Search This Blog

Tuesday, March 24, 2009

DUA LAGI LAPORAN SPRM DIBUAT TERHADAP MUSA AMAN?


SERAH....Yakub (kiri) Padli dan Kunsul menunjukkan surat akuan terima laporan yang mereka buat di SPRM Sabah.

SETAKAT ini sudah empat laporan rasmi telah dibuat di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kota Kinabalu berhubung isu tindakan Lembaga Disiplin UMNO terhadap Ketua Pemuda UMNO Sabah, Datuk Japlin Akim.

Terbaru dua lagi laporan rasmi difailkan di SPRM Sabah berhubung isu berkenaan dan isu yang berkaitan dengannya.

Ketua Cawangan UMNO Tanjung Labian, Kunsul Bin Nahul daripada Bahagian Silam yang mendakwa mewakili lebih 70 cawangan (senarai bercap jari terpaksa dirahsiakan atas sebab tertentu)sebelum ini telah membuat laporan polis untuk menghalang Perhimpunan Agung UMNO Pusat pada 26 Mac 2009 ini atas alasan Persidangan UMNO Bahagian Silam adalah 'Batal dan Tidak Sah'kerana berlaku penipuan, pengundi hantu dan perwakilan haram.

Kelmarin, Kunsul memfailkan laporan berserta bukti salah laku dan politik wang serta penipuan yang dilakukan oleh Urusetia UMNO Bahagian Silam dan Wakil Badan Perhubungan UMNO Sabah yang mengawalselia perjalanan mesyuarat agung berkenaan pada 1 November 2008.

Dalam laporannya, Kunsul mendakwa Musa Aman telah menyalahgunakan kedudukannya sebagai Ketua Badan Perhubungan UMNO Sabah untuk kepentingan peribadi dengan mengabaikan bantahan yang difailkan oleh para Perwakilan UMNO Silam bagi membolehkan kroni dan proksinya mengekalkan kemenangan secara tidak sah.

"Walaupun Jawatankuasa Pengurusan Parti mengarahkan siasatan dijalankan oleh Badan Perhubungan UMNO Sabah, tetapi siasatan tidak langsung dijalankan terutama memanggil pengadu atau saksi memberi keterangan dan tidak memaklumkan kepada pengadu sama ada bantahan mereka diterima, dipertikai atau ditolak," ujar Kunsul yang kesal kerana Musa tidak telus menyelesaikan kemelut di banyak Bahagian UMNO di Sabah.


SALINAN....Salinan surat iringan laporan SPRM Kunsul dan nota penerimaan SPRM.

Kata Kunsul, Musa tidak sewajarnya membenarkan UMNO Silam menghantar perwakilan kerana bantahan dan aduan politik wang terutama yang melibatkan semua calon yang bertanding termasuk Ketua Wanita, Timbalan dan Naib belum didengar dan diputuskan.

"Jika bukan perwakilan turun mengundi atau jika perwakilan yang sudah meninggal dunia diganti di luar persidangan atau jika ada perwakilan mengaku mengundi lebih daripada sekali, maka apakah persidangan tersebut sah?," tanya Kunsul yang meminta agar semua pihak menghormati Perlembagaan Parti dan Tataetika Ahli UMNO.

Penipuan yang dilakukan secara konspirasi antara mereka yang bertanding dan Urusetia Persidangan begitu ketara, kata Kunsul, seolah-olah persidangan berkenaan sudah seperti sarkas atau zoo negara.

Sehubungan itu, Kunsul mendesak SPRM menjalankan siasatan rapi disebabkan Musa turut bertanding sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan khuatir Musa menggunakan perwakilan UMNO Silam sebagai 'Deposit politik' yang boleh dicairkan di Perhimpunan Agung UMNO dan menyuburkan 'Rasuah Politik' atau 'Politik Wang.'

Dalam pada itu, seorang ahli UMNO Taman Antarabangsa, Bahagian Kota Kinabalu, Yakub Damsah yang ditemani oleh ahli UMNO Cawangan Airport Lama, Bahagian Putatan, Padlee Shahibon turut memfailkan laporan rasmi di SPRM setelah membuat laporan polis terhadap Japlin pada 20 Mac 2009.

"Kita mendesak agar SPRM menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap Musa Aman yang melindungi perasuah politik, Datuk Japlin Akim dengan mengekalkan jawatannya sebagai Pembantu Mneteri," kata Yakub yang turut menyerahkan beberapa dokumen penting membuktikan hubungan proksi antara Japlin dengan Musa Aman.

Kata Yakub, walaupun Musa berpendapat bahawa Japlin hanya dihukum oleh UMNO, tetapi dari segi moral, ahli UMNO beranggapan bahawa Japlin adalah 'penjenayah' kerana didapati bersalah mengamalkan politik wang.

"Japlin harus mengikut contoh Tan Sri Isa Samad yang segera meletakkan jawatan setelah didapati bersalah dan bukannya berlindung di ketiak Musa Aman untuk mendapatkan simpati," kata Yakub yang turut menggesa agar SPRM menyiasat sumber perolehan harta Japlin yang kaya dengan begitu cepat berbanding dengan pendapatannya.


DESAK....Surat iringan Yakub yang mendesak tindakan diambil terhadap Musa Aman dan Japlin.

Tegas Yakub jika Japlin sanggup menggunakan wang untuk mendapatkan pencalonan Ketua Pemuda UMNO Malaysia bagi Khairy Jamaluddin, maka beliau tidak hairan jika Japlin menggunakan banyak wang untuk memenangi jawatan Naib Ketua Bahagian Kota Belud.

1 comment:

dardie said...

Saudara penulis,

Fakta dan keterangan yang saudara tuliskan di sini amat perlu untuk dibaca dan ditatap oleh semua rakyat Sabah..

Saya cadangkan, agar saudara dapat melakukan sesuatu agar bahan2 tulisan saudara ini dapat dibaca oleh rakyat Sabah..sebenarnya tidak ramai yang tahu mengenai blog2 dan tulisan seperti ini..apa kata kalau saudara buat dalam bentuk flyers???..