Search This Blog

Tuesday, August 11, 2009

EKSKLUSIF: MA TZU DIGANTUNG TIDAK BERTALI?



Ehsan: www.sabahkini.net


WALAUPUN tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan telah sebulat suara memutuskan bahawa Yayasan Thean Hou adalah pertubuhan haram dan tidak mempunyai locus standi untuk mengemukakan saman terhadap kesemua defendan terbabit, namun Mahkamah Rayuan telah menggantung tidak bertali Projek Ma Tzu.

Memandangkan tidak ada sebarang keputusan dibuat berhubung projek berkenaan yang masih dalam dilema, maka Sabahkini.net telah menemui Pengerusi Yayasan Thean Hou, Tan Sri Chong Kah Kiat untuk mendapat gambaran sebenar berhubung tindakan yang bakal diambil oleh beliau berikutan Keputusan Mahkamah Rayuan berkenaan.

Sebelum menemui Chong Kah Kiat, ketika bersembahyang Jumaat pada 7 Ogos lalu di Masjid Bandaraya di Likas, Khatib Masjid Bandaraya telah memulakan mukadimah khutbah yang amat mengejutkan Datuk Seri Panglima Musa Aman dan Jemaah yang turut bersembahyatng di Masjid berkenaan dengan mengatakan; "Janganlah sakitkan hati orang bukan Islam kerana mereka juga cucu Nabi Adam."

WAWANCARA SABAHKINI.NET DENGAN TAN SRI CHONG KAH KIAT


Sabahkini.net: Selamat Petang Tan Sri. Nampaknya Tan Sri gembira dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang disifatkan sebagai memihak kepada Defendan?

Tan Sri Chong Kah Kiat (CKK): Selamat petang kembali. Ya, saya gembira kerana walaupun mahkamah rayuan telah memutuskan bahawa Yayasan Thean Hou adalah sebuah pertubuhan yang tidak sah mengikut undang-undang yang berkuatkuasa dan tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan sebarang saman, namun mahkamah tidak membatalkan pembinaan patung Dewi Laut Ma Tzu atau menghalang pembinaan daripada diteruskan. Ramai rakyat berpendapat keputusan mahkamah rayuan tidak memberi sebarang makna kepada Musa atau saya kerana persoalan pokok ialah adakah Musa Aman atau Pihak Berkuasa Tempatan mempunyai locus standi untuk memberhentikan pembinaan patung Ma Tzu? Saya ingin bertanya, aspek mana dan peruntukan perlembagaan mana, Musa gunakan untuk campurtangan dalam isu agama lain sedangkan perlembagaan negara membenarkan pembinaan patung berkenaan.

Sabahkini.net: Jadi Tan Sri tidak gusar dengan keputusan tersebut yang dilihat sesetengah pihak sebagai berakhirnya perjuangan Tan Sri mendapat keadilan melalui Mahkamah Undang-Undang?


CKK: Oh tidak sama sekali. Namun sebagai Pengerusi Yayasan Thean Hou yang kini diharamkan Mahkamah Rayuan, saya merasakan adalah menjadi keperluan kepada saya untuk menjelaskan apa juga keraguan yang timbul. Biar rakyat Sabah mengetahui apa yang berlaku kepada dua kes saman saya. Saman pemula Ma Tzu dan saman sivil yang saya kemukakan. Adalah penting bagi rakyat Sabah dan Malaysia mengetahui implikasi keputusan mahkamah rayuan yang mengenepikan kedua-dua kes Ma Tzu. Semua tiga hakim di Mahkamah rayuan membuat keputusan bahawa Yayasan saya, malah saya sendiri tidak mempunyai locus standi untuk pergi ke mahkamah untuk mendapatkan keadilan kerana Mahkamah Rayuan mengatakan Yayasan saya adalah ‘Pertubuhan Haram’ dan tidak berdaftar di bawah Akta Pertubuhan sedangkan Mahkamah Rayuan bukanlah forum yang sesuai untuk memutuskan bahawa Yayasan saya adalah tidak sah.

Sabahkini.net: Apa reaksi Tan Sri dan ahli Pertubuhan Yayasan Thean Hou apabila Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Pertubuhan yang Tan Sri pimpin sebagai tidak sah atau tidak mempunyai Locus Standi?


CKK: Inilah keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan. Sehubungan itu saya perlu menjelaskan isu ini sebaik mungkin berhubung apa juga kekeliruan yang ahli Yayasan dan orang awam mahu tahu. Saya menerima banyak panggilan telefon selepas keputuan Mahkamah Rayuan. Rakyat mesti tahu bahawa Mahkamah Rayuan tidak menyatakan bahawa Projek Ma Tzu yang diluluskan oleh Lembaga Bandaran Kudat adalah Haram. Mahkamah Rayuan juga tidak mengatakan bahawa saya tidak boleh membina atau melaksanakan projek yang telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Mahkamah Rayuan juga tidak menyatakan bahawa projek saya adalah Haram. Bagaimanapun, yang paling penting Mahkamah Rayuan tidak menyatakan tindakan pihak berkuasa tempatan seperti Lembaga Bandaran Kudat, Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Ketua Menteri dan pihak yang mengambil tindakan atau apa yang mereka lakukan ke atas projek saya adalah sah. Keputusan Mahkamah Rayuan tidak ada katakan apa-apa. Tidak apa sebarang keputusan. Mahkamah Rayuan tidak membuat sebarang keputusan tentang projek saya, oleh itu tidak member sebarang kesan terhadap projek saya. Tidak ada sebarang keputusan. Saya harap anda faham. Kalau tak faham sila tanya kerana penting bagi anda untuk mengetahui situasi dan posisi fakta sebenar.

Sabahkini.net: Tadi Tan Sri melihat kes ini dari aspek psikologi untuk mententeramkan penganut Ma Tzu, namun dari aspek Undang-Undang, Tan Sri harus melakukan sesuatu untuk memastikan isu Ma Tzu tidak berakhir begitu sahaja. Apakah tindakan selanjutnya?

CKK: Memang benar. Sekarang semua kes Ma Tzu sudah tidak ada, melainkan saya bawa ke Mahkamah Persekutuan. Untuk ke Mahkamah Persekutuan, saya harus memohon leave daripada Mahkamah Persekutuan terlebih dahulu. Saya percaya saudara ada membaca surat khabar beberapa hari lalu. Ya, memang saya akui, saya telah mengarahkan Peguam saya, Haji Ansari untuk memohon leave daripada Mahkamah Persekutuan dengan alasan akan merayu di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang mengharamkan Yayasan saya (sambil tergelak kecil). Inilah posisi yang akan saya buat seperti mana arahan yang saya berikan kepada peguam saya. Sebab jika saya tidak memohon kepada Mahkamah Persekutuan dan biarkan seperti mana pada hari ini, bermakna tidak lagi kes Ma Tzu di mahkamah.

Sabahkini.net: Apakah jaminan atau mekanisme bahawa Mahkamah Persekutuan akan menerima atau menolak leave yang difailkan Tan Sri sebelum kes ini boleh diteruskan di Mahkamah Tinggi?

CKK: Inilah sebenarnya persoalan yang berlegar di kepala saya. Apa senarionya jika saya tidak mengambil sebarang tindakan?. Apa akan terjadi kepada projek yang telah diluluskan kerajaan tetapi kemudiannya dibatalkan? Sedangkan pada dasarnya projek berkenaan hampir siap atau telah siap, hanya menunggu patung Ma Tzu dipasang pada tempatnya. Projek sudah berjalan atau sedia ada, bukan belum bermula. Apa yang akan terjadi jika saya tidak mengambil tindakan lanjut di mahkamah?. Apa yang akan terjadi? Ini bermakna, soalan pertama ialah apakah jika projek yang telah diluluskan, Projek Mazu di Kudat ini, sah atau tidak sah? Adakah keputusan kerajaan menarik balik kelulusan yang telah diberi itu sah atau tidak? Perkara inilah yang harus diputuskan oleh Mahkamah atau oleh suatu badan atau seseorang atau sesuatu institusi, harus membuat keputusan, samada mahkamah, atau Lembaga Pusat Perancang Bandar yang sehingga ke hari ini tidak pernah wujud. Jadi siapa sebenarnya yang akan buat keputusan?

Sabahkini.net: Pada pandangan Tan Sri, apakah Kerajaan boleh, berhak atau pernah menarik balik kelulusan yang telah diberikan kepada sesuatu institusi?

CKK: Saya tidak tahu kes sebelum ini. Tapi dalam kes ini, saya rasa seluruh rakyat Malaysia mahu tahu kenapa Kerajaan menarik balik kelulusan yang telah diberikan kepada pemaju swasta, di atas tanah swasta dan dibiayai sepenuhnya oleh dana swasta. Kita tidak menggunakan satu senpun wang kerajaan. Rakyat Malaysia mahu tahu. Adakah kita mempunyai cara untuk mencari penyelesaian, memutuskan hal ini? Jika saya tutup saja kes ini dan jika saya tidak kemukakan kepada Mahkamah Persekutuan,dan hanya terima keputusan Mahkamah Rayuan, ini bermakna kerajaan, Ketua Menteri, Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Lembaga Bandaran Kudat, Lembaga Pusat Perancang Bandar tidak lagi perlu menjelaskan kepada rakyat tindakan songsang mereka dan memberi justifikasi apa yang mereka lakukan ke atas projek saya. Persoalannya, apakah mereka akan dilepas atau bebaskan begitu sahaja oleh mahkamah?

Sabahkini.net: Bukankah jika Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan, maka segala rayuan Tan Sri tidak berguna lagi sekalipun dikemukakan ke Mahkamah Persekutuan? Ini penting di sini ialah Locus Standi. Apakah ia ada ditimbulkan di dalam prosiding?

CKK: Nah inilah yang rakyat nak tahu. Keputusan Mahkamah Rayuan hanya berkisar kepada masalah teknikal dan locus standi. Tetapi kenapa isu ini tidak pernah ditimbulkan sejak hari pertama sehingga tiga tahun lalu dan hanya ditimbulkan selepas Peguam Negeri Sabah, atas sebab peribadi meletakkan jawatan. Rakyat mahu tahu. Kenapa rakyat mahu tahu? Sebab Kali pertama Kerajaan Negeri Sabah mencampuri projek saya pada 25 Mei 2005 melalui surat Lembaga Bandaran Kudat yang dialamatkan kepada saya. Jika saya tidak mempunyai locus standi, kenapa surat itu ditujukan kepada saya. Surat itu yang ditandatangani oleh Pegawai Eksekutif Lembaga Bandaran Kudat menyatakan bahawa, beliau telah diarah oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, iaitu melalui telefon daripada Pegawai Menteri, untuk memaklumkan kepada saya secara peribadi supaya memberhentikan projek pembinaan Patung Dewi Laut Ma Tzu dan ini yang paling penting, iaitu sehingga mendapat persetujuan atau arahan selanjutnya daripada Ketua Menteri Sabah. Surat ini bertarikh 25 Mei 2005, berikutnya, secara kebetulan iaitu sepuluh hari selepas insiden tongkang di Sipadan,kalau anda boleh ingat iaitu 15 Mei 2006, kurang seminggu atau kurang 10 hari kemudian iaitu pada 6 Jun 2006. Saya ada semua hitam putih. Satu hari akan saya tulis buku, Saga Ma Tzu di Kudat.

Sabahkini.net: Bagaimanapun Tan Sri, undang-undang yang diamalkan di Malaysia sering kali tidak berpihak kepada dokumen atau hitam putih kerana dokumen tidak boleh berbicara atau menjawab soalan hakim di Mahkamah. Jadi bagaimana Tan Sri begitu yakin boleh menggunakan dokumen berkenaan sebagai alibi untuk meyakinkan Mahkamah Persekutuan?

CKK: Mereka tidak boleh melarikan diri atau menafikan kewujudan surat ini kerana sekalipun fail hilang tetapi saya ada surat asal. Surat ini tidak menyatakan alasan kenapa projek saya diberhentikan. Sepuluh hari kemudian, 6 Jun, Surat kedua yang ditulis oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, kerana itu saya namakan dia sebagai Defendan, kerana dia memberhentikan projek saya dengan memberi dua asas spesifik iaitu berdekatan dengan Masjid As-Syakirin dan bantahan awam. Dua asas spesifik. Mereka memberhentikan saya. Dua alasan. Saya terima. Selepas itu, bila Pemimpin Persekutuan datang untuk meminta mereka menimbang semula dan membenarkan saya meneruskan projek yang seperti saya nyatakan dalam bundle of pleading, termasuk Perdana Menteri juga dimaklumi. Kerajaan Negeri Sabah menulis surat, setahun selepas mereka memberhentikan projek saya dan kali ini mereka menarik balik kelulusan atau membatalkan kelulusan tersebut pada November 2007 dengan menyatakan alasan yang lebih spesifik iaitu ketidak patuhan kepada Seksyen 15, Ordinan Perancang Bandar dan Wilayah. Dengan kata lain permohonan saya tidak dikemukakan kepada Lembaga Pusat Perancang Bandar. Mereka tidak nyatakan itu kesalahan sesiapa ataupun kesilapan mereka. Itu bukan tugas pemaju atau tugas saya, itu tugas Lembaga Bandaran Kudat untuk menghantar atau tidak menghantar.

Sabahkini.net: Apakah alasan yang kukuh untuk meneruskan kes ini di Mahkamah Tinggi jika Mahkamah Persekutuan menyebelahi Tan Sri?

CKK: Asas penting di sini adalah alasan spesifik, iaitu projek saya tidak dikemukakan ke Lembaga Pusat Perancang Bandar.Saya terlibat dan Yayasan saya terbabit dan saya tidak dapat kemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan kerana tidak ada Lembaga Rayuan atau dengan kata lain, Lembaga Rayuan tidak pernah wujud sebagai sebuah institusi yang sah. Jadi saya tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa mengadu kepada mahkamah untuk memberitahu Mahkamah bahawa alasan yang Kerajaan berikan tidak munasabah dan tidak berasas menurut undang-undang yang berkuatkuasa di Malaysia. Apakah yang logik yang harus kerajaan lakukan? Mereka harus memberitahu dan meyakinkan Hakim Mahkamah Tinggi bahawa alasan yang mereka gunakan menamatkan projek saya adalah berasas dan sah. Mereka gunakan alasan ini. Ketika mereka berhentikan projek saya mereka tidak katakan, “Heeiii kami hentikan projek Yayasan Thean Hou kerana ia adalah Pertubuhan haram. Mereka tidak katakan itu. Mereka batalkan kelulusan projek saya bukan kerana Yayasan saya haram tetapi kerana dekat dengan Masjid. Tidak. Mereka hentikan saya kerana dua asas yang dangkal dan tidak masuk akal.

Sabahkini.net: Bukankah keputusan Mahkamah Rayuan telah membebaskan mereka daripada menjawab atau memberikan alasan terhadap tindakan mereka, apatah lagi ianya berkaitan isu Locus Standi?


CKK: Jika mereka berani membatalkan projek saya, mereka harus berani ke mahkamah. Jika mereka gentlemen, harus beranilah, mereka harus pergi Mahkamah Tinggi dan beritahu dan yakinkan hakim. Apakah ada undang-undang di Sabah dan Malaysia, yang tidak membenarkan projek seperti saya yang dibina berdekatan dengan masjid atau kerana ada orang komplen, lalu mereka katakan ada hak untuk berhentikan projek saya. Mereka harus memberitahu mahkamah kenapa mereka gunakan Seksyen 15. Mereka harus menjelaskan kenapa mereka gunakan Seksyen 15 sehingga memaksa projek saya dirujuk kepada Lembaga Pusat. Betul tak?. Tetapi sekarang dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan atas asas yang mengejut iaitu yayasan saya adalah pertubuhan haram. Bukan itu sebab kenapa projek saya dibatalkan atau dihentikan. Apa yang terjadi?. Belum lagi. Belum lagi Kerajaan atau saya ada peluang memberitahu hakim bahawa apa yang mereka lakukan adalah betul dan sah. Kita tidak berpeluang memberitahu mahkamah untuk bahawa apa yang kerajaan buat tidak betul. Kita tidak lagi berpeluang, melainkan jika saya membawa perkara ini ke mahkamah Persekutuan dan jika keputusan Mahkamah Persekutuan berpihak kepada saya, maka kita akan kembali kepada Mahkamah Tinggi. Inilah peluang saya yang terakhir. Jika usaha saya ke Mahkamah Persekutuan berhasil dan Tuhan membantu saya mendapatkan leave daripada Mahkamah Persekutuan, maka saya berpeluang untuk memberitahu mahkamah bahawa tiga alasan yang mereka kemukakan untuk membatalkan projek saya adalah tidak sah. Selepas itu terpulanglah kepada kerajaan untuk memberitahu mahkamah tiga alasan yang mereka gunakan. Kenapa mereka gunakan pada 2005 alasan berdekatan masjid atau komplen umum? Mereka harus beritahu mahkamah kenapa komplen orang awam atau Seksyen 15 boleh membatalkan kelulusan yang diberikan kepada projek saya. Mereka harus meyakinkan Mahkamah dan terpulang kepada hakim untuk memutuskannya.

Sabahkini.net: Tan Sri kata tadi bahawa isu Locus Standi tidak pernah ditimbulkan sepanjang perbicaraan dan kenapa tiba-tiba ianya diputuskan oleh Mahkamah Rayuan? Apakah ini akan membuatkan Mahkamah akan memutuskan tidak ada kes untuk dibicarakan kerana Tan Sri tidak mempunyai Locus Standi?

CKK: Ya memang benar. Tidak pernah timbul sepanjang perbicaraan. Tetapi jika mereka mahu mengemukakan isu pertubuhan haram, maka Kerajaan harus mengubah atau meminda dokumen kenyataan mempertahankan diri (Defend Statement) yang dikemukakan kepada mahkamah kerana tidak ada menyebut atau membangkitkan isu locus standi tentang pertubuhan haram. Mereka tidak pernah mencabar saya, tentang locus standi. Asas itu bukan asas, tetapi hanya dijadikan senjata teknikal dan taktikal dengan memutuskan bahawa yayasan saya adalah haram. Tapi itu bukan asas, tidak pernah digunakan. Tidak pernah dibangkitkan pula mulai dari hari pertama bila mereka berhentikan projek saya atau dibangkitkan. Ini penting kerana keputusan kelmarin tidak ada kena mengena berhubung legaliti atau dengan tindakan yang diambil kerajaan terhadap Ma Tzu. Keputusan Mahkamah Rayuan tidak bahawa ada kena mengena sama ada projek saya sah atau haram, bukan juga keputusan bahawa tindakan kerajaan terhadap saya adalah sah.

Sabahkini.net: Dengan keputusan dan perkembangan terbaru ini, apakah Tan Sri masih yakin dengan Sistem dan ketelusan Merit Perundangan atau Mahkamah di Malaysia?

CKK: Ya. Saya masih lagi percaya bahawa masih ada keadilan undang-undang di Malaysia kerana Mahkamah Rayuan tidak mengharamkan projek saya. Saya akan menggunakan semua saluran undang-undang dan jika masih juga tidak Berjaya, saya terpaksa budibicara atau cara saya sendiri. Tapi itu adalah jalan terakhir setelah semua peluang tertutup.

Sabahkini.net: Apakah antara jalan yang terbaik yang Tan Sri akan lakukan? Boleh berikan sedikit bayangan?

CKK: (Ketawa) Banyak cara. Oleh kerana tapak Ma Tzu telah di zon sebagai Kawasan Pelancongan, sekalipun Kerajaan Negeri tidak membenarkan saya mendirikan patung Ma Tzu, saya mungkin terpaksa membuka komponen Patung Ma Tzu yang sudah lebih tiga tahun berada di dalam kontena dan saya hanya letakkan di atas lantai di tapak yang dicadangkan. Tidak perlu dipasang. Saya rasa, asalkan dia Ma Tzu, sama ada dipasang atau tidak, penganut Ma Tzu akan datang. Saya kena beritahu seluruh dunia bahawa Ma Tzu dibenarkan untuk didirikan dan biarkan begitu sahaja. Apakah Kerajaan boleh buat terhadap saya? Tetapi itu hanyalah pilihan terakhir jika segala usaha menemui jalan buntu. Ada juga pihak yang meminta saya mendirikan Ma Tzu di tempat mereka, tetapi saya hanya mengikut ‘divine’ yang diarahkan Ma Tzu kepada saya.


Sabahkini.net: Berbalik kepada dua isu pembatalan projek Ma Tzu iaitu berdekatan Masjid dan bantahan orang awam, sejauh mana benarnya dakwaan berkenaan?

CKK: Dakwaan tersebut tidak berasas sama sekali. Ketika memberi keterangan di dalam Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Pengerusi Jawatankuasa Masjid As-Syakirin sendiri mengakui bahawa jarak di antara tapak Ma Tzu dengan Masjid adalah 700 meter. Sedangkan Masjid Tuaran dengan Pagoda letaknya hanya 300 meter antara satu sama lain. Menurut Pengerusi Masjid berkenaan juga, mereka tidak pernah membantah pembinaan patung Ma Tzu kerana mereka yakin dengan kebebasan beragama sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Sabahkini.net: Difahamkan bahawa ada pemimpin kanan Kerajaan Persekutuan cuba menyelesaikan isu ini secara setiakawan, namun kenapa belum mendatangkan sebarang hasil?.

CKK: Saya tidak pasti secara rasmi, tetapi pada 5 Mei 2009, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ada membuat kenyataan menasihatkan pihak yang bertelagah agar menyelesaikan kes berkenaan di luar mahkamah kerana yakin pintu rundingan sentiasa terbuka bagi kita untuk duduk bersama dan berbincang mengenainya. Najib yang mengakui wujudnya keperluan supaya kes itu diselesaikan dalam suasana persahabatan berdasarkan kepada konsep 1Malaysia. Saya tidak menolak atau tidak membantah asalkan tidak melibatkan projek saya. Saya secara peribadi telah menemui Datuk Seri Najib dan berbincang dari hati ke hati. Dia simpati dan menyokong saya. Namun hambatan tugas dan kekangan politik menyebabkan usaha beliau belum berhasil.

Sabahkini.net: Berhubung cadangan sesetengah pihak untuk mendirikan satu lagi Patung Ma Tzu di Kudat, apakah Tan Sri akan membantah?

CKK: Oh tidak. Kenapa saya harus membantah? Lagi banyak Patung Ma Tzu lagi bagus. Saya mengalu-alukan mereka membina segera Patung Ma Tzu. Oleh kerana Patung Ma Tzu saya masih tergendala. Maka saya menyokong penuh sebarang pembinaan Patung Ma Tzu.

Sabahkini.net: Akhir sekali apa pesanan dan aspirasi Tan Sri kepada rakyat Sabah dan penganut Ma Tzu berhubung isu ini?


CKK: Saya meminta rakyat Sabah yang menyokong saya selama ini agar dapat bersabar dan menyerahkan isu ini kepada kepada kebijaksanaan Mahkamah Persekutuan kerana saya yakin kes ini akan diteruskan kerana Mahkamah harus membuat keputusan yang masih tergantung setakat ini. Aspirasi saya ialah melihat Ma tzu didirikan di tempat yang asal. Terima kasih atas keprihatinan Sabahkini.net.


NOTA: WAWANCARA ini dibuat secara bebas dan Sabahkini.net tidak terikat dengan pandangan peribadi Tan Sri Chong Kah Kiat dan tidak terniat untuk mempertikaikan keputusan Mahkamah Rayuan.

Saturday, August 1, 2009

APA PBS BUAT SELAMA 9 TAHUN MEMERINTAH?

Ehsan: sabahkini.net

CERAH.... Mungkin nasib anak-anak Mazlan ini akan lebih cerah selepas ini kerana Ahli Parlimen Silam akan melancarkan Jom Ke Sekolah selepas pulang daripada misi negara di Melbourne, Australia.



MUNGKIN tidak dapat anda bayangkan bagaimana hidup di tanah tumpah darah sendiri selama 41 tahun tanpa sebarang dokumen pengenalan diri dan mempunyai lima anak yang tidak bersekolah serta tiga anak yang masih kecil yang mungkin mewarisi nasib malang bapa.

Itulah hakikat yang terpaksa dilalui oleh Mazlan Saliawa, 41, bersama anak-anaknya, Elia, 13; Sylvester, 12; Elistowie, 10; Edry, 8; Ezny, 6; Herly, 4; Ezlin Farhana, 2 dan Adly, 3 bulan.

Walaupun isteri Mazlan, memiliki kad pengenalan, namun dirinya dan anak-anaknya benar-benar terpinggir dan dipinggirkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara dan Kerajaan Negeri Sabah, terutama Parti Bersatu Sabah yang telah memerintah negeri ini selama 9 tahun.

"Saya pernah menemui Datuk Pairin ketika PBS perintah, minta tolong selesaikan masalah saya dan keluarga, dia janji mau tolong, tapi sampai sekarang kami belum ada apa-apa dokumen. Terima kasih kepada Ahli Parlimen Silam kerana menerima aduan saya dan saya harap masalah saya selesai tahun ini," ujar Mazlan yang menaruh harapan setinggi gunung Silam terhadap Haji Salleh Kalbi kerana sanggup turun padang menyelesaikan masalah rakyat.

Mazlan yang datang ke majlis bersama rakyat di balairaya antik yang hampir menyembah bumi, bersyukur kerana aduannya diberikan perhatian dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya agar anak-anaknya dapat bersekolah.

"Walaupun saya miskin tetapi saya sedar pentingnya anak-anak saya bersekolah, tapi apa boleh buat sekolah tidak mahu terima kerana semua anak-anak saya tidak ada sijil lahir," ujar Mazlan yang telah berulang alik ke Jabatan Pendaftaran Lahad Datu, namun jawapan yang diterima agak mengecewakan.

Mazlan memberitahu, beliau pernah menemui Adun Tungku, Datuk Ustaz Suhaili Mohd Said dan Adun Lahad Datu, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur, namun mereka berdolak dalih kononnya Mazlan bukan pengundi dan tinggal di perbatasan sempadan Dun N 49 dan N 50.

"Saya benar-benar kecewa bukan kerana layanan buruk ke dua adun berkenaan yang tidak langsung mahu mendengar penjelasan, jauh lagi membantu, malah mereka menganggap saya pendatang asing kerana tidak mempunyai dokumen. Mereka kata mereka hanya boleh layan warganegara Malaysia. Jadi saya ini bagaimana?," tanya Mazlan meluahkan kekesalan dan sebak di dadanya.

Persoalan yang menghantui Mazlan, kenapa Kerajaan Persekutuan boleh memberi kerakyatan secara tidak sah kepada hampir sejuta warga asing Indonesia dan Filipina di Sabah, kenapa Kerajaan tidak boleh menerima mereka sebagai warganegara?

Dengan kelonggaran yang diberikan Kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Najib Tun Razak, Mazlan mendambakan slogan 'rakyat didahulukan' diamalkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara yang patut turun gelanggang mengadakan pendaftaran bergerak.

Selain Mazlan, lebih 30 penduduk Kampung Bukit Belacon, Segama mengemukakan pelbagai masalah kad pengenalan terutama nenek yang berusia 70 tahun masih menunggu mykad yang belum siap sejak tujuh tahun lalu!

Thursday, July 30, 2009

IKLAN JABATAN PERKHIDMATAN KEBAJIKAN AM

Penemuan bayi baru lahir dibuang ibu kandung pada 22 jun 2009 jam 7 pagi di kawasan Masjid Daerah Lahad Datu. Bayi dalam keadaan sihat seberat 3 kilogram semasa lahir. Bayi diberi nama Ashraf berumur 1 bulan 8 hari, lelaki , berkulit cerah kini di bawah jagaan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah. Sebarang maklumat atau keluarga ibu kandung yang datang menuntut hendaklah menghubungi pegawai pelindung Jabatan Merangkap Pegawai Kebajikan Daerah, Cik Sarina Abdul Ganih di talian 089-881044 Pejabat Kebajikan Daerah Lahad Datu sebelum tindakan susulan oleh pihak Jabatan lakukan dalam masa terdekat.

Wednesday, July 29, 2009

UMNO SILAM BERPECAH?



Sumber: www.sabahkini.net


KETIDAK hadiran dua orang Wakil Rakyat UMNO dan penyokong mereka pada majlis perasmian Persidangan Agung Tahunan UMNO Bahagian Silam membuktikan bahawa parti yang kononnya kukuh dan selama ini mendakwa Silam sebagai Kubu Kuat telah berpecah daripada dalam.

"Untuk mengelak malu, Nasrun telah memujuk kumpulan pendesak dalam PKR yang diketuai Hassan Telempeng dan isterinya, Sarina, menyertai UMNO sedangkan Nasrun tahun bahawa Hassan telah dipecat seumur hidup oleh UMNO Pusat kerana bertanding sebagai calon bebas pada 2004," ujar Ketua Bahagian (Cabang) PKR Silam, Johani Abdul Halim.

Menurut Johani, Nasrun telah melakukan kesilapan besar apabila tidak menjemput Ahli Parlimen Silam Haji Salleh Haji Kalbi dan Adun Kunak Nilwan Kabang ke Majlis berkenaan yang dirasmikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien.

Sikap Nasrun mengabaikan kepentingan 35 cawangan dan lebih 700 ahli UMNO Silam yang enggan bermesyuarat umpama melepaskan anak di pangkuan untuk menyusukan kera di hutan apabila mempelawa Hassan Telempeng dan 16 penyokongnya (setelah semakan rapi dibuat) menyertai UMNO seolah-olah Nasrun telah dilantik sebagai Presiden UMNO kerana boleh menerima ahli yang dipecat seumur hidup.

Ketidak hadiran Salleh dan Nilwan menimbulkan tandatanya yang besar kepada Hishamuddin kerana walaupun kedua-dua mereka adalah Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Silam secara automatik, namun mereka telah menunjukkan belang mereka sebenar dengan 'memboikot' persidangan berkenaan.

Salleh sebelum ini, kata Johani, turut membuat bantahan terhadap kemenangan Nasrun sebagai Ketua UMNO Bahagian Silam melalui Video Klip Silam Mata UMNO Silam dan sejak daripada itu telah menunjukkan penentangan secara terbuka melalui blognya http://1silam.blogspot.com dan ucapannya terhadap kepimpinan Nasrun yang memperoleh kuasa secara culas dan tidak sah.

Sehubungan itu, Johani mencabar Nasrun agar mengosongkan kerusi Dun Lahad Datu untuk bertanding satu lawan satu dengan beliau dalam pilihanraya kecil bagi membuktikan sama ada beliau berpengaruh atau kehilangan sokongan majoriti.

"Kita tidak pernah gentar menghadapi UMNO pada setiap pilihanraya yang dijalankan dengan penuh penipuan, namun kita tetap memperolehi sokongan rakyat jelata," ujar Johani yang menyifatkan sengketa dalaman UMNO memberikan ruang yang cukup besar kepada PKR dan Pakatan Rakyat untuk merebut satu kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dun di Parlimen Silam.

Tegas Johani, sokongan terhadap PKR semakin bertambah terutama pada pilihanraya umum lalu apabila calon PKR bagi Dun Lahad Datu, Zainuddin Zulkarnain mendapat 4,976 undi sedangkan ketika itu ahli PKR hanya seramai 968 orang ahli berbanding Nasrun yang mendapat 8,034 undi sedangkan Ahli UMNO Silam yang berada di Dun Lahad Datu seramai 21,890 orang.

"Bukankah ini membuktikan bahawa UMNO Silam hanya kuat di atas kertas iaitu mempunyai 367 cawangan dan ahli seramai 37,302 ahli, namun tidak sampai 22 peratus yang mengundi Nasrun kerana yang lain hanyalah ahli Hantu atau tidak wujud," ujar Johani yang menyifatkan ramai Ahli UMNO tempatan telah memberikan sokongan padu kepada PKR dan Pakatan Rakyat pada setiap pilihanraya.

Berbalik kepada kes 17 ahli PKR yang menyertai UMNO, Johani berkata mesyuarat Jawatankuasa Bahagian yang diadakan pada Isnin, 28 Julai 2009, telah mencadangkan kepada Majlis Tertinggi PKR untuk memecat mereka.

Johani juga mengumumkan bahawa Juwina Kasdi telah dilantik sebagai Pemangku Ketua Wanita PKR Silam berkuatkuasa serta merta bagi menggantikan Che Siti Sarina Che Ismail yang menyertai suaminya menyertai UMNO Silam.

Dengan penghijrahan Hassan kembali ke tampuk UMNO, Johani gembira kerana UMNO mampu dipecahkan daripada dalam apabila Nasrun berura-ura melantik Hassan sebagai Ketua Penerangan UMNO Silam menggantikan Sharif Saidi Sharif Alawi.

KENAPA BELANJA RM50,000 UNTUK KUTIP DENDA RM25?


Sumber: sabahkini.net

Oleh: HAFIZ JAMAIL

MUNGKIN kes ini bakal tercatat dalam buku Guinness of World Record sekiranya Mantan Ketua Anak Negeri Sandakan, OKK Hassnar M.P.Ebrahim tewas dalam perbicaraan tiga kes kesalahan kecil yang 'direka' atau pertuduhan yang tidak berasas ke atas beliau di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu.

"Saya pun tidak tahu kenapa saya dituduh dengan tiga kesalahan kecil tersebut yang tidak pernah saya lakukan. Mungkin mereka cuba menghalang atau melengahkan saya menyampaikan saman dan sapena kepada pegawai kanan polis terutama Pesuruhjaya Polis sabah yang telah mendatangkan kerugian kepada saya dalam kes serangan dan salahguna kuasa polis diladang saya di Latangon, Kinabatangan," ujar Hassnar yang ditemani peguamnya, Haji Ansari Abdullah.

Tegas Hassnar, adalah tidak masuk akal, jika kerajaan terpaksa membayar gaji hakim, pembantu mahkamah, elaun saksi, gaji Timbalan Pendakwa Raya, Elaun Anggota polis dan sebagainya yang dianggarkan melebihi RM50,000 sedangkan jika beliau didapati bersalah dendanya hanya RM25 sahaja.

"Mereka seperti mengejar pelangi dan meminta saya mengaku salah. Tetapi saya mempunyai maruah untuk dipertahankan," ujar Hassnar yang agak berang dan menggelarkan polis yang menghantar saman dan menurut perintah ketua mereka sebagai 'Anjing Punya Polis' dan 'Polis Rasuah'.

Hassnar kesal kerana PDRM telah menyalahguna dana awam untuk menutup kelemahan pegawai atasan mereka dengan melengah-lengahkan beliau menyampaikan saman melalui tiga tuduhan yang langsung tidak berasas.

Bagaimanapun, Hassnar mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan berkenaan yang menurut beliau sengaja direka-reka oleh Polis untuk menghalang beliau daripada membongkar salah laku Polis terhadap rakyat dan meminta dibicarakan.

JANGAN YAHUDIKAN FELDA: SALLEH


PERANG.... Rakyat 13 buah kampung memprotes penggalian parit ini yang seolah-olah mengisytiharkan Perang Khandak dengan mereka.


SIKAP tidak profesional pegawai kanan Felda di Sabah menggali parit di sekeliling ladang Felda Sahabat yang bersempadan dengan tanah adat penduduk 13 buah kampung tradisi di Zon Labian menimbulkan kurang senang Ahli Parlimen Malaysia (Silam) dan para penduduk kampung berkenaan.

"Saya menegaskan di sini, hentikan sebarang usaha untuk me'yahudi'kan Felda. Sikap menggali parit besar berkenaan adalah sikap provokatif dan menghina rakyat Sabah yang selama ini bersabar dengan karenah pegawai kanan Felda yang lupa diri dan menyalahguna kuasa mereka," ujar Ahli Parlimen Malaysia, Haji Salleh Haji Kalbi ketika dihubungi melalui telefon.

Tindakan ala Yahudi berkenaan, kata Salleh telah mencetuskan kontroversi sehingga menyebabkan rakyat marah dan benci kepada kerajaan dan wakil rakyat yang enggan membela nasib mereka.

Sehubungan itu, Salleh menggesa Felda menutup semula parit besar yang digali di sekeliling kampung berkenaan kerana perbuatan tersebut akan mencetuskan perbalahan yang berpanjangan dengan pemohon asal tanah berkenaan yang dituduh mencuri buah kelapa sawit Felda.

"Biarlah isu kecurian buah ditangani pihak polis dan bukannya meletakkan undang-undang ditangan mereka sendiri," ujar Salleh yang kesal kerana menuduh penduduk kampung mencuri buah tanpa bukti sama seperti menjatuhi hukuman sebelum perbicaraan.

Salleh turut mendesak agar jalan ke Sekolah Rendah Kebangsaan Lok Buani yang digali parit ditimbus semula bagi membolehkan kanak-kanak sekolah dan guru melalui jalan berkenaan yang hanya sejauh 1.2 kilometer berbanding jalan yang digunakan sekarang sejauh 20 kilometer.

Berita lanjut dapat diikuti di dalam blog beliau http://1silam.blogspot.com

Sunday, July 26, 2009

BUKAN 1,000 TETAPI HANYA 10 ORANG?


LUCU.... Johani menunjukkan simbol jari yang bermaksud 10 tetapi mempunyai double meaning sebagai mempersenda berita kemasukan 1,000 ahli PKR ke dalam UMNO.

UMNO Silam yang masih berkemelut semakin kehilangan pengaruh akibat perpecahan dalaman parti itu kerana gagal mendapat sokongan seorang wakil rakyat dan seorang ahli Parlimen daripada bahagian tersebut sehingga tergamak membuat dakyah palsu kononnya 1,000 orang ahli PKR Silam menyertai UMNO.

"Siapa Hassan Melempeng? Dia seorang desperado dan tidak langsung mempunyai pengaruh dan merupakan katak politik yang mudah diternak oleh mana-mana parti. Dakwaan 1,000 orang ahli PKR hanyalah cerita dongeng yang direka oleh Hassan dan Ketua UMNO Bahagian Silam, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur," ujar Ketua Bahagian (Cabang) PKR Silam, Johani Abdul Halim.

Menurut Johani, beliau sentiasa memantau pergerakan Hassan dan ketika Majlis Makan Malam di Dewan Tun Mustapha baru-baru ini, beberapa ahli dan AJK PKR turut diundang dan mereka diperangkap dengan pengumuman terbuka Hassan dan isterinya, Che Sitti Sarina Che Ismail sehingga menyebabkan AJK dan ahli PKR yang turut serta tertipu.

"Hassan pernah memujuk saya menyertai UMNO apabila kami tidak terpilih pada pilhanraya umum 2008, namun saya kekal dengan prinsip perjuangan PKR," ujar Johani lagi yang merupakan Mantan AJK Bahagian UMNO Silam selama tiga penggal dan pernah menjadi Pengarah Bilik Gerakan Pilihanraya UMNO Silam sebelum menyertai PKR pada Julai 2005.

Kata Johani, sebenarnya UMNO hanya sesuai untuk pendatang asing tanpa izin yang mendapat kad pengenalan projek yang ditaja UMNO dan tidak sesuai bagi rakyat Sabah yang cintakan negara ini.

Oleh itu kata Johani, beliau mengucapkan selamat berangkat kepada Hassan suami isteri dan beberapa AJK yang terpengaruh dengan janji palsu Nasrun.

"Jika terdapat enam jiran keluarga Tiong Hua hidup dalam kemelaratan di belakang rumahnya, bagaimana Nasrun boleh membela Hassan dan ahli UMNO yang gilakan projek kecil?," ujar Johani yang menekankan bahawa Angkatan Muda PKR telah membuat laporan polis dan SPRM terhadap Nasrun yang telah menyalahgunakan kedudukannya sebagai Ketua UMNO Bahagian memberi projek kecil kepada Ketua Cawangan UMNO dan kroninya.

Sehubungan itu, Johani berharap agar Ahli PKR dan Pucuk Pimpinan PKR Pusat tidak gelisah kerana hanya sepuluh orang sahaja yang menyertai UMNO dan bukannya 1,000 seperti yang digembar-gemburkan oleh Nasrun dan tergelak besar ketika menunjukkan simbol 1 kosong menggunakan jari kedua belah tangannya.

Johani turut menggesa SPRM agar menyiasat amalan politik wang yang diamalkan Nasrun yang didakwa melesapkan lebih RM850,000 daripada peruntukan ahli parlimen Silam untuk menanam pengaruh politiknya dengan memberikan lebih 37 projek kecil kepada Ketua Cawangan dan kroninya.

"Jika Nasrun boleh membeli perwakilan UMNO, adalah tidak hairan jika beliau juga membuat tawaran projek kecil dan biasiswa untuk anak tiri Hassan," ujar Johani yang telah mengenalpasti 10 orang ahli PKR yang menyertai UMNO.

Mereka ini, kata Johani telah dijanjikan projek kecil termasuk rumah PPRT oleh Nasrun sebagai imbalan kemasukan mereka ke dalam UMNO. Begitu juga dengan Hassan yang memerlukan sokongan Nasrun dalam jawatankuasa LUC untuk kelulusan tanah yang dipohonnya.

Johani menegaskan beliau tidak hairan dengan amalan politik katak Hassan kerana sebelum ini beliau meninggalkan UMNO masuk PBS tetapi mengekalkan keahlian di dalam UMNO cawangan Kampung Berigas, kemudian apabila bertanding sebagai Calon Bebas 2004, dipecat seumur hidup oleh Lembaga Disiplin UMNO.

"Kini dia masuk UMNO balik. Apa nak hairan? Tapi bagaimana UMNO boleh terima ahli yang dipecat seumur hidup?," tanya Johani yang meminta ahli PKR bertenang dengan ribut dalam cawan di Silam.

Johani berkata beliau agak hairan dengan sikap YB Papantanda (Billboard) iaitu Nasrun yang hanya mencari populariti dengan menumpang glamor Ketua Menteri Sabah di sepuluh billboard yang tidak ditukar selama hampir setahun dan tidak mempedulikan kebajikan ahli UMNO yang hampir kesemuanya adalah miskin tegar.

"Jika 36 cawangan UMNO Silam enggan bermesyuarat dan tidak menghantar wakil ke Persidangan Agung UMNO Silam hari ini, bagaimana Hassan dan kumpulannya boleh mempercayai Nasrun?," tanya Johani yang masak dengan politik kampungan Nasrun yang bertenggek di sebalik jawatannya sebagai Pembantu Menteri yang kini ghairah untuk melobi jawatan Pengerusi Barisan Nasional Silam.


Tuesday, July 14, 2009

CHINA DOLL, PELANCONG ATAU PENIAGA?

Sumber: www.sabahkini.net

KEHADIRAN puluhan ribu gadis dan wanita China pertengahan umur daripada Negara China yang menggunakan visa pelancong untuk berniaga secara haram di Sabah sudah mula dikesan sejak 1998 namun ianya tidak dianggap mengancam keselamatan negara sehinggalah ramai di antara mereka, terutama yang berusia antara 18 hingga 30 tahun terlibat dengan kegiatan maksiat, rumah urut, pelacuran atau China Doll.

Misteri kehilangan 50,000 China Doll yang memasuki Malaysia sejak 1998 masih belum terjawab sekalipun dengan penangkapan Ketua Pengarah Jabatan Imiigresen Malaysia, Timbalan dan kakitangannya serta Agen yang memperkuda jawatan pegawai turus Imigresen untuk mengaut kekayaan dalam masa yang singkat.

RAJIN... Wanita ini rajin menjual ubat-ubatan dan peralatan elektronik di kawasan tumpuan ramai terutama yang dikunjungi kaum Tiong Hua kerana masalah komunikasi.

Sejak Mac 2009, Sabahkini.net menerima pelbagai aduan melalui email dan sms tentang kejadian China Doll dan China Biz (peniaga) dan kebanyakan email atau aduan berkenaan telah dimajukan kepada penguatkuasa undang-undang termasuk PDRM dan Imigresen serta Kementerian Dalam Negeri.

Namun apabila tidak mendapat reaksi positif, maka Sabahkini.net telah menjalankan kajian lapangan untuk mengintai dan memantau aktiviti China Doll dan China Biz ini yang seolah-olah menjadi anak emas Jabatan Imigresen kerana mereka sering 'terlepas atau dilepaskan' jika ada operasi pencegahan maksiat atau pendatang haram kerana mereka memiliki 'barang' yang boleh ditawarkan sebagai jaminan agar dibebaskan.

Persoalan yang memeningkan kepala ialah bagaimana mereka masuk melalui pintu Imigresen iaitu melalui jalan yang sah namun tidak pernah meninggalkan negara ini sejak 1998. Jika ada yang tertangkap hanya dijadikan 'kambing hitam' untuk melenturkan keluhan masyarakat yang masih trauma dengan kehilangan 50,000 warga China setelah memasuki Malaysia.

PUJUK....Wanita China ini sedang memujuk pelanggan agar membeli barangan jualannya.

Skandal kad pengenalan palsu dan projek serta sindiket pasport palsu antarabangsa yang menggunakan Jabatan Imigresen sebagai 'Zon Ekonomi Eksklusif' dan Zon Perdagangan Bebas' operasi atau sebagai pintu masuk yang sah, memudahkan penyeludupan dan pemerdagangan manusia sehingga Malaysia disenaraikan kembali sebagai salah satu negara yang terlibat dengan aktiviti haram berkenaan.

Siasatan sabahkini di Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Sandakan mendapati China Doll ditempatkan di rumah urut atau Spa yang menggunakan lesen Reflexologi untuk menjalankan kegiatan pelacuran dan pengedaran pil khayal seperti eramin 5, ketamin dan sebagainya yang begitu mudah di bawa masuk ke Sabah.

Beverlly Hill Apartment di Penampang pula menjadi syurga 'China Doll' ini kerana tidak pernah diserbu melainkan mereka yang gagal membayar 'ufti' kepada penguatkuasa undang-undang yang memberi pengajaran kepada taukey yang melindungi China Doll semata-mata untuk membuka akaun 'Simpanan Tetap' bagi melindungi kegiatan haram mereka.

Manakala China Biz pula datang melancong sambil berniaga dengan menjual pelbagai barangan termasuk alat elektronik, peranti perakam suara, talipinggang serta ubat-ubatan yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.

APRODIASIK.....Ubat perangsang seks ini mampu bertahan dalam darah selama 120 minit?

Sabahkini.net masih gagal mengesan bagaimana China Biz ini dapat membawa masuk barang jualan mereka dalam kuantiti yang besar kerana modus operasi mereka dipelbagaikan bagi mengelak serbuan atau 'pembayaran cukai' dua kali ganda jika diserbu.

Kebanyakan China Biz ini membawa bersama mereka pelbagai peralatan elektronik, peranti robotik, ubat-ubatan dan aprodiasic atau ubat merangsang syahwat untuk dijual secara terbuka dan ada di antara mereka turut menawarkan perkhidmatan seks.

Dalam tinjauan baru-baru ini di Bandar Lahad Datu, selain menjual barangan keperluan peribadi, China Biz turut menjual ubat rangsangan seks secara terbuka tanpa nasihat doktor kerana mendapat permintaan yang meningkat daripada pelbagai pihak.

Walaupun kehadiran mereka ini tidak begitu dirasai, namun ianya boleh menggugat ketenteraman awam melalui kegiatan yang tidak sihat termasuk pelacuran dan menjual ubat rangsangan seks secara terbuka tanpa mempedulikan kesan kepada sistem sosial masyarakat.

Ubat-ubatan yang dijual akan menyebabkan pembeli mengalami komplikasi dan risiko serangan jantung jika diambil dalam dos yang berlebihan atau mempunyai penyakit respiratori.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia sewajarnya mengambil langkah yang lebih proaktif dengan mengadakan pemeriksaan yang lebih kerap di kawasan tumpuan awal kerana ubat-ubatan yang dijual China Biz ini termasuk di bawah Akta Racun.

Jabatan Imigresen pula yang selama ini dijadikan 'rest house' oleh China Doll wajar mengetatkan kawalan pintu masuk dan mengenakan syarat 'Wang Tunjuk' sekiranya mereka benar-benar ingin melancong ke negara ini bagi mengalang mereka menjadikan Sabah sebagai 'Zon Bebas Pelancongan Pelacuran."

Kemungkinan kebarangkalian yang ketara ialah sindiket membawa keluar mereka yang menggunakan pelabuhan Tawau, Sandakan atau Labuan yang tidak dikawal ketat hendaklah dijadikan salah satu target dalam operasi membanteras pemerdagangan manusia melalui jaringan sindiket antarabangsa.

Monday, July 13, 2009

RASUAH PUNCA SUNGAI SEGAMA TERCEMAR?

CEMAR.... Bukti pencemaran masih kelihatan namun Jabatan Alam Sekitar tidak pandai datang-datang? Ancari sedang menerangkan senario sebenarnya yang berlaku di lokasi.





RASUAH mungkin punca utama kenapa kilang kelapa sawit terus membuang sisa kumbahan terus ke sungai Segama yang begitu tercemar oleh effluen daripada kolam takungan beberapa kilang yang terletak di sepanjang Sungai Segama menyebabkan penduduk mengadu kepada Sabahkini.net setelah semua usaha dan aduan mereka selama ini gagal mendapat perhatian.

Krew Sabahkini.net yang bergegas ke lokasi kejadian sehari selepas kilang berkenaan melepaskan begitu banyak kumbahan melalui parit kecil sebelum mengalir ke Sungai Segama yang menjadi punca air minuman penduduk Lahad Datu air Sungai Segama yang keruh bertukar menjadi hitam.

"Banyak ikan mati. Kami takut makan kerana bimbang keracunan. Kami telah mengadu kepada alam sekitar dan pegawai daerah, tapi tidak ada sebarang tindakan diambil," ujar Abdullah Bin Rafael kepada krew Sabahkini.net sambil menunjukkan beberapa gambar yang sempat dirakam melalui telefon bimbit.

Menurut Abdullah, beliau kesal kerana tidak lagi dapat menangkap ikan sejak sepuluh tahun lalu kerana sungai Segama benar-benar tercemar dan sebagai belia yang selama ini bergantung kepada sungai untuk meneruskan kehidupan terpaksa mencari pekerjaan lain seperti buruh kasar di bengkel berdekatan.

"Dulu kami boleh dapat juga simpan sedikit pendapatan daripada menangkap ikan dan udang di sungai ini, tetapi sekarang semua ikan sudah mati melainkan ikan keli sahaja yang bertahan," ujar Abdullah yang kesal kerana sistem penyampaian kerajaan begitu mundur dan gagal mengambil tindakan segera.

Kata Abdullah, beliau tidak tahu siapa sebenarnya yang bertanggung jawab terhadap alam sekitar kerana Jabatan Alam Sekitar bagaikan Jabatan VIP yang beribu pejabat di Kota Kinabalu dan tidak mempunyai sebarang pejabat di Lahad Datu.

Mereka ini macam VIP mau dijemput baru datang. Mereka patut pantau semua kilang dan tanya penduduk kampung. Orang utan pun boleh nampak sisa minyak di tebing sungai, apa lagi pegawai. Lainlah kalau mereka pakai kacama mata hitam," ujar Abdullah yang menaruh harapan agar Ahli Parlimen Silam dapat membantu mereka kerana Adun Lahad Datu enggan membantu mereka mengatasi masalah yang sudah berpuluh tahun ini.

Berita selanjutnya, sila layari www.sabahkini.net (sila klik).

Wednesday, July 8, 2009

MISTERI RUMAH PPRT DI BELAKANG RUMAH ADUN LAHAD DATU?




TIADA siapa menyangka bahawa setelah dua penggal menjadi Wakil Rakyat Lahad Datu dan kini menjawat jawatan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur tidak menyedari terdapat sebuah keluarga miskin tegar kaum Tiong Hua betul-betul berada di belakang rumahnya, di kampung Muhibbah, Lahad Datu, Sabah.

Puan Liew Kon Lan, 63, tinggal di sebuah gubuk buruk yang langsung tidak mempunyai sebarang kemudahan asas bersama dua anak lelakinya, Pang Tain Paw, 44, dan Pang Tiew Loi, 41, menantu dan cucunya.

Krew Sabahkini.net yang bergegas ke lokasi setelah membaca blog Ahli Parlimen Silam, begitu terkejut apabila mendapati rumah penduduk miskin tegar berkenaan hanya dipisahkan oleh sebatang parit monson yang jaraknya hanya 100 meter daripada rumah Nasrun yang juga Ketua UMNO Bahagian Silam.

"Saya tidak tahu sama siapa mahu mengadu kerana saya tidak boleh jalan jauh," ujar Liew yang hanya mampu mengengsot atau membongkok dipapah menantunya yang bisu.

Kisah tragis ini boleh diikuti di dalam blog Ahli Parlimen Silam, http://1silam.blogspot.com

Saturday, June 27, 2009

SIAPA DALANGI KUARI HARAM DI SILAM? KENAPA SPRM BERDIAM DIRI?


Sumber asal: www.sabahkini.net



WALAUPUN permohonan Laporan Kesan Impak Alamsekitar (EIA) yang dipohon oleh Fordeco Construction Sdn.Bhd pada 10 Oktober 2005 tidak diluluskan, namun ‘Kuari Haram’ ini terus beroperasi dan mencemarkan alam sekitar bumi Silam sejak lebih 20 tahun lalu tanpa sebarang penguat kuasaan.





Permohonan EIA Folio 52, yang difailkan oleh Sinoh Environmental Sdn.Bhd dan GSM, bagi pihak Fordeco Construction Sdn.Bhd telah dikemukakan ke Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah pada 10 Oktober 2005 untuk Silam Quarry di Bukit Silam Lahad Datu, (milik Fordeco Contruction). Namun mengikut Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah telah menolak EIA berkenaan dan TIDAK MELULUSKAN permohonan tersebut pada 26 September 2006.

Sewajarnya, sejak daripada tarikh tersebut atau sebelumnya, Silam Kuari yang beroperasi secara haram wajib ditutup ‘SERTA MERTA’ kerana telah memusnahkan ekosistem alam semula jadi dan mencemarkan Alam sekitar, namun ianya masih beroperasi sehingga hari ini, 27 Jun 2009.

Mungkin tiba masanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turun padang menyiasat kegiatan haram ini kerana jabatan penguatkuasa seperti Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS) Sabah, Jabatan Tanah dan Ukur, Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Mineral dan Geosains, Pejabat Daerah Lahad Datu, Polis Di-Raja Malaysia dan sebagainya tidak mampu lagi menguatkuasa undang-undang kerana terperangkap dalam ‘keranda rasuah’.

Jika skandal kuari haram di Selangor, Keningau, Labuan dan Negeri Sembilan berjaya ditangani dengan sempurna oleh SPRM, sudah pastinya skandal ini akan dapat di atasi dengan mudah di Silam sekiranya SPRM benar-benar menjalankan tugas mereka secara professional dan dedikasi.

Kejayaan kuari haram ini beroperasi selama lebih 20 tahun di kaki Gunung Silam, Lahad Datu dan menggunakan kawasan hutan simpan sebagai pelabuhan untuk mengeksport batu daripada kuari haram ini menimbulkan tandatanya kerana penduduk dan pencinta alam sekitar mengemukakan bantahan, namun semua bantahan tidak diendahkan oleh pihak berkuasa.

Dipercayai, Silam Quarry yang dimiliki sepenuhnya oleh Fordeco Construction Sdn.Bhd, menjadi ‘Gedung Emas’ kepada hampir semua Wakil Rakyat dan Ahli Parlimen di Silam kerana ianya beroperasi secara haram dan menjadi penyumbang utama ‘angpau’ kepada ahli politik dan penguatkuasa yang membudayakan rasuah dalam tugas mereka dan memanipulasi undang-undang untuk kepentingan sendiri.

Fordeco ialah anak syarikat Kwantas Corporation Berhad iaitu konglomerat perladangan yang disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur yang dimiliki ‘Bumiputera’ melalui perolehan Sijil Anak Negeri Palsu daripada Mahkamah Anak Negeri Kota Kinabalu (Bandaraya). Syarikat ini telah membeli sebidang tanah simpanan bumiputera di perkampungan bumiputera tersusun yang pertama di Sabah yang mempunyai batu granit untuk dijadikan kuari dan memohon Lesen Menduduki Sementara (T.O.L) sebagai tambahan bagi memastikan operasi kuari berkenaan berkekalan untuk satu tempoh yang panjang.

“Memang tidak dinafikan, tanpa kuari ini, ekonomi Lahad Datu agak lembab kerana sumber bahan binaan utama untuk bangunan dan jalan raya yang agak sukar diperolehi di daerah ini. Namun mendirikan kuari di kawasan Perkampungan Bumiputera Silam adalah seperti meletakkan debu dan pasir dalam periuk nasi penduduk kampung,” ujar Ketua Kampung Lamag, Murshidi Abdul Ghaffar.

Menurut Murshidi, pemilik kuari ini mengaburi pihak berkuasa dengan menggunakan peledak yang kecil sekadar untuk meletupkan bungkah batu granit, namun mereka menggunakan peledak yang besar pada waktu malam sehingga seluruh kampong Silam merasa gegaran.

“Kuari ini pada mulanya hanyalah beroperasi pada skala kecil, namun Adun Lahad Datu, ketika itu, Mohammadin Ketapi telah membenarkan ianya beroperasi pada skala besar dengan meluluskan T.O.L. kepada syarikat berkenaan yang kini telah menceroboh kawasan Hutan Simpan Ulu Segama,” ujar Murshidi dengan nada kesal kerana tidak ada sebarang tindakan diambil walaupun Mantan Ahli Parlimen Silam, Datuk Samsu baharun Haji Abdul Rahman telah mengadakan lawatan mengejut ke kuari berkenaan sekitar 2006.

Tambah Murshidi lagi, penduduk kampung turut mengadu masalah mereka kepada Adun berikutnya seperti Datuk Askalani Abdul Rahim, Datuk Mohd Yusof Amat Jamlee, Datuk Samsu Baharun Haji Abdul Rahman dan kini Datu Nasrun Datu Mansur , namun belum ada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkuasa untuk menutup kuari haram ini.

“Pada 2006, Datuk Samsu Baharun Haji Abdul Rahman telah mengadakan operasi khas ke kuari ini bersama Jabatan Perhutanan, Polis, Tentera, Jabatan Tanah dan Ukur serta NGO untuk memantau perkembangan kuari berkenaan dan mengemukakan bantahan, namun selepas itu tidak ada sebarang tindakan,” ujar Murshidi yang mengharapkan Adun Lahad Datu, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur dapat membantu penduduk kampung menyelesaikan masalah yang berlarutan sejak sekian lama ini.

“Kawasan ini dahulu ada sebuah air terjun yang cantik dan mudah kelihatan di musim hujan. Ia membentuk sungai yang berair jernih dan menjadi sumber penduduk kampung. Tapi kini semuanya musnah dan yang tinggal hanya debu berterbangan dan kesan pencemaran yang ketara,” ujar Murshidi yang kesal dengan sikap pengusaha kuari berkenaan tidak mempedulikan bantahan penduduk kampung semata-mata untuk mnegaut keuntungan yang lebih daripada kesusahan yang dialami penduduk kampung.

Sebaliknya, kata Murshidi, pihak pengusaha kuari batu granit berkenaan semakin rakus meletupkan dasar Gunung Silam sehingga gegaran setiap kali pengeboman boleh didengar dan dirasai dalam jarak lima kilometer daripada kuari berkenaan yang bukan sahaja memuntahkan habuk beracun, malah memusnahkan sistem hidrologi Gunung Silam.

“Apa alasan sekalipun, janganlah musnahkan air terjun dan sungai sekalipun terletak di dalam kawasan kuari kerana ianya diwartakan sebagai ‘riverine’ yang diharamkan sebarang aktiviti,” kata Murshidi yang telah beberapa kali menulis surat aduan kepada pihak penguatkuasa.

Memandangkan, air terjun ini satu-satunya di Kampung Bumiputera Silam telah musnah, maka Murshidi merayu agar pengusaha kuari ini menghentikan segera pengeboman di kawasan air terjun tersebut dan menutup operasi kuari berkenaan kerana dikhuatiri telah menceroboh kawasan hutan simpan dan kawasan tadahan air Hutan Simpan Ulu Segama.

"Banyak tanah penduduk kampung tidak dapat ditanam atau diusahakan kerana dicemari batu terutama ketika hujan lebat yang menyebabkan banjir lumpur sehingga memusnahkan tanaman. Mereka ada minta pampasan, tapi tidak dilayan, " ujar Murshidi lagi yang agak kesal kerana aduannya selama ini tidak diendahkan oleh pihak berkuasa.


Lebih mengejutkan sabahkini.net, terdapat jambatimbang stesen Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang terletak dipintu masuk jalan ke kuari berkenaan, namun lori ‘hantu’ (off-road) daripada kuari berkenaan bebas keluar masuk membawa muatan berlebihan ke pelabuhan haram tanpa melalui pemeriksaan JPJ.

Dalam pada itu, Fordeco Construction Sdn.Bhd. juga mendirikan sebuah kilang pembancuh simen berhampiran Bandar Teck Guan yang dipercayai beroperasi secara haram sejak lebih lima belas tahun lalu tanpa sebarang kelulusan Majlis Daerah Lahad Datu dan tidak mendapat kelulusan EIA.

Siasatan Sabahkini.net mendapati kilang ini didirikan ketika syarikat tersebut membina Bandar Baru Tabanak dan Taman Perumahan Tabanak yang beroperasi secara sementara di tapak binaan namun terus beroperasi secara haram sehingga kini membekalkan ‘premix concrete’ kepada daerah ini.

Siasatan sabahkini.net di Suruhanjaya Syarikat Malaysia mendapati Fordeco Construction Sdn.Bhd dimiliki oleh Kwan Bersaudara iaitu, Kwan Min Nyet (12,500 unit saham), Kwan Ngen Wah (1,512,500 unit saham), Kwan Jin Nget (12,500 unit saham) dan Kwan Ngen Chung (1,512,500 unit saham) yang mempunyai modal berbayar RM3.050 juta daripada modal dibenarkan sebanyak RM5 juta yang mencatatkan keuntungan bersih RM30 juta setiap tahun daripada operasi kuari.

Kedua-dua pemegang saham, Kwan Ngen Wah dan Kwan Ngen Chung turut menjadi pengarah Fordeco Construction Sdn.Bhd dan lebih 40 syarikat gabungan Kwantas Corporation Berhad. Kedua adik beradik ini disyaki memegang sijil Anak Negeri Palsu bagi membolehkan mereka mendapat penarafan sebagai syarikat milik penuh Bumiputera dan menikmati pelbagai insentif sehingga Kwan Ngen Wah dicatatkan di dalam Majalah Forbes sebagai orang yang ke 14 terkaya di Malaysia.

Tuesday, June 23, 2009

SIAPA 'BUNUH' NG WAI KIN?




Dipetik daripada:


MISTERI kehilangan 'Usahawan' minyak sawit mentah terkenal di Sabah, Ng Wai Kin yang selama ini bebas beroperasi tanpa lesen 'masih menjadi tandatanya' setelah kerja mencari mayatnya dihentikan pada 17 Jun 2009 oleh Agensi Pengawal Maritim Malaysia (APMM) dan pasukan penyelamat yang dinamakan 'Ops SAR Kuala Mumiang Sandakan.'

Ng yang selama ini sering gagal membayar 'Ufti' atau 'wang pengkeras' kepada pihak berkuasa daripada hasil operasi haramnya, kemungkinan kebarangkalian sengaja 'dipadamkan' (Erase) oleh rakan kongsinya yang 'beruniform' kerana gagal menunaikan janji walaupun Ng mengaut keuntungan yang besar.
Setiap kali beroperasi menjual minyak sawit mentah yang dibeli di pasaran gelap dan diseludup, Ng memperoleh keuntungan tunai antara RM400,000 hingga RM500,000 tertakluk kepada harga pasaran minyak sawit mentah.Serangan pada petang tersebut, mungkin sememangnya telah lama dirancang oleh 'rakan kongsinya yang beruniform' kerana kehilangan Ng secara mendadak bersama RM400,000 menimbulkan tandatanya?
Bagaimanapun tidak dikenalpasti kenapa pasukan penyelamat menghentikan operasi mencari 'mayat' Ng? Besar kemungkinan ada pihak yang menyorok atau memastikan 'mayat' Ng tidak ditemui kerana bimbang 'mayat' tersebut akan menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.
Menurut maklumat yang diterima, Ng hilang bersama wang tunai RM400,000 dan bukannya RM10,000 sebagaimana yang dilaporkan dibawa di dalam Kapal Tangki Seng 6 (SJN 00873K) namun kapal berkenaan telah kosong dan tidak mempunyai sebarang minyak sawit mentah lagi di dalam tangki kapal berkenaan kerana dipercayai baru sahaja dijual di pasaran gelap di 'perairan Malaysia.'
Satu sahaja teori kemungkinan kebarangkalian yang mungkin menjadi klu kepada kehilangan Ng ialah sebaik sahaja semua minyak dipamkan ke kapal pembeli dan wang bertukar tangan, bot 'perompak' telah 'menawan' kapal tangki berkenaan dan 'menghilangkan' Ng bersama wangnya.
Krew kapal berkenaan yang bersama Ng pada kedudukan 20 batu nautika daripada Sandakan kemungkinan besar adalah 'pelakon tambahan' yang direkrut oleh pihak tertentu untuk melakukan penyamaran kerana adalah tidak mungkin pasukan penyiasat gagal mendapat sebarang bukti daripada krew yang kononnya diikat dan tidak mengetahui apa yang berlaku.
Sebaliknya krew 'mencipta' bukti palsu kononnya kehadiran mereka di Kuala Mumiang ialah untuk membeli ikan sedangkan kapal tangki berkenaan sarat dengan muatan minyak sawit mentah.
Tempoh untuk mengepam minyak di antara dua hingga tiga jam dan adalah tidak mungkin kesemua mereka tertidur di siang hari atau pemunggahan kargo dilakukan secara automatik?
Bagaimanapun, mengikut fakta kes yang dilaporkan APMM, bilik Operasi Maritim Daerah Sandakan DM17 telah menerima laporan dari PUSKOM Marin Sandakan (PGM) bahawa seorang mangsa rompakan di laut yang dikenali sebagai Ng Wai Kin, 33, telah hilang di perairan Kuala Mumiang Sandakan.
Setelah menerima laporan kejadian pada 15 Jun 2009, lebih kurang jam 1.30 petang, bilik Operasi Maritim Daerah Sandakan DM17 telah menghubungi MRSC Kota Kinabalu memaklumkan laporan kejadian dan bilik gerakan Carilamat DM17 berkuatkuasa serta-merta.
Siasatan awal APMM mendapati mangsa bersama seorang pekerjanya telah menaiki kapal Tangki Seng 6 yang disewa dari Syarikat Lega Wira Sdn. Bhd yang dikemudi oleh 2 orang krew kapal tersebut.
Mengikut laporan rasmi APMM, kapal berkenaan berlepas dari Sandakan menuju ke Kuala Mumiang pada 14 Jun 2009 lebih kurang jam 7 malam atas urusan jual beli ikan?
Adalah dipercayai mangsa membawa RM10,000 bagi urusan tersebut tetapi apabila sampai di perairan laut Kuala Mumiang, lima lelaki bertopeng hitam dan bersenjatakan parang telah menaiki kapal tersebut lebih kurang jam 11.30 malam.
Mangsa telah menghilangkan diri dan dipercayai telah terjun ke laut manakala tiga yang lain telah diikat tetapi tidak dicederakan. Perompak terbabit melarikan diri menggunakan bot laju.
Serentak dengan itu, Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Sandakan, Kapten (M) Mohamad Onn bin Khalil telah mengarahkan APMM DM17 iaitu KM Serasan, KM Labas, KM Satang, Bot Kilat 37 dan Bot Pengawal 1 untuk menjalankan Operasi Mencari dan Menyelamat di sekitar perairan Kuala Mumiang.
Operasi ini juga turut disertai oleh Pasukan Gerakan Marin yang menghantar PX 22, Bot Destroyer Satu dan Bot PSC 13. TLDM juga telah menghantar Bot Tempur CB90H untuk memantapkan lagi Operasi SAR ini.KM Serasan dan KM Satang telah dilantik sebagai 'On Scene Coordinator' semasa operasi tersebut dijalankan.
Operasi SAR ini telah bermula pada 15 Jun 2009, jam 1.30 tengah hari dan berakhir pada 17 Jun 2009 pada tengah malamnya.

Tiada sebarang kesan atau tanda-tanda positif ditemui sepanjang tiga hari Ops SAR ini dijalankan. Pihak MRSC Kota Kinabalu yang berperanan sebagai koordinator untuk operasi ini telah menamatkan operasi mencari dan menyelamat.
Namun kehilangan Ng akan membawa kepada suatu jawapan yang menggemparkan semua pihak dalam waktu terdekat jika saksi mata tampil mendedahkan bukti jika ada tawaran lumayan ditawarkan. Mungkinkah Ng masih hidup atau telah dipadamkan?

Monday, June 22, 2009

PBS SOKONG LANGKAH KERAJAAN TIDAK DAFTAR BLOGGER


Oleh: MARKUS JACOB (www.sabahkini.net)

PERSATUAN Blogger Sabah (PBS) menyambut baik langkah kerajaan untuk mengekalkan Dasar Langit Terbuka terhadap para Blogger dengan tidak bercadang untuk mendaftar para Blogger bagi membolehkan mereka bebas menyampaikan maklumat melalui internet, namun tertakluk kepada undang-undang negara demi menjaga keharmonian masyarakat.

Presiden Persatuan Blogger Sabah, Mutalib M.D berkata demikian dalam kawat tahniahnya kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim ekoran pengumuman yang dibuat oleh menteri itu di Dewan Rakyat baru-baru ini bahawa Kerajaan tidak ada menyenaraikan atau mendaftar mana-mana Blogger yang beroperasi di internet ketika menjawab soalan Wakil Ipoh Timur, Lim Kit Siang yang menyifatkan Kerajaan menyekat kebebasan para Blogger.


"Bagi memastikan para Blogger tidak dikongkong atau diserabutkan dengan pelbagai ugutan atau peraturan, PBS akan mengadakan kursus Intensif kepada para blogger yang menjadi ahli pbs pada masa akan datang," ujar Mutalib yang memaklumkan bahawa Kursus Intensif berkenaan akan dibuat di Kota Kinabalu.


Mutalib menegaskan bahawa kursus berkenaan amat perlu kerana ramai Blogger gagal menepati kelayakan sebagai Blogger dan tidak mengetahui bahawa mereka juga tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM 1998) yang boleh mensabitkan para Blogger didenda RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Bagaimanapun kata Mutalib, setakat ini, belum ada ahli PBS dikenakan sebarang tindakan, melainkan beberapa siasatan polis akibat laporan yang dibuat oleh pembaca atau orang awam bagi isu yang melibatkan kepentingan awam.


"Blogger yang dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu baru-baru ini kerana memfitnah Sultan Perak bukan ahli PBS," ujar Mutalib yang turut menafikan ada ahlinya yang dicap oleh Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup sebagai mereka yang tidak tahu berterima kasih kepada kerajaan sebaliknya menggunakan kemudahan kerajaan untuk memburukkan kerajaan.


Tegas Mutalib, Kerajaan Negeri Sabah, di bawah pimpinan Ketua Menteri Sabah amat memerlukan peranan para Blogger kerana tidak memerlukan KPI sebagai Penanda Aras prestasi Wakil Rakyat Sabah kerana para Blogger merupakan pemantau yang berkesan untuk menilai prestasi Wakil Rakyat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.


"Kita sedang masih menunggu kelulusan pendaftaran PBS dan kita akan mengemukakan draf pelan kerjasama sebagai agensi berteraskan masyarakat dengan kerajaan negeri sebagaimana peranan yang dimainkan oleh Persatuan Wartawan Sabah (SJA), namun bergantung kepada keperluan sama ada untuk berkecuali atau bersikap profesional," ujar Mutalib yang juga Editor www.sabahkini.net dan menjadi salah satu blogger paling aktif di Sabah.

Menyentuh Kursus Intensif sehari yang akan diadakan pada 25 Julai 2009 dan Bengkel Pentauliahan Wartawan Sabahkini.net pada 26 Julai 2009 di Hotel Tang Dynasty Karamunsing atau mana-mana tempat yang akan dimaklumkan kemudian tertakluk kepada jumlah peserta.

Hanya ahli yang layak atau terpilih selepas saringan pada 25 Julai akan diberi peluang mengikuti Bengkel Pentauliahan Wartawan Sabahkini.net pada 26 Julai 2009.

Para Blogger kata Mutalib, masih berpeluang menjadi ahli secara online dengan mendaftar di www.sabahkini.net kerana tarikh tutup untuk melayakkan diri menjadi ahli akan ditutup pada 30 JUn 2009 .

"Bagaimanapun hanya kursus dan bengkel yang akan diberi secara percuma kerana PBS tidak menyediakan tempat tinggal bagi peserta di luar Kota Kinabalu. Mereka boleh berkongsi sesama mereka bagi membiasakan diri menghadapi senario sebenar tugas seorang blogger," ujar Mutalib lagi.

Bagi para Blogger yang telah mendaftar secara online tetapi laman web atau blog mereka tidak dapat dilayari tidak layak mengikuti Kursus Intensif berkenaan.

Saturday, June 20, 2009

RAMAI DESAK KEKALKAN NAMA HOTEL MIDO?



Sumber: www.sabahkini.net



RAMAI penduduk Lahad Datu merayu pemilik bangunan Hotel Mido agar tidak menukar nama hotel itu kepada Silam Dynasty kerana mempunyai nilai sejarah yang tidak dapat dilupakan oleh Masyarakat Lahad Datu agar mereka sentiasa waspada apabila melihat bangunan berkenaan.

Daripada lebih 2,300 responden yang menghantar email dan sms kepada Sabahkini.net, sejak sebulan lalu mendesak agar usaha pemilik hotel menukar nama hotelnya kepada Silam Dynasty harus dihalang kerana Hotel Mido mempunyai sejarah tersendiri yang sukar dilupakan.

Kebanyakan responden yang menghantar email dan sms memberitahu bahawa Hotel Mido telah mengingatkan mereka betapa rapuhnya sistem pertahanan Malaysia ketika itu yang boleh diperdaya oleh sekumpulan 15 orang lanun yang berkaki ayam berpakaian celoreng menawan Bandar Lahad Datu selama 15 minit sebelum bebas melarikan diri tanpa sebarang tentangan daripada Polis Di-Raja Malaysia.

Menurut email Halim Ismail, tragedi seram itu berlaku ketika beliau menghantar bapa saudaranya ke Standard Chartered Bank yang berhadapan dengan Hotel Mido untuk mengambil wang dan beliau menunggu di dalam kenderaan kerana ketiadaan tempat letak kereta.

Mujur bapa saudaranya sempat keluar sebelum 15 org lanun berpakaian celoreng memasuki bank berkenaan dan melepaskan tembakan rambang dan melarikan RM250,000 dan membunuh enam orang awam sebelum melarikan diri ke perairan antarabangsa.

Halim sempat memecut kenderaannya yang diletakkan tidak jauh daripada bank berkenaan setelah mendengar bunyi tembakan.


Walaupun tragedi tersebut amat memilukan keluarga mangsa, namun kata Halim, nama Hotel Mido harus dikekalkan dan membantah jika pengusaha hotel tersebut mahu menghilangkan kesan peluru lanun pada dinding hotel kerana ianya kesan paling bersejarah di Lahad Datu.

Manakala seorang bekas anggota polis yang menamakan dirinya sebagai Sarjan Pencen yang menghantar email daripada Semporna, memberitahu ketika itu beliau bertugas di Balai Polis Lahad Datu.

Kejadian serangan lanun sekitar 25 September 1985 menjadi igauan ngeri kepada beliau kerana ketika lanun berkenaan menyerang Balai Polis Lahad Datu beliau berada ditandas dan mendengar tembakan dan letupan yang kuat.

Mujur tidak ada kematian di kalangan anggota polis yang bertugas ketika itu kerana mereka sempat mencari perlindungan apabila melihat beberapa orang lelaki berpakaian celoreng berkaki ayam yang lengkap bersenjata cuba menyerang Balai Polis berkenaan yang terletak di atas bukit, tidak jauh daripada bank yang dirompak.

Namun beliau agak kesal kerana mendapat berita bahawa pihak berkuasa Malaysia telah Berjaya mengejar lanun-lanun berkenaan dan berlaku pertempuran di Pulau Maranas yang mengorbankan lebih 53 mangsa yang mendapat bantahan Kerajaan Filipina yang menduduh Malaysia menceroboh Perairannya.




SEJARAH.... Majlis Daerah Lahad Datu harus mengekalkan nama Hotel Mido sebagai salah satu kesan sejarah pertahanan negara.



Tambah Sarjan Pencen tersebut dalam emailnya, kesan kejadian rompakan dan serangan lanun tersebut berpanjangan yang melibatkan hubungan diplomatik Malaysia dan Filipina agak tegang disebabkan risikan Malaysia mendapati kejadian berkenaan dilakukan oleh beberapa tentera Filipina dengan dibantu oleh Lanun yang menguasai Lautan Sulu tetapi mempunyai pengaruh di dalam Pentadbiran Kerajaan Filipina.

Laporan separa ketenteraan yang dikeluarkan oleh Malacanang yang dikeluarkan di Zamboanga, Selatan Filipina menuduh Kerajaan Malaysia menceroboh kedaulatan wilayahnya dengan menyerang Pulau Maranas.

Menurut siaran tersebut, Ketua Polis Wilayah Kepulauan Tawi-Tawi, Leftenan Kolonel Gene Tulawei, memaklumkan empat kapal bersenjata yang dibantu helikopter telah menyerbu Pulau Maranas, milik Filipina, yang terletak 160 kilometer di sebelah timur Sabah.

Serangan itu, kata Tulawei telah mengorban 53 orang awam dan sebahagiannya masih ditawan oleh pihak berkuasa Malaysia ketika itu.

Menurut Sarjan Pencen itu lagi, Komandan Briged Marin Filipina yang berpangkalan di Zamboanga turut menyebut bahawa serangan tersebut sebagai balasan atas serbuan lanun Filipina ke Lahad Datu tetapi tidak ada penyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Kerajaan Filipina.

Bagaimanapun Jurucakap Kementeria Luar Negara Filipina hanya mengatakan, Angkatan Bersenjata Filipina masih terus mengadakan penyelidikan dan menganggap ada ‘kekuatan asing yang sengaja menciptakan pertikaian antara Filipina dan Malaysia yang masih berbalah tentang kedaulatan Sabah.

Namun akhbar pro-pemerintah, The Metro Manila Times, yang mengutip sumber-sumber ‘pejabat tinggi Filipina’, mengatakan bahawa serangan ke Pulau Maranas dilakukan oleh "sejumlah tentera upahan Malaysia yang diorganisasi Agensi Inteligen Amerika (CIA)".

Bagaimanapun kata sarjan Pencen itu lagi, menurut Pegawai Turus Polis Di-Raja Malaysia, Datuk Kudus Alias, operasi pengejaran lanun hanya dijalankan sampai sekitar Pulau Mataking yang masih termasuk dalam wilayah perairan Malaysia.

Sementara itu, kata Sarjan Pencen lagi, Panglima Komando Selatan Filipina, Major Jenderal, Delfin Castro, melaporkan pasukannya berhasil menahan tiga orang yang disyaki melakukan serangan bersenjata ke atas bandar Lahad Datu termasuk seorang wanita.

Menurut sumber-sumber ketenteraan Filipina, rompakan bersenjata itu didalangi oleh seseorang yang di kenal sebagai Salip Jafar yang menggunakan sebuah kampung di pesisir Zamboanga sebagai batu loncatan namun kes itu senyap begitu sahaja kerana Malaysia bimbang jika kerjasama serantau membanteras lanun akan digunakan oleh Tentera Filipina untuk memburu seorang Ketua Moro yang dikehendaki, James R. Lapian yang bersembunyi di Malaysia.

Dalam pada itu, seorang pegawai Marin yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘A.R.’ mengesahkan bahawa pihaknya mengejar lanun terbabit dengan kapal peronda Polis Marin PX16 dan berlaku insiden berbalas tembakan dengan kumpulan lanun namun menyebabkan ramai rakannya cedera parah terkena tembakan.

A.R memaklumkan pihaknya berjaya membunuh seramai tujuh orang lanun dan memberkas 20 yang lain yang berada bersama lanun berkenaan ketika digempur.

Banyak email dan sms lain mendesak agar bangunan berkenaan dikekalkan pada bentuk asal dan hanya melibatkan pengubahsuaian dalaman tanpa mengganggu struktur luaran yang terdapat kesan serangan lanun.

“Pembangunan tanpa menghilangkan kesan sejarah adalah pembangunan yang berkekalan,” kata Asakil dalam smsnya kepada sabahkini.net.

Bagaimanapun seorang bekas pekerja bank berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Ho berkata beliau masih trauma ketika melalui kawasan berkenaan kerana hampir maut di muncung senjata api lanun berkenaan jika beliau tidak menyorok di bawah meja.

Ho yang bertugas sebagai juruwang segera menyorokkan diri sebaik sahaja mendengar bunyi tembakan dan hanya membatukan diri dalam serangan yang begitu pantas dan hairan kenapa CCTV bank tersebut gagal merakam kejadian berkenaan.

“Kalau boleh saya tidak mau ingat kejadian itu. Saya takut melalui kawasan bank,” catat Ho dalam emailnya yang menerangkan beliau mendapat tahu bank berkenaan kini telah ditutup tetapi Hotel Mido masih menjadi sebahagian episod hitam dalam hidupnya.

Friday, June 19, 2009

PBS HARUS HENTIKAN PEMBOHONGAN: PBRS

Ehsan: www.sabahkini.net




MAHMUD (kiri) dan Tan Yong Tain.






PARTI Bersatu Sabah (PBS) harus menghentikan pembohongan dan sikap yang suka menikam rakan gabungan di dalam Komponen Barisan Nasional serta merta jika masih ingin dihormati oleh komponen yang lain.

Ketua Bahagian Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Bahagian Silam, Mahamud Ahmad, kesal dengan sikap Ketua Bahagian PBS Lahad Datu, Tan Yong Tain yang membuat kenyataan terbuka media dan mengkritik rakan gabungannya yang membuat keputusan sebulat suara berhubung cadangan perlantikan Pengerusi Barisan Nasional Silam.

"Kita dijemput oleh Pengerusi MCA, Datuk Teah Heok Kuin untuk makan malam dan selepas itu kita bersetuju mengadakan mesyuarat tergempar kerana kesemua ketua parti komponen hadir melainkan UMNO. Tan sendiri di beri peluang untuk menyuarakan sebarang cadangan atau bantahan. Beliau bersetuju dengan keputusan mesyuarat iaitu untuk mencadangkan calon tunggal, Ahli Parlimen Malaysia yang mewakili Silam, YB Haji Salleh Haji Kalbi," kata Mahamud lagi yang memaklumkan mesyuarat pada malam itu bersetuju menubuhkan Badan Bertindak BN Silam yang diketuai Datuk Teah Heok Kuin.




SUKARELA.... Mesyuarat Bandan Bertindak BN Silam dijalankan dalam suasana ceria tanpa sebarang paksaann dan hanya dihadiri ketua parti komponen Silam. Tan (kiri sekali) sedang memberikan pandangan sambil didengar oleh Mahmud (dua dari kiri) dan Ketua Parti komponen BN yang lain.



Tegas Mahamud lagi, Salleh yang kebetulan makan di restoran yang sama tidak mengetahui butiran perbincangan mereka pada malam itu dan tidak menghadiri mesyuarat tersebut kerana beliau bukan Ketua Parti Komponen BN Silam.

"Sehubungan itu, dakwaan Tan, bahawa beliau dipaksa atau menafikan beliau menolak Datuk Nasrun Datu Mansur sebagai Pengerusi Barisan Nasional Silam adalah sebagai sikap menikam rakan dari belakang," ujar Mahamud yang menghormati keputusan Badan Bertindak Komponen BN Silam yang sebulat suara bersetuju mencalonkan Ahli Parlimen sebagai calon tunggal Pengerusi BN Silam sejajar dengan tradisi yang diamalkan sejak 1991.



TANDATANGAN.... Semua ketua parti Komponen BN Silam termasuk Tan Yong Tain menandatangani resolusi mesyuarat yang memutuskan calon tunggal Pengerusi BN Silam.



Mahamud kesal kerana Tan telah diberi peluang berhujah dan ketika itu beliau bersetuju dengan keputusan dan menandatangani resolusi mesyuarat yang diadakan pada jam 8.30 malam, 24 Mei 2009 di Restoran Dovist, Lahad Datu.

"Saya harap, semua ketua parti Komponen BN Silam agar mematuhi resolusi yang ditetapkan dan menjaga imej parti masing-masing dengan menghindari terlibat dengan kegiatan yang tidak bermoral dan jenayah. Sebagai ahli Komponen BN, kita kota apa yang kita kata dan kita serius setiap keputusan kita," ujar Mahamud lagi yang akan memanggil mesyuarat kedua sekiranya tidak mendapat sebarang keputusan daripada Pengerusi BN Sabah.

Tegas Mahamud, jika isu Pengerusi BN Silam tidak dapat diselesaikan oleh Pengerusi BN Sabah, mereka telah memutuskan untuk menemui Pengerusi BN Malaysia.

Mahamud tidak menafikan antara lain resolusi yang dipersetujui ialah untuk membubarkan Barisan Nasional Silam dan meneruskan perjuangan mengikut halatuju dan halacara parti masing-masing.

"Tidak ada ertinya kita berada dalam gabungan BN hanya pada nama sedangkan pada praktiknya kita tBN) tidak lagi wujud sejak pilihanraya tahun lalu," tegas Mahamud yang kesal kerana kronisme dan favoritisme masih berakar umbi di dalam BN Sabah yang pada dasarnya tidak wujud di Silam.

JKM MELINDUNGI PENDATANG TANPA IZIN?



Sumber: www.Sabahkini.net

ASAL.... Surat asal ini dikenalpasti asli yang menunjukkan PATI boleh memanipulasi undang-undang Malaysia untuk kepentingan diri dan malangnya diterima pakai selama ini.

KEMENTERIAN Dalam Negeri digesa menyiasat kegiatan pihak tertentu menggunakan pejabat Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Tingkat 16, Wisma Innoprise, Kota Kinabalu sebagai tempat 'menghalalkan' pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan pihak berkuasa atas kesalahan imigresen.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Dr Jeffrey Kitingan mendedahkan sindiket ini sudah terlalu lama menjalankan kegiatan haram bersubahat membebaskan PATI yang ditahan di Pusat Tahanan Sementara atas kesalahan memasuki negara ini tanpa dokumen dan melibatkan 'penjualan' surat daripada Setiausaha Sulit Menteri di Jabatan Ketua Menteri.

Dalam kes terbaru kata Jeffrey, seorang pemegang pas lawatan IMM13, Arum Bin Alisan (IP/12081-5798) yang menetap di kampung Inanam telah mengemukakan rayuan kepada Pengarah Imigresen Sabah untuk membebaskan isterinya, Satra Bin Adul yang ditahan reman (0461) pada 16 Disember 2008 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

"Walaupun perayu tidak menandatangani surat rayuan berkenaan dan surat perayu bertarikh 3 Jun 2009 namun setiausaha Sulit Menteri Di Jabatan Ketua Menteri telah menulis surat sokongan kepada Pengarah Jabatan Imigresen Sabah melalui surat bil. MJKM:DNTS/SUS/100/009 bertarikh 18 Februari 2009, iaitu empat bulan lebih awal daripada surat perayu, menyokong rayuan pemohon," ujar Jeffrey yang menyifatkan kejadian ini seperti harapkan pagar, pagar menimpa padi.

Isteri perayu telah ditahan di Pusat Tahanan Sementara Kem Paradise Kota Belud sejak ditangkap pihak berkuasa kerana hanya memiliki Sijil Banci bernombor B 017668 yang kini kononnya dalam proses permohonan IMM 13.

"Bukankah IMM 13 hanya dikeluarkan oleh kepada Pelarian Filipina yang datang ke Sabah sekitar 1970-an dan bukan kepada PATI yang baru datang ke Sabah seperti isteri perayu yang dibanci pada 19 Mei 1990 ketika gerakerja pendaftaran PATI dilancarkan Pasukan Petugas Khas Persekutuan?," ujar Jeffrey yang menggesa agar Unit Penempatan di Jabatan Ketua Menteri dimansuhkan serta merta.

Unit Penempatan JKM, Kata Jeffrey, yang selama ini digelar penduduk tempatan Sabah sebagai ladang ternakan PATI yang dilesenkan di Sabah dan tindakan mereka melindungi PATI menggunakan jentera kerajaan adalah kegiatan subversif dan mengancam kedaulatan negara.

"Kita juga merayu agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak berpeluk tubuh di dalam bilik berhawa dingin dan menyiasat bagaimana PATI ini boleh berada di Sabah dan diberi dokumen melalui sindiket yang mempunyai hubungan rapat dengan menteri terbabit," ujar Jeffrey yang memaklumkan bahawa PATI boleh memiliki surat berkenaan dengan harga antara RM300 hingga RM3,000.

PATI yang mendapat 'suaka' daripada JKM ini, kata Jeffrey, bebas bergerak ke sana ke mari sekalipun tidak memiliki sebarang dokumen kerana ramai saudara mara mereka bekerja di Jabatan Imigresen, Polis dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Sehubungan itu kata Jeffrey, beliau mendesak JKM mengeluarkan kenyataan bertulis di akhbar tempatan memaklumkan senarai nama pemegang IMM 13 yang sebenar kerana jumlah pelarian Filipina semakin bertambah ramai sedangkan Kerajaan tidak pernah menandatangani Protokol 1967 berhubung Orang Pelarian.

Sejak penutupan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Berhubung Orang Pelarian (UNHCR), jumlah pelarian Filipina masih menjadi misteri seolah-olah mereka tidak pernah mati sekalipun ramai daripada mereka telah memiliki kad pengenalan Malaysia melalui jalan songsang.

"Kini ramai daripada mereka telah diberi taraf penduduk tetap dan sekaligus mencabul Perlembagaan Negara, namun masih ramai lagi yang memohon status Pelarian IMM 13 sedangkan Selatan Filipina bukan lagi di kancah peperangan," ujar Jeffrey yang kesal kerana Kerajaan Persekutuan gagal menangani isu Pelarian Perang ini sejak 1970-an walaupun telah menimbun pelbagai janji manis setiap kali menjelang pilihanraya umum semata-mata untuk memancing undi.

Friday, June 12, 2009

MALAYSIAKINI FITNAH SHAFIE AFDAL?



Berita Asal Daripada:
www.sabahkini.net


PROTES.... Perbuatan ini tidak salah di sisi undang-undang
kerana mereka hanya melakonkan pintomin sekadar untuk menyampaikan mesej yang jelas kepada pemimpin dan bukannya menentang kerajaan.






PORTAL Malaysiakini telah membelakangkan etika kewartawanan dengan memfitnah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal apabila secara tidak bertanggung jawab menuduh penduduk setempat telah "mentalkinkan mayat Umno" di Semporna melalui artikel yang ditulis oleh Jimadie Shah Othman bertajuk "Foto misteri talkin untuk Umno" yang disiarkan pada 22 Mei 2009.

Ketua Cawangan UMNO Kampung Tanjung Labian, Bahagian Silam, Kunsul Nahul, yang menghubungi sabahkini.net menggesa Malaysiakini menarik balik artikel berkenaan dan minta maaf secara terbuka daripada Shafie atau menghadapi tindakan saman yang akan difailkan oleh pihaknya yang merupakan penyokong kuat Naib Presiden UMNO tersebut.

"Kita percaya berita ini dibuat untuk merendahkan martabat dan menjatuhkan Shafie yang merupakan satu-satunya pemimpin Bajau (USBO) yang mencatat rekod memenangi jawatan Naib Presiden UMNO," ujar Kunsul yang menjelaskan gambar berkenaan tidak ada kena mengena dengan Shafie.

Kunsul turut membidas Ahli Majlis Tertinggi PKR, Badrul Hisham Saharin, yang mendakwa menerima gambar tersebut melalui emel, kononnya dirakam di kawasan Mohd Shafie, yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

"Gambar tersebut bukan diambil daripada kawasan Shafie, sebaliknya adalah daripada Dewan Undangan Negeri Tungku iaitu di kampung saya sendiri sebelum pilihanraya umum 2008 sebagai tanda protes 'rampasan tanah adat' yang dilakukan oleh Datuk Pahlawan Ramli Yusoff," ujar Kunsul yang kini gembira kerana kes Ramli masih dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Menurut Kunsul, tidak ada salahnya penduduk kampung melakukan demonstrasi secara aman kerana mereka lebih rela mati mempertahankan UMNO daripada membiarkan pihak tertentu menzalimi ahli UMNO dengan merampas atau menceroboh tanah adat yang dipertahankan selama ini.

"Bukankah jika tentera mati mereka diselimutkan dengan bendera Malaysia? Jadi apa salahnya penduduk kampung kami yang insaf dengan kezaliman yang dilakukan pihak tertentu menunjukkan pintomin bahawa mereka sanggup mati demi mempertahankan UMNO," ujar Kunsul yang sebelum ini turut membidas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berhubung isu yang sama.

Dalam kejadian tersebut kata Kunsul, lebih 300 penduduk Kampung Tanjung Labian, Tungku, Sabah telah melakonkan pintomin simbolik untuk menghantar mesej penting kepada Presiden Umno, ketika itu, Datuk Seri Haji Abdullah Haji Ahmad Badawi (Tun).

Tegas Kunsul, mereka telah mencapai kata sepakat untuk mengkafankan empat ‘mayat’ ahli Umno dengan Bendera Sang Saka (Umno) dan membacakan talqin seolah-olah kematian mereka telah tiba kerana memikirkan apa ertinya hidup jika tanah yang mereka usahakan sejak 1950 telah diluluskan kepada orang lain.

”Penduduk hanya berniat untuk menghantar mesej tersebut kepada Pak Lah agar wakil rakyat yang tidak lagi mampu berkhidmat kepada rakyat diganti atau dipecat,” kata Kunsul yang mendesak agar Adun Tungku tidak menyalahkan penduduk kampung yang menggunakan hak mereka menurut Perlembagaan.

Kata Kunsul, ketika itu, kesemua 13 Ketua Cawangan Umno Zon Tanjung Labian telah bersepakat memohon ehsan Pak Lah agar turun padang melihat kesusahan hidup mereka akibat tanah warisan mereka akan terlepas kepada sebuah syarikat swasta.

”Semua cawangan UMNO Zon Tanjung Labian telah membuat usul di dalam persidangan cawangan sejak 1991, tetapi tidak ada sebarang tindakan. Penduduk menyangka tanah yang mereka pohon diukur Juru Ukur swasta tetapi sebaliknya mereka mengukur untuk orang lain yang diluluskan tanah yang telah kami usahakan," ujar Kunsul yang menyifatkan karenah birokrasi yang menindas penduduk kampung selama ini.

Bagaimanapun kata Kunsul, beliau tidak turut serta dalam pintomin berkenaan kerana sedang sibuk menguruskan borang tuntutan pendaftaran tanah adat dan hanya menyedari penduduk kampung telah bersorak setelah selesai berlakon 'drama sebabak' berkenaan yang dilakukan secara spontan.


Sunday, June 7, 2009

PENDAFTARAN BERGERAK DI SK TANJUNG LABIAN


Cerita Asal: www.sabahkini.net

GERAKAN pendaftaran bergerak anjuran bersama Pejabat Parlimen Silam dan Jabatan Pendaftaran Pendaftaran Negara yang pada mulanya dijadualkan di dua lokasi berasingan, kini dipusatkan ke Sekolah Kebangsaan Tanjung Labian, Tungku.

Ketika menghubungi sabahkini.net, Ahli Parlimen Malaysia (Silam), Haji Salleh Haji Kalbi berkata, beliau telah berbincang dengan Pengarah Pendaftaran Negeri Sabah berhubung masalah logistik kerana dua lokasi berkenaan agak jauh, maka mereka mencapai kata sepakat untuk memusatkannya di Sekolah Kebangsaan Tanjung Labian.

"Kita memikirkan peluang ini harus diberikan kepada penduduk terpencil seperti di Tambisan, Lok Buani, Tanjung Labian dan sebagainya yang agak jauh daripada Pejabat JPN yang terdekat yang terletak di Pekan Cenderawasih, maka kita tumpukan operasi di Tanjung Labian," ujar Salleh yang memberitahu SMK Tungku tidak jauh daripada Pekan Cenderawasih.

Sehubungan itu, Salleh menggesa agar penduduk kampung terpencil datang awal bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan mereka telah mengisi borang maklumat keluarga dan membawa dokumen yang berkaitan.

Sebenarnya kata Salleh, mereka tidak perlu berebut kerana gerakan berkenaan berlangsung selama empat hari berturut-turut bermula jam 7.30 pagi sehingga selesai permohonan yang dikemukakan pada hari berkenaan.

"Saya akan pantau sendiri operasi ini bagi mengelakkan tidak ada pihak yang mengambil kesempatan seperti mengenakan caj dan sebagainya," ujar Salleh yang mengulangi kenyataan bahawa operasi bergerak berkenaan hanya untuk penduduk tempatan yang belum memiliki dokumen pengenalan diri.

202 MASYARAKAT CINA TUNTUT PAMPASAN?



LULUS.... Chew Yee Wan menunjukkan surat kelulusan Majlis Daerah Lahad Datu.

Dipetik daripada www.sabahkini.net

SERAMAI 202 masyarakat China yang telah diluluskan 202 unit tapak rumah PPRT di Kampung Sabah Baru pada 15 Disember 1999 menuntut pampasan sejumlah RM1.072 juta daripada Kerajaan Negeri Sabah apabila tapak yang mereka timbus telah 'rampas' tanpa sebarang notis dan gantirugi.

Ketua Pemohon 202 lot tanah berkenaan, Chew Yee Wan berkata beliau sudah muak dengan janji yang zahirkan oleh pemimpin Barisan Nasional termasuk Ketua Menteri Sabah.

"Kita bukan mahu gaduh atau tentang kerajaan. Kita hanya mau pampasan kerana kita telah kerugian. Kita diluluskan tapak rumah ini oleh Majlsi Daerah Lahad Datu. Kita timbus tebang bakau dan bersihkan tapak. Kita timbus tanah. Tapi kerajaan rampas tanpa gantirugi," ujar Chew yang kesal kerana surat aduannya kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Panglima Mohd. Najib Tun Abdul Razak tidak mendapat sebarang balasan.

Kata Chew, beliau yakin Najib mengetahui kedudukan tanah tersebut kerana mereka telah mengadu kepada Najib ketika beliau merasmikan sepuluh buah unit rumah PPRT bantuan khas Felda yang didirikan secara tidak sah di atas tanah yang mereka timbus.



TIMBUS.... Gambar satelit menunjukkan kawasan yang dituntut oleh 202 keluarga Cina yang bukan sahaja miskin malah dilucutkan hak tanpa melalui perlembagaan ke atas harta mereka.

"Jika kerajaan mau guna, kita boleh tolak ansur. Bukan masuk ceroboh dan rampas tanah kita. Ini sudah kira kes jenayah. Tapi apabila kita lapor, polis pun tidak peduli. Sama siapa kita mau lapor lagi?," tanya Chew yang sedang berbincang dengan para pemilik lot tanah yang telah diceroboh untuk memfailkan saman menuntut gantirugi am dan khas.

Sejajar dengan konsep 1Malaysia, kata Chew, Najib harus membukti teorinya tepat dan bukan hanya 'lips servis' yang tidak mencerminkan ketelusan kerana beliau dan rakannya menderita disebabkan wang yang mereka kumpul selama ini telah dibelanjakan untuk membersihkan lot berkenaan dan menimbus kawasan paya bakau dengan kos antara RM310 hingga RM10,310 setiap lot.

"Kalau kita tidak terima apa-apa maklum balas daripada mana-mana pihak yang terlibat secara langsung dengan isu ini, kita terpaksa memfailkan injuksi untuk menyita sepuluh buah rumah PPRT yang didirikan secara haram di atas tanah kami," ujar Chew yang kesal kerana terpaksa memberikan altimatum yang mungkin tidak menyenangkan semua pihak.