutan simpan dan kawasan tadahan air Hutan Simpan Ulu Segama.

"Banyak tanah penduduk kampung tidak dapat ditanam atau diusahakan kerana dicemari batu terutama ketika hujan lebat yang menyebabkan banjir lumpur sehingga memusnahkan tanaman. Mereka ada minta pampasan, tapi tidak dilayan, " ujar Murshidi lagi yang agak kesal kerana aduannya selama ini tidak diendahkan oleh pihak berkuasa.


Lebih mengejutkan sabahkini.net, terdapat jambatimbang stesen Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang terletak dipintu masuk jalan ke kuari berkenaan, namun lori ‘hantu’ (off-road) daripada kuari berkenaan bebas keluar masuk membawa muatan berlebihan ke pelabuhan haram tanpa melalui pemeriksaan JPJ.

Dalam pada itu, Fordeco Construction Sdn.Bhd. juga mendirikan sebuah kilang pembancuh simen berhampiran Bandar Teck Guan yang dipercayai beroperasi secara haram sejak lebih lima belas tahun lalu tanpa sebarang kelulusan Majlis Daerah Lahad Datu dan tidak mendapat kelulusan EIA.

Siasatan Sabahkini.net mendapati kilang ini didirikan ketika syarikat tersebut membina Bandar Baru Tabanak dan Taman Perumahan Tabanak yang beroperasi secara sementara di tapak binaan namun terus beroperasi secara haram sehingga kini membekalkan ‘premix concrete’ kepada daerah ini.

Siasatan sabahkini.net di Suruhanjaya Syarikat Malaysia mendapati Fordeco Construction Sdn.Bhd dimiliki oleh Kwan Bersaudara iaitu, Kwan Min Nyet (12,500 unit saham), Kwan Ngen Wah (1,512,500 unit saham), Kwan Jin Nget (12,500 unit saham) dan Kwan Ngen Chung (1,512,500 unit saham) yang mempunyai modal berbayar RM3.050 juta daripada modal dibenarkan sebanyak RM5 juta yang mencatatkan keuntungan bersih RM30 juta setiap tahun daripada operasi kuari.

Kedua-dua pemegang saham, Kwan Ngen Wah dan Kwan Ngen Chung turut menjadi pengarah Fordeco Construction Sdn.Bhd dan lebih 40 syarikat gabungan Kwantas Corporation Berhad. Kedua adik beradik ini disyaki memegang sijil Anak Negeri Palsu bagi membolehkan mereka mendapat penarafan sebagai syarikat milik penuh Bumiputera dan menikmati pelbagai insentif sehingga Kwan Ngen Wah dicatatkan di dalam Majalah Forbes sebagai orang yang ke 14 terkaya di Malaysia.

Tuesday, June 23, 2009

SIAPA 'BUNUH' NG WAI KIN?




Dipetik daripada:


MISTERI kehilangan 'Usahawan' minyak sawit mentah terkenal di Sabah, Ng Wai Kin yang selama ini bebas beroperasi tanpa lesen 'masih menjadi tandatanya' setelah kerja mencari mayatnya dihentikan pada 17 Jun 2009 oleh Agensi Pengawal Maritim Malaysia (APMM) dan pasukan penyelamat yang dinamakan 'Ops SAR Kuala Mumiang Sandakan.'

Ng yang selama ini sering gagal membayar 'Ufti' atau 'wang pengkeras' kepada pihak berkuasa daripada hasil operasi haramnya, kemungkinan kebarangkalian sengaja 'dipadamkan' (Erase) oleh rakan kongsinya yang 'beruniform' kerana gagal menunaikan janji walaupun Ng mengaut keuntungan yang besar.
Setiap kali beroperasi menjual minyak sawit mentah yang dibeli di pasaran gelap dan diseludup, Ng memperoleh keuntungan tunai antara RM400,000 hingga RM500,000 tertakluk kepada harga pasaran minyak sawit mentah.Serangan pada petang tersebut, mungkin sememangnya telah lama dirancang oleh 'rakan kongsinya yang beruniform' kerana kehilangan Ng secara mendadak bersama RM400,000 menimbulkan tandatanya?
Bagaimanapun tidak dikenalpasti kenapa pasukan penyelamat menghentikan operasi mencari 'mayat' Ng? Besar kemungkinan ada pihak yang menyorok atau memastikan 'mayat' Ng tidak ditemui kerana bimbang 'mayat' tersebut akan menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.
Menurut maklumat yang diterima, Ng hilang bersama wang tunai RM400,000 dan bukannya RM10,000 sebagaimana yang dilaporkan dibawa di dalam Kapal Tangki Seng 6 (SJN 00873K) namun kapal berkenaan telah kosong dan tidak mempunyai sebarang minyak sawit mentah lagi di dalam tangki kapal berkenaan kerana dipercayai baru sahaja dijual di pasaran gelap di 'perairan Malaysia.'
Satu sahaja teori kemungkinan kebarangkalian yang mungkin menjadi klu kepada kehilangan Ng ialah sebaik sahaja semua minyak dipamkan ke kapal pembeli dan wang bertukar tangan, bot 'perompak' telah 'menawan' kapal tangki berkenaan dan 'menghilangkan' Ng bersama wangnya.
Krew kapal berkenaan yang bersama Ng pada kedudukan 20 batu nautika daripada Sandakan kemungkinan besar adalah 'pelakon tambahan' yang direkrut oleh pihak tertentu untuk melakukan penyamaran kerana adalah tidak mungkin pasukan penyiasat gagal mendapat sebarang bukti daripada krew yang kononnya diikat dan tidak mengetahui apa yang berlaku.
Sebaliknya krew 'mencipta' bukti palsu kononnya kehadiran mereka di Kuala Mumiang ialah untuk membeli ikan sedangkan kapal tangki berkenaan sarat dengan muatan minyak sawit mentah.
Tempoh untuk mengepam minyak di antara dua hingga tiga jam dan adalah tidak mungkin kesemua mereka tertidur di siang hari atau pemunggahan kargo dilakukan secara automatik?
Bagaimanapun, mengikut fakta kes yang dilaporkan APMM, bilik Operasi Maritim Daerah Sandakan DM17 telah menerima laporan dari PUSKOM Marin Sandakan (PGM) bahawa seorang mangsa rompakan di laut yang dikenali sebagai Ng Wai Kin, 33, telah hilang di perairan Kuala Mumiang Sandakan.
Setelah menerima laporan kejadian pada 15 Jun 2009, lebih kurang jam 1.30 petang, bilik Operasi Maritim Daerah Sandakan DM17 telah menghubungi MRSC Kota Kinabalu memaklumkan laporan kejadian dan bilik gerakan Carilamat DM17 berkuatkuasa serta-merta.
Siasatan awal APMM mendapati mangsa bersama seorang pekerjanya telah menaiki kapal Tangki Seng 6 yang disewa dari Syarikat Lega Wira Sdn. Bhd yang dikemudi oleh 2 orang krew kapal tersebut.
Mengikut laporan rasmi APMM, kapal berkenaan berlepas dari Sandakan menuju ke Kuala Mumiang pada 14 Jun 2009 lebih kurang jam 7 malam atas urusan jual beli ikan?
Adalah dipercayai mangsa membawa RM10,000 bagi urusan tersebut tetapi apabila sampai di perairan laut Kuala Mumiang, lima lelaki bertopeng hitam dan bersenjatakan parang telah menaiki kapal tersebut lebih kurang jam 11.30 malam.
Mangsa telah menghilangkan diri dan dipercayai telah terjun ke laut manakala tiga yang lain telah diikat tetapi tidak dicederakan. Perompak terbabit melarikan diri menggunakan bot laju.
Serentak dengan itu, Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Sandakan, Kapten (M) Mohamad Onn bin Khalil telah mengarahkan APMM DM17 iaitu KM Serasan, KM Labas, KM Satang, Bot Kilat 37 dan Bot Pengawal 1 untuk menjalankan Operasi Mencari dan Menyelamat di sekitar perairan Kuala Mumiang.
Operasi ini juga turut disertai oleh Pasukan Gerakan Marin yang menghantar PX 22, Bot Destroyer Satu dan Bot PSC 13. TLDM juga telah menghantar Bot Tempur CB90H untuk memantapkan lagi Operasi SAR ini.KM Serasan dan KM Satang telah dilantik sebagai 'On Scene Coordinator' semasa operasi tersebut dijalankan.
Operasi SAR ini telah bermula pada 15 Jun 2009, jam 1.30 tengah hari dan berakhir pada 17 Jun 2009 pada tengah malamnya.

Tiada sebarang kesan atau tanda-tanda positif ditemui sepanjang tiga hari Ops SAR ini dijalankan. Pihak MRSC Kota Kinabalu yang berperanan sebagai koordinator untuk operasi ini telah menamatkan operasi mencari dan menyelamat.
Namun kehilangan Ng akan membawa kepada suatu jawapan yang menggemparkan semua pihak dalam waktu terdekat jika saksi mata tampil mendedahkan bukti jika ada tawaran lumayan ditawarkan. Mungkinkah Ng masih hidup atau telah dipadamkan?

Monday, June 22, 2009

PBS SOKONG LANGKAH KERAJAAN TIDAK DAFTAR BLOGGER


Oleh: MARKUS JACOB (www.sabahkini.net)

PERSATUAN Blogger Sabah (PBS) menyambut baik langkah kerajaan untuk mengekalkan Dasar Langit Terbuka terhadap para Blogger dengan tidak bercadang untuk mendaftar para Blogger bagi membolehkan mereka bebas menyampaikan maklumat melalui internet, namun tertakluk kepada undang-undang negara demi menjaga keharmonian masyarakat.

Presiden Persatuan Blogger Sabah, Mutalib M.D berkata demikian dalam kawat tahniahnya kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim ekoran pengumuman yang dibuat oleh menteri itu di Dewan Rakyat baru-baru ini bahawa Kerajaan tidak ada menyenaraikan atau mendaftar mana-mana Blogger yang beroperasi di internet ketika menjawab soalan Wakil Ipoh Timur, Lim Kit Siang yang menyifatkan Kerajaan menyekat kebebasan para Blogger.


"Bagi memastikan para Blogger tidak dikongkong atau diserabutkan dengan pelbagai ugutan atau peraturan, PBS akan mengadakan kursus Intensif kepada para blogger yang menjadi ahli pbs pada masa akan datang," ujar Mutalib yang memaklumkan bahawa Kursus Intensif berkenaan akan dibuat di Kota Kinabalu.


Mutalib menegaskan bahawa kursus berkenaan amat perlu kerana ramai Blogger gagal menepati kelayakan sebagai Blogger dan tidak mengetahui bahawa mereka juga tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM 1998) yang boleh mensabitkan para Blogger didenda RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Bagaimanapun kata Mutalib, setakat ini, belum ada ahli PBS dikenakan sebarang tindakan, melainkan beberapa siasatan polis akibat laporan yang dibuat oleh pembaca atau orang awam bagi isu yang melibatkan kepentingan awam.


"Blogger yang dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu baru-baru ini kerana memfitnah Sultan Perak bukan ahli PBS," ujar Mutalib yang turut menafikan ada ahlinya yang dicap oleh Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup sebagai mereka yang tidak tahu berterima kasih kepada kerajaan sebaliknya menggunakan kemudahan kerajaan untuk memburukkan kerajaan.


Tegas Mutalib, Kerajaan Negeri Sabah, di bawah pimpinan Ketua Menteri Sabah amat memerlukan peranan para Blogger kerana tidak memerlukan KPI sebagai Penanda Aras prestasi Wakil Rakyat Sabah kerana para Blogger merupakan pemantau yang berkesan untuk menilai prestasi Wakil Rakyat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.


"Kita sedang masih menunggu kelulusan pendaftaran PBS dan kita akan mengemukakan draf pelan kerjasama sebagai agensi berteraskan masyarakat dengan kerajaan negeri sebagaimana peranan yang dimainkan oleh Persatuan Wartawan Sabah (SJA), namun bergantung kepada keperluan sama ada untuk berkecuali atau bersikap profesional," ujar Mutalib yang juga Editor www.sabahkini.net dan menjadi salah satu blogger paling aktif di Sabah.

Menyentuh Kursus Intensif sehari yang akan diadakan pada 25 Julai 2009 dan Bengkel Pentauliahan Wartawan Sabahkini.net pada 26 Julai 2009 di Hotel Tang Dynasty Karamunsing atau mana-mana tempat yang akan dimaklumkan kemudian tertakluk kepada jumlah peserta.

Hanya ahli yang layak atau terpilih selepas saringan pada 25 Julai akan diberi peluang mengikuti Bengkel Pentauliahan Wartawan Sabahkini.net pada 26 Julai 2009.

Para Blogger kata Mutalib, masih berpeluang menjadi ahli secara online dengan mendaftar di www.sabahkini.net kerana tarikh tutup untuk melayakkan diri menjadi ahli akan ditutup pada 30 JUn 2009 .

"Bagaimanapun hanya kursus dan bengkel yang akan diberi secara percuma kerana PBS tidak menyediakan tempat tinggal bagi peserta di luar Kota Kinabalu. Mereka boleh berkongsi sesama mereka bagi membiasakan diri menghadapi senario sebenar tugas seorang blogger," ujar Mutalib lagi.

Bagi para Blogger yang telah mendaftar secara online tetapi laman web atau blog mereka tidak dapat dilayari tidak layak mengikuti Kursus Intensif berkenaan.